Kuih klasik Malaysia ialah pencuci mulut tradisional yang kekal sehingga ke hari ini dengan resipi yang diwarisi secara turun-temuru dari generasi ke generasi. Tanpa perlu berfikir dua kali, mana-mana rakyat Malaysia pasti mengakui bahawa kuih klasik inilah yang merupakan antara komponen penting yang memberikan identiti pada warisan dan budaya Malaysia.
Sejajar dengan peredaran masa, kebanyakan kafe dan restoran di Malaysia, khususnya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, memberikan sentuhan moden pada resipi-resipi kebanggaan masyarakat Malaysia terdahulu supaya lebih menarik dan memenuhi kehendak masyarakat moden seperti golongan belia untuk menghargai dan menikmati resipi-resipi tradisional ini.
Pilihan Ramai: Klasik atau Moden?
Meskipun begitu, rata-rata masyarakat bandar merasakan teknik, rasa dan tekstur kuih tradisional tidak dapat ditandingi dengan pilihan pencuci mulut moden yang ada di luar sana. Hal ini demikian kerana kuih klasik di bandar ibarat permata di limbahan; memang sukar dan jarang-jarang sekali untuk ditemui. Oleh sebab itulah, gerai-gerai kuih yang dibuka di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur menjadi begitu laris.
Untuk segarkan semula ingatan anda tentang kuih klasik Malaysia yang semakin sukar untuk ditemui, bacalah perkongsian kuih kami yang pasti membuatkan anda menelefon ibu anda di kampung dan menghidupkan enjin kereta demi gigitan kuih penuh enak di mulut!
Kuih Bingka
Kuih berwarna kuning air ini mungkin kelihatan tidak begitu menarik berbanding pencuci mulut barat. Namun begitu, pencuci mulut manis ini diperbuat daripada ubi kayu yang diperisa dengan kastard pandan. Kuih ini juga dikenali dengan nama yang cukup kontroversi iaitu kek Kasanova.
Kenapa? Mungkin disebabkan sesiapa yang makan kuih ini akan tergila-gilakannya. Walau apapun rahsia disebalik nama ‘Kasanova’ tersebut, kuih berpulut yang kenyal ini cukup sedap dimakan sebagai sarapan pagi ekspres atau tika minum petang santai.
Kuih Talam Cendol
Kuih talam ialah kuih yang yang agak mudah untuk ditemui, Jadi, anda pasti tidak berasa begitu kagum melihat kuih ini disenaraikan. Sebenarnya, bukan kuih talam calang-calang yang nak dimasukkan dalam senarai ini. Kuih talam yang kami ketengahkan ialah kuih talam cendol.
Ya, pasti ramai yang tercengang-cengang atau menggaru kepala memikirkan, ‘Kuih cendol pun ada? Biar betul!’. Kuih talam cendol ini mengganti sarikaya pandan berwarna hijau dengan sarikaya berisikan cendoi. Sekarang, kalau teringin nak makan cendol tapi anda tak mahu makan terlalu banyak, inilah alternatif anda!
Kuih Kosui
Kuih kosui atau dengan namanya di negeri-negeri Utara, kuih lompang, adalah kuih yang kenyal dan comel, biasanya dimakan bersama parut kelapa. Kuih kosui merupakan kuih kegemaran bangsa Cina mahupun bangsa Melayu. Kuih yang juga dikenali dengan nama Koh Swee diperbuat daripada tepung beras dan kanji ubi.
Kedua-dua bahan inilah yang menyebabkan kuih ini kenyal. Selain itu, inilah juga sebab kuih ini lebih digemari oleh kanak-kanak berbanding orang tua. Masakan tidak, penat nak mengunyahnya nanti.
Kuih Nagasari
Kuih Nagasari ini tidak mempunyai sejarah asal-usul berkaitan dengan naga. Kuih ini merupakan kuih pulut putih dengan ketulan pisang di bahagian tengah dan dibungkus dengan daun pisang. Cara menyediakan kuih ini adalah mudah saja. Pekatkan campuran santan, tepung beras, tepung jagung di atas dapur.
Kemudian, bentukkan adunan tersebut dengan lubang ditengah-tengah untuk letakkan sehiris pisang sebelum balut aduan tersebut dalam daun pisang dan biar ia kukus. Daun pisang menjadi pilihan balutan kerana membuatkan bau kuih wangi dan lebih menyelerakan apabila anda membuka untuk makan kuih di dalam.
Kuih Cara
Adakah anda biasa makan kuih cara? Kalau ya, baguslah. Kalau tidak, aduh…anda terlepas satu nikmat besar! Kuih cara ialah kuih yang cukup versatil kerana anda boleh makannya secara savori atau sebagai kuih yang manis. Apabila diterangkan sebegini, pasti anda boleh bayangkan kuih kuning dengan hirisan cili dan ayam di atas. Namun begitu, bukan kuih cara berlauk yang ingin diketengahkan di sini.
Di bandar-bandar besar, cukup sukar untuk kita temui kuih cara manis. Ironiknya, cara pembuatan kuih cara manis ini lebih ringkas daripada yang berlauk! Masalah timbul kerana teknik penyediaan kuih cara manis memerlukan penelitian yang tinggi. Anda kena pastikan rasa manisnya seimbang dengan rasa lemak kuih cara itu sendiri. Silap hari bulan, sakit gigi nanti sebab terlalu manis!
Kuih Cakar Ayam
Kuih klasik seterusnya yang membuatkan penduduk bandar tidak lena tidur apabila memikirkannya ialah kuih cakar ayam. Kuih cakar ayam ini bukanlah kuih yang dibiarkan terdedah dan ayam mencakarnya. Oh, tidak….Itu kuih tak bersih namanya. Kuih ini diberi nama sebegitu kerana teknik pembuatannya yang unik.
Kuih ini disediakan menggunakan hirisan ubi keledek bersira gula. Malangnya, kuih ini agak sukar ditemui kerana ramai yang tidak memiliki kemahiran pembuatan kuih yang tinggi dan sanggup ‘tahan panas’ ketika menggoreng dan membentuknya.
Putu Piring
Bagi anak-anak jati Pulau Pinang dan Melaka, anda pasti sudah cukup kenal dengan kuih bernama putu piring ini. Bagi yang tidak biasa makan ataupun lihat kuih ini, pasti anda sedang bayangkan putu mayam lebihan yang dijadikan kuih. Tidak, tidak…Buang fikiran mengarut itu jauh-jauh.
Kuih putu mayam datang daripada nama puttu dalam bahasa Tamil-Kerala yang membawa maksud nasi yang dikukus. Putu ini istimewa kerana berintikan gula melaka cair dan kelapa parut. Memang sedap sangat dimakan ketika musim hujan kesunyian di dalam pejabat sementara menanti waktu pulang.
Apam Gula Hangus
Adakah anda peminat kek coklat? Jika ya, kuih ini boleh menjadi pengganti tika anda gatal lidah nak mengunyah sesuatu yang bercoklat. Kuih apam ini diperisa dengan gula yang dikaramelkan (sebab itulah namanya gula hangus) dan biasanya berwarna coklat karamel (sekali lagi, seperti warna gula hangus).
Kuih ini gebu seperti kek tetapi sedikit kenyal. Kekenyalan inilah yang menjadikan apam ini cukup sedap dimakan, tambah-tambah lagi dengan kelapa parut. Memang terangkat jari! Walaupun kuih apam ini sama seperti kek dari segi rupanya, tetapi cara pembuatannya memerlukan kemahiran teknik yang tinggi. Jika tersilap, alamatnya, apam anda akan menjadi padat dan terlalu kenyal.
Lempeng Kelapa
Lempeng kelapa yang juga dikenali sebagai lempeng nyoq dalam kalangan orang Utara merupakan sejenis snek oleh orang Melayu. Makanan ini menggunakan adunan sama seperti penkek Inggeris tetapi adunan tepungnya digaul bersama isi kelapa parut. Lempeng kelapa banyak dijadikan hidangan sarapan oleh orang Melayu Pantai Timur, terutamanya di Terengganu dan Kelantan. Hidangan ini juga sesuai dimakan untuk waktu minum petang dan minum malam bersama kopi panas.
Kuih Wajik
Jika anda sukakan tekstur pulut yang kenyal, makan wajik mungkin boleh menjadi kuih kegemaran baru anda. Kuih ini dimasak menggunakan pulut yang diperisa dengan gula melaka sebelum dipadatkan dalam bekas dan dikukus. Walaupun kuih ini mudah ditemui di kedai-kedai makanan India dan makanan Melayu, tetapi teknik yang digunakan akan menentukan sama ada kuih tersebut laris apapu tidak. Jika tidak dimasak dengan betul, kuih wajik ini langsung tidak enak untuk dimakan, keras dan menyakitkan rahang anda untuk dikunyah.
Walaupun terdapat lambakan kuih-muih yang sudah dimodenkan seperti nasi lemak burger dan KitKat cendol tetapi kuih-muih klasik masih lagi menjadi dambaan ramai kerana keunikan bahan, teknik pembuatan dan resepi warisannya.
Meskipun begitu, kuih-muih yang dimodenkan dilihat sebagai satu penghargaan dan usaha baik untuk memelihara warisan-warisan Melayu supaya dikenali dan masih dinikmati oleh generasi seterusnya walaupun rupa serta teksturnya berbeza. Apapun, sebelum kuih-muih ini hilang ditelan zaman, lekas cari dan cuba semua kuih di atas!