Site icon Butterkicap

10 Petua Meluaskan Perniagaan Online Makanan Anda Dengan Berkesan

Untuk menceburi bidang perniagaan, sememangnya anda memerlukan minat yang mendalam tentang hal-hal perniagaan dan keazaman yang tinggi dalam menjayakan perniagaan tersebut. Apabila kita melihat para usahawan yang berjaya, kita secara tiba-tiba, mempunyai semangat tinggi dalam memajukan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Bukan itu sahaja, strategi yang betul-betul berkesan, jika dilaksanakan dengan betul, pasti akan membuatkan sesebuah perniagaan itu akan berjaya.

Jika anda perhatikan senario dunia perniagaan pada masa kini, ramai peniaga yang melakukan pelbagai usaha untuk melariskan jualan mereka termasuklah golongan yang bergelar usahawan perniagaan makanan online. Dengan lambakan pilihan yang ada, para peniaga makanan online harus bijak mencari jalan untuk meluaskan lagi perniagaan mereka dengan berkesan. Berikut merupakan 10 petua meluaskan perniagaan online makanan dengan berkesan bagi peniaga (ya, andalah!) yang mungkin sedang tercari-cari idea untuk realisasikan impian anda ini.

 

Petua 1 – Gunakan aplikasi yang sesuai dan menyenangkan


Kredit: marketingland.com

Terdapat pelbagai jenis aplikasi yang wujud pada hari ini yang mampu menyenangkan anda untuk menjalankan sebarang perniagaan online. Oleh itu, manfaatkan kelebihan ini sepenuhnya dalam usaha anda meluaskan lagi empayar perniagaan anda itu.

Sebagai contoh, aplikasi Crowdfire boleh membantu anda menambah bilangan pengikut di Instagram dan Twitter perniagaan makanan anda dengan cara mengecilkan skala cadangan pengguna Instagram untuk diikuti supaya relevan dengan perniagaan anda. Dengan ini, anda dapat menjimatkan masa dan yang paling penting sekali, memudahkan kerja anda dengan cara memberi fokus terhadap perkara yang memberikan manfaat pada perniagaan anda tersebut.

 

 

Petua 2- Berkomunikasi dengan pelanggan

Petua ini merupakan salah satu ciri yang penting dalam perkembangan sesebuah perniagaan. Anda harus ‘bercakap’ dengan pelanggan untuk mengetahui kemahuan dan harapan mereka terhadap perniagaan anda itu. Kalau tiada komunikasi yang dilakukan bersama pelanggan, bagaimana anda boleh tahu tentang apa yang lebih dan kurang tentang makanan yang anda jual itu?

Siapa tahu, walaupun anda rasa anda telah letakkan yang terbaik dalam operasi perniagaan anda itu, ada lagi aspek yang anda terlepas pandang. Maka, dengan cara ‘follow up’ dan mendapatkan ‘feedback’  pelanggan yang membeli makanan daripada perniagaan anda, anda mungkin mendapat idea dan sedikit pandangan tentang kemahuan pelanggan atau aspek yang mereka mahu anda tingkatkan lagi.

 

 

Petua 3 – Headline biar menarik!


Kredit: images.gr-assets.com

Ada apa dengan headline?

 

Melalui headline, anda akan menentukan sama ada pelanggan akan berminat atau tidak untuk membaca kandungan yang anda tulis. Oleh itu, penting untuk anda tahu ‘bermain’ dengan ayat-ayat yang ‘catchy’ dan menarik bagi mempromosikan perniagaan anda itu supaya tidaklah orang tengok dan ‘scroll’ laju-laju apabila sampai di bahagian makanan anda kelak!

 

 

Petua 4 – Pelajari cara-cara ‘digital marketing

Istilah ‘digital marketing’ merujuk pada pemasaran produk atau servis menggunakan teknologi digital, iaitu melalui internet, telefon pintar, iklan pameran dan lain-lain medium digital yang sedia ada.

Sementelah lagi perniagaan makanan anda sememangnya dijual melalui sistem online, pengetahuan ‘digital marketing‘ ini sesuatu yang wajib anda pelajari sebagai satu usaha untuk meluaskan lagi perniagaan anda. Sebaiknya, dalam memastikan keberkesanan kaedah pemasaran yang digunakan, pelajari dahulu pemasaran digital yang sesuai dengan bisnes anda. Terdapat berpuluh-puluh, malahan beribu-ribu pilihan yang boleh anda pilih, Anda cuma perlu cari yang terbaik dan bersesuaian dengan bajet dan konsep yang anda mahu.

 

 

Petua 5 – Bina keyakinan pelanggan


Kredit: media.giphy.com

Nasi Kerabu Ayam Bakar yang anda jual itu sememangnya sedap dan menggunakan bahan-bahan segar yang terbaik tetapi;

Bagaimana anda nak yakinkan pelanggan anda?

 

Daripada memberitahu secara terus kepada pelanggan, cara yang lebih efektif yang anda boleh lakukan adalah dengan menunjukkan bukti testimoni pelanggan sebenar yang telah merasai keenakan masakan yang anda jual itu!

Paparkan testimoni pendapat mereka, pujian dan sebagainya yang merujuk pada makanan yang telah mereka cuba. Dengan ini, golongan yang belum merasai makanan tersebut pasti akan tertarik untuk membeli kerana bukti daripada pelanggan terdahulu sudah ada di depan mata.

Selain itu, anda boleh nyatakan kredibiliti anda sebagai tukang masak yang mahir dalam menyediakan sajian itu dengan cara memberikan bukti sahih dan pengiktirafan profesional yang dianugerah kepada anda. Tidak semestinya anda mesti ada sijil memasak dari akademi memasak tersohor baru orang ramai berasa yakin untuk membeli. Boleh jadi juga anda menunjukkan kredibiliti anda berdasarkan pengalaman anda yang sudah lama berkecimpung dalam bidang memasak menu tersebut.

 

Petua 6 – Susunan paparan media sosial dan laman web anda biar kemas

Apa pendapat anda bila paparan laman web atau media sosial yang anda kunjungi itu susunannya cantik dan mempunyai tema dan gayanya yang tersendiri? Sudah tentu membuatkan anda berlama-lama di ‘page’ tersebut bukan? Nah, begitu juga halnya dengan perniagaan makanan online anda itu. Pastikan ‘page‘ anda  kemas dan menarik supaya orang ramai akan berasa suka untuk mengunjungi ‘kedai makan’  maya anda.

Petuanya adalah  dengan membina laman web atau media sosial yang ‘perfect’ dari segala segi, bermula dari cara penyusunan gambar, cara gambar makanan diambil, gaya penyusunan ayat sehinggalah ke tema, semuanya harus mempunyai identiti yang tersendiri.

Percayalah, dengan cara ini, paling kurangpun anda akan membuat orang ramai berminat untuk mengikuti media sosial perniagaan anda itu dek kerana semua makanan tampak sedap!

 

 

Petua 7 – #Hashtag

Kredit: giphy.com

Apabila sudah siap letakkan gambar dan ‘caption’ di setiap ‘post’ makanan yang anda mahu jual, jangan lupa letakkan hashtag (#) yang bersesuaian di bawahnya! Hashtag memainkan peranan penting supaya memudahkan kita untuk mencari sebarang info tentang produk, servis, tempat atau apa jua hal yang berkaitan dengan cara menaip kata kunci yang  berkaitan.

Contohnya anda menjual variasi kuih-muih tradisional, mungkin anda boleh menggunakan hashtag #kuihtradisional, #sedap, #trulyMalaysia, #Malaysiandelicacies, #resepituruntemurun dan sebagainya, supaya apabila ditaip, pos anda akan turut sama dipaparkan. Dengan cara ini, sudah pasti orang akan perasan akan kewujudan laman web mahupun media sosial anda itu.

Penggunaan hashtag sememangnya terbukti mampu meluaskan sebarang perniagaan online yang dijalankan apabila ramai peniaga yang mengaku bahawa dengan meletakkan hashtag yang sesuai, orang ramai akan mudah untuk mencari ‘kedai’ mereka!

 

 

Petua 8 – Buat ‘giveaway’!

Siapa yang tidak sukakan hadiah, bukan? Anda boleh cuba untuk sekali-sekala membuat ‘giveaway’ atau pertandingan atau potongan harga supaya dapat memeriahkan laman web atau akaun media sosial perniagaan online makanan anda itu.

Pemberian hadiah, potongan harga dan yang sewaktu dengannya dilihat sebagai sesuatu yang amat efektif untuk seseorang peniaga online meluaskan jaringan perniagaan mereka kerana ‘the more you give, the more you’ll get’. Orang ramai sudah pasti berminat untuk menyertai pertandingan tersebut kerana tidak memerlukan usaha yang banyak untuk menyertainya.

Contohnya, anda boleh memberi potongan harga 50% kepada peserta yang memberikan komen dan ‘like’ terbanyak pada pos anda serta pemberian hidangan percuma untuk mereka yang ‘repost’ pos anda dengan ‘caption’ yang paling menarik dan sebagainya. Dengan cara ini, secara tidak langsung perniagaan anda tentu akan berkembang! Ini merupakan tips yang menguntungkan kedua-dua pihak, baik anda sebagai peniaga makanan online mahupun mereka yang menjadi pelanggan.

 

 

Petua 9 – Upah ‘influencer’ untuk mempromosikan perniagaan anda


Kredit: media.giphy.com

Ramai peniaga online yang mengaku apabila produk mereka diguna atau disebut oleh golongan berpengaruh atau terkenal, pelanggan mereka semakin ramai. Mungkin anda boleh menggunakan kaedah ini juga dengan menjalin kerjasama bersama food blogger atau selebriti  media sosial.

 

 

Petua 10 – Beri yang terbaik!

Kredit: giphy.com

Ya, petua ini mungkin kedengaran terlalu klise tetapi sebenarnya sangat penting. Dalam apa jua yang anda buat dalam perniagaan makanan online anda, berikan yang terbaik daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah ke perkara yang besar dan penting.

Bagi memastikan perniagaan anda itu tetap terus berkembang, anda perlu konsisten dalam memberikan yang terbaik kepada pelanggan anda, jangan hanya sekadar membuat kerja ala kadar, kerana hasilnya nanti akan nampak pada produk yang anda jual kelak.

print