Kredit: fthmb.tqn.com
Makanan dan perniagaan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Mengapa kami nyatakan demikian? Ini kerana, makanan merupakan salah satu keperluan asas bagi manusia dan perniagaan pula wujud bagi memastikan kita dapat memenuhi keperluan hidup. Justeru ramai yang menyedari hakikat ini, menjadikan perniagaan makanan suatu yang tidak lapuk dek zaman. Pelbagai cara dan kaedah diwujudkan dan dicipta bagi masing-masing melariskan jualan makanan mereka. Ini adalah bagus dan sememangnya merupakan satu persaingan yang sihat jika dilakukan dengan betul.
Dalam memulakan sebarang bisnes, apa yang perlu anda fokuskan adalah bagaimana caranya untuk mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda namun pada masa yang sama tidak perlu mengeluarkan modal yang terlalu banyak. Ya, salah satu cara yang boleh dilakukan bagi mencapai kedua-duanya adalah dengan melakukan perniagaan makanan dari rumah.
Sebenarnya, konsep perniagaan dari rumah telah lama wujud, namun bezanya dengan sekarang ialah dahulu mungkin ianya tidak begitu dikenali dan diketahui dek kerana kurangnya jaringan komunikasi yang wujud bagi para peniaga dari rumah untuk memasarkan jualan makanan mereka.
Kini, terima kasih kepada perkembangan teknologi, perniagaan makanan dari rumah telah menjadi satu ‘trend’ dan tumbuh bak cendawan selepas hujan. Sementelah lagi di zaman ekonomi tidak menentu ini dan melihat kepada konsepnya yang menguntungkan, perniagaan makanan dari rumah kedengaran seperti sesuatu yang menjanjikan.
Kepada anda yang mungkin sedang mempertimbangkan sama ada mahu meneruskannya atau tidak, jawapan kami: Teruskan! Kerana belum cuba belum tahu, dan bagi membantu menyenangkan kerja anda, di sini kami telah menyenaraikan beberapa petua untuk anda mengorak langkah pertama menjadi seorang usahawan perniagaan makanan dari rumah!
Petua #1 – Kenalpasti makanan apa yang ingin dijual
Kredit: media.giphy.com
Ya, sebelum anda meneruskan apa-apa proses selanjutnya, tentukan dahulu jenis makanan bagaimana yang ingin anda jual. Terdapat berpuluh-puluh (atau beratus-ratus) jenis pilihan makanan yang boleh di pilih dan anda cuma perlu memilih satu atau beberapa jenis makanan yang anda rasakan mahu jual sahaja kerana harus anda ingat bahawa kualiti adalah lebih utama berbanding kuantiti.
Ini adalah penting kerana ia merupakan salah satu faktor yang akan mempengaruhi jualan anda kelak. Sebagai contoh, anda rasakan yang makanan kegemaran rakyat Malaysia, nasi lemak, mampu dipasarkan dengan lebih luas, maka fokus terhadap menu tersebut sahaja.
Kalaupun anda ingin menambah beberapa ‘side dishes’ untuk dijual bersama, pastikan ianya tidak terlalu kontra dari segi jenisnya dengan menu utama yang ingin anda jual. Terlalu ‘tamak’ untuk meniagakan banyak jenis makanan sekali gus tidak hanya ia akan mempengaruhi kualiti makanan anda, tetapi juga merumitkan kerja anda kelak.
Petua #2 – Rancang bisnes anda dengan teliti!
Kredit: s4.scoopwhoop.com
Dalam apa jua yang dilakukan, perlu ada perancangan yang teliti bagi memastikan kelancaran sesuatu perkara yang dilakukan. Begitu juga dengan perniagaan dari rumah. Perancangan yang rapi membolehkan anda mempunyai panduan dalam mengendalikan hala tuju perniagaan anda baik dari segi masa sekarang atau masa depan.
Apabila anda sudah ada perancangan yang rapi tentang apa dan bagaimana ingin anda kendalikan pernigaan makanan dari rumah anda, tentu proses seterusnya akan menjadi lebih mudah kerana anda hanya perlu mengikut plan yang telah anda rancang, sebagai contoh bagaimana perniagaan anda ingin dijalankan, berapa orang pekerja yang diperlukan dan jumlah bajet yang diperlukan.
Jika perniagaan dari rumah, kaedah yang paling efektif untuk digunakan adalah melalui alam maya, maka anda mungkin boleh membina sebuah laman web atau media sosial bagi mempromosikan dan menguruskan perniagaan anda tersebut.
Petua #3 – Cipta ruang yang betul dan selesa
Kredit: static1.squarespace.com
Sudah nama pun perniagaan makanan dari rumah, tentulah tempat operasinya juga di rumah anda bukan? Jika perniagaan makanan yang lain dijalankan di tempat yang khusus iaitu dipanggil restoran, anda meniagakan makanan melalui perniagaan dari rumah anda, di mana ia lagi selesa dan mudah.
Namun, tidak bermakna ia semudah itu! Walaupun anda beroperasi dari rumah, anda tetap juga harus mengambil serius terhadap bisnes makanan anda dengan cara menyediakan ruang yang betul bagi memasak dan menyediakan makanan yang ingin dijual.
Selain itu, anda harus memastikan ruang menyediakan makanan tersebut (dan keseluruhan rumah) cukup bersih dan berada dalam keadaan terbaik dimana ia mempunyai ruang yang cukup bagi memudahkan anda melakukan tugas memasak. Salah satu cara yang boleh anda lakukan ialah dengan melakukan sedikit perubahan terhadap ruang memasak, ruang menyimpan makanan kering dan juga basah mengikut yang sepatutnya supaya ia lebih teratur.
Petua #4 – Sediakan bajet yang secukupnya
Kredit: az616578.vo.msecnd.net
Salah satu aspek penting yang perlu anda letakkan dalam senarai perancangan anda ialah bajet. Buat kira-kira dengan teliti akan modal yang diperlukan bagi memulakan perniagaan makanan anda tersebut. Jika simpanan yang anda ada tidak mencukupi, tidak ada salahnya dengan membuat pinjaman wang dari mana-mana bank atau institusi kewangan berlesen yang menyediakan pinjaman wang.
Namun, pastikan jumlah yang di pinjam memadai untuk anda mulakan perniagaan dari rumah anda itu, jangan terlalu berlebihan dan jangan pula sehingga tidak mencukupi.
Petua #5 – Dapatkan bantuan dan nasihat dari pakar
Kredit: http://68.media.tumblr.com
Tidak mudah sebenarnya untuk memulakan sesuatu bisnes, walaupun perniagaan dari rumah sekalipun. Terlalu banyak proses dan perkara yang perlu dilalui terlebih dahulu sebelum ia boleh dijayakan. Jika anda fikir anda boleh lakukan semuanya sendirian, dari A-Z, fikir semula. Sebaiknya rujuk atau mintalah nasihat dan bantuan pakar terlebih dahulu.
Tidak semestinya pakar tersebut ialah orang yang betul-betul diiktiraf dalam sesuatu bidang tersebut, boleh jadi mereka berada di kalangan rakan-rakan terdekat atau disekeliling anda sahaja! Atau rujuk sahaja dari mereka yang telah lama ‘makan garam’ dalam bidang perniagaan makanan dari rumah tentang tips dan sebagainya. Melalui itu, anda mungkin akan dapati pengetahuan atau ilmu baru yang mungkin tidak anda ketahui sebelum ini.
Petua #6 – Cari pembekal bahan mentah
Kredit: bb-mld.com
Jangan ambil mudah tentang hal ini! Berdasarkan pengalaman anda yang membeli bahan mentah dalam skala yang kecil (bagi dimasak untuk diri dan keluarga), anda mungkin fikir mendapatkan bekalan bagi bahan mentah itu adalah mudah bukan? Jika bahan tersebut adalah bahan kering yang mudah didapati di mana-mana kedai atau pasar raya, tidak menjadi masalah. Bagaimana pula jika ia bahan yang perlu dibeli segar setiap hari?
Cuba fikir: Anda ingin membuka perniagaan dari rumah durian crepe dalam skala yang besar dan jumlah durian yang anda perlukan dalam sehari ialah 50 biji, selalunya anda akan mendapatkannya dari sebuah gerai yang biasa anda kunjungi, tapi apa akan terjadi apabila gerai yang selalu anda kunjungi itu tutup atau kehabisan bekalan durian?
Oleh itu, amat penting untuk anda mencari pembekal bahan mentah yang membolehkan anda mendapatkan bekalan setiap hari tanpa risau kehabisan stok supaya tidak terjadi kes ketiadaan bahan mentah untuk dimasak! Tambahan pula, apabila anda sudah menjadi pemborong tetap, sudah pasti anda boleh mendapat harga yang jauh lebih murah berbanding jika dibeli di kedai biasa.
Petua #7 – Lakukan ‘research’ secukupnya sebelum memulakan perniagaan anda
Kredit: pinimg.com
Ini pula petua bagi anda yang mahu memulakan perniagaan dari rumah, namun masih belum ada idea makanan apa yang ingin dijual, anda bolehlah cuba melakukan tinjauan dan cari tahu makanan apa yang sedang mendapat permintaan ramai dan bagaimana dengan pasarannya? Atau, boleh sahaja gunakan kreativiti anda dengan mencipta resepi baru mahupun mengolah resepi yang telah sedia ada bagi menarik perhatian pembeli. Selalunya makanan yang unik atau susah untuk didapati sentiasa mendapat permintaan yang tinggi.
Walau bagaimanapun, kami percaya, setiap perniagaan makanan itu mampu berjaya jika dilakukan dengan betul. Tidak kiralah apa jua jenis makanan yang anda mahu jual; baik moden mahupun tradisional, apa yang penting adalah pastikan anda betul-betul memahami cara pembuatan, cara pengendalian dan bahan yang diperlukan, barulah produk yang anda ingin jual akan laku kerana anda telah memberikan yang terbaik dalam penghasilannya.
Petua #8 – Gunakan kuasa viral dan viralkannya!
Kredit: i0.kym-cdn.com
Jangan tunggu sehingga anda sudah siap semua persediaan barulah hendak hebahkannya kepada umum. Sebaiknya, ketika masih dalam proses, anda sudah mula viralkannya, mungkin dengan cara ‘teaser’, menyebut tentang harga promosi pengenalan dan mula perkenalkan menu anda.
Dengan ini, orang akan tertunggu-tunggu produk makanan anda untuk mula dijual dan pada hari pertama anda sudah memulakan jualan, orang akan mula berpusu-pusu membuat tempahan. Cubalah kaedah ini, dan anda pasti terkejut akan hasil dari kuasa viral!
Semoga dengan perkongsian petua ini akan membantu anda untuk memulakan perniagaan makanan dari rumah bagi menambah pendapatan di samping mengasah lagi bakat memasak anda yang sedia ada! Selamat berjaya!