Atkins diets merupakan salah satu diet yang terdapat di Malaysia dan yang dipraktikan oleh penduduk malaysia demi mengurangkan berat badan.
Namun begitu sebelum anda mempraktikan diet ini, fahamilah betul-betul diet ini agar anda dapat menghilangkan berat badan dengan betul.
Apa itu Atkins Diet?
Diet Atkins ialah sejenis corak pemakanan yang diperkenalkan oleh Dr. Robert C. Atkins bagi membantu seseorang individu untuk mengurangkan berat badan melalui konsep pembakaran karbohidrat dan lemak di dalam badan.
Dengan mengurangkan dan mengehadkan makanan berkarbohidrat seperti nasi, mi, kentang dan gula, badan akan mula membakar lemak sebagai sumber tenaga dan mengurangkan lemak dalam badan anda.
Prinsip Diet Atkins adalah menyekat karbohidrat, jadi tubuh kita seolah-olah dipaksa untuk membakar lemak yang disimpan. Pendekatan Diet Atkins boleh memberi kesan positif kepada kehidupan orang menghadapi risiko berkaitan dengan diabetes, penyakit jantung dan tekanan darah tinggi. Ia juga boleh mengurangkan masalah gastrousus, alahan tertentu, sakit kronik dan lemah sistem imun.
4 Fasa Atkins Diet:
Fasa 1: Induksi (Induction)
Fasa 2: Susut Berat badan Berterusan (Ongoing Weight Loss)
Fasa 3: Pra-Penyelenggaraan (Pre-Maintenance)
Fasa 4: Penyelenggaraan Seumur Hidup (Lifetime Maintenance)
Fasa 1: Induksi (Induction)
Bagi Fasa pertama, anda dikehendaki mengambil makanan dibawah 20 gram karbohidrat selama 2 minggu. Makan makanan yang tinggi dalam kandungan lemak, protin serta sayuran yang rendah dalam kandungan karbohidrat.
Had 20 gram karbohidrat induksi bukan bertujuan untuk menyusahkan anda tetapi untuk memastikan badan anda membakar lemak dan bukannya glukosa. Dari segi sainsnya, badan akan menggunakan glukosa sebagai bahan api terlebih dahulu sebelum lemak.
Jika anda menghadkan karbohidrat 20 gram atau kurang dalam sehari, kandungan glukosa badan anda akan habis dalam masa 48 jam. Selepas itu, apa yang dibakar oleh badan anda sebagai tenaga adalah lemak semata-mata dan dengan ini caranya anda akan menghilangkan lemak.
Fasa 2: Susut Berat Badan Berterusan (Ongoing Weight Loss)
Fasa ini dikenali sebagai fasa Ongoing Weight Loss atau Susut Berat Badan Berterusan. Dalam fasa ini anda boleh menambahkan kekacang, kemudian buah-buahan yang rendah kandungan karbohidrat, makan yogurt, keju segar, tomato & limau nipis.
Justeru itu anda digalakkan untuk meningkatkan pengambilan makanan berkarbohidrat secara berperingkat, daripada hanya memakan 20 gram sehari, ditambah 5 gram setiap minggu (kepada 25 gram, 30 gram, 35 gram dan sebagainya) supaya anda tahu had toleransi karbohidrat anda.
Had toleransi kabohidrat anda ialah jumlah karbohidrat tertinggi sehari (dalam gram) badan anda boleh proses tanpa menyebabkan penambahan atau kekurangan berat badan.
Fasa 3: Pra-Penyelenggaraan (Pre-Maintenance)
Memasuki fasa 3 iaitu Pre-Maintenance atau Pra-Penyelenggaraan, boleh ditambah buah-buahan yang lain, maka sayur-sayuran yang lebih tinggi karbohidrat, maka bijirin penuh; secara beransur-ansur meningkatkan pengambilan karbohitrat jika masih kehilangan berat badan.
Fasa 4: Penyelenggaraan Seumur Hidup (Lifetime Maintenance)
Untuk mengekalkan berat badan anda, anda perlu tahu berapa gram karbohidrat anda boleh makan setiap hari. Dalam fasa Penyelenggaraan Seumur Hidup (Lifetime Maintenance), anda perlu belajar menentukan jumlah karbohidrat yang anda boleh diambil. Tetapkan nilai pengambilan karbohidrat sesuai dengan toleransi badan anda terhadap karbohidrat.
Makanan Yang Perlu Dielakkan Ketika Atkins Diet:
- Semua jenis nasi, roti, bijirin, oat, mee dan spagetti.
- Gula pasir, gula melaka, gula perang, gula merah, madu, gula-gula dan apa-apa yang bergula tinggi.
- Semua jenis buah-buahan atau jus buah-buahan
- Semua jenis minuman bergula, Milo, barli, air berkarbonat (Coke, Pepsi, 100plus, dan lain-lain)
- Segala bentuk kekacang, tempe dan sebagainya.
- Makanan berproses seperti bebola ikan, bebola sotong, bebola ayam (bertepung)
- Makanan bertepung seperti kek, biskut, kuih-muih dan semua produk bergandum.
- Sos dan kicap (kebanyakkannya tinggi karbohidrat)
- Sayuran berkarbohidrat tinggi seperti kentang, segala jenis ubi, lobak merah.
- Produk tenusu seperti susu, yoghurt, dadih, tak kira rendah lemak atau tidak.
- Makanan ringan seperti gula-gula, kerepek kentang, coklat, aiskrim, Twisties, Nachos, popcorn dan jeruk.
- Satay yang diperap dengan gula atau madu. Keropok lekor, otak-otak dan satay.
Makanan Yang Boleh Diambil Ketika Atkins Diet:
- Daging seperti daging lembu, kambing, ayam dan lain-lain.
- Lemak ikan dan makanan laut seperti salmon, sardin dan lain-lain.
- Telur yang paling sihat diambil ialah Omega-3.
- Sayuran yang rendah karbohidrat seperti bayam, brokoli, asparagus dan lain-lain.
- Lemak yang sihat seperti minyak zaitun dan minyak kelapa.
Tips-Tips Lain Yang Perlu Anda Tahu
1. Minum Banyak Air
Anda perlu minum air yang banyak untuk mengurang kan air di dalam badan. Ini kerana apabila kita minum air kosong yang banyak, kita akan mengelakkan diri kita dari dehidrasi atau kekeringan. Kemudian kita akan lebih kerap ke tandas untuk membuang air.
2. Elak buah-buahan
Ramai yang ingin diet dengan memakan buah-buahan. Namun kita perlu ingat, buah-buahan berwarna mengandungi kandungan gula yang agak tinggi jika diambil dalam kuantiti yang berlebihan.
Gula yang berlebihan ini akan ditukar kepada kanji dan akan disimpan sebagai lemak jika kita tidak gunakan. Secara dasarnya, diet dengan hanya memakan buah-buahan adalah menyeksa diri, sebab kita akan lapar.
3. Bersenam
Pengemar bersukan, sila lah bersukan, kegiatan sukan seperti berenang, joging, berjalan dan sebagainya akan membantu untuk mengurangkan berat badan, namun ini hanya tambahan.
Menu Makanan Atkins Diet:
Isnin
Pagi: Sosej cili padi
Tengah hari: Tomyam ayam
Malam: Ayam bakar
Selasa
Pagi: Stim brokoli dengan ayam
Tengah hari: Sup daging dengan 2 biji telur
Malam: Ikan goreng
Rabu
Pagi: 1 biji telur rebus
Tengah hari: 3/4 ketul ayam goreng
Malam: Sup udang cendawan
Khamis
Pagi: Telur gulung inti popiah
Tengah hari: Steak daging dengan brokoli
Malam: Sup ayam dengan sayuran
Jumaat
Pagi: 2 biji telur
Tengah hari: Ikan pari bakar
Malam: 1 ekor ikan kembung sambal
Sabtu
Pagi: Murtabak sardin
Tengah hari: Sup ikan
Malam: Telur hancur dengan 2 potong sosej
Ahad
Pagi: Sup telur
Tengah hari: Ayam panggang
Malam: Udang butter
Berikut merupakan contoh menu yang anda boleh ikuti bagi yang ingin mengamalkan diet atkins. Ingatlah bahawa pemakanan yang betul mampu membantu anda mengurangkan berat badan dengan betul dan anda harus ingat supaya tidak berlapar.
Atkins diet bukan merupakan satu kaedah yang tidak mengambil makanan namun begitu mengambil sesetengah makanan dengan kuantiti yang sedikit.
Jika anda mempunyai menu Atkins yang lain, bolehlah kongsi bersama kami kerana kami turut ingin mengetahui makanan yang anda makan bagi mengharungi Atkins diet.