Bulan Ramadhan sudah hampir ke penghujungnya dan semua orang sudah mula berasa semangat untuk membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri. Namun begitu, di sebalik kesibukan kita membuat amal “last kopek” pada bulan yang mulia ini sambil merancang menu Hari Raya Aidilfitri yang ingin dihidang nanti kepada tetamu dan saudara-mara yang hadir.
Dalam kesibukan kita dengan hal masing-masing, adakah kita sedar bahawa terdapat sebuah keluarga yang sama dengan kita di satu ceruk negara ini yang tidak tahu sama ada mereka dapat menikmati juadah yang menyelerakan untuk berbuka pada petang ini.
Masalah Pembaziran
Hal ini bukanlah berlaku semalam atau seminggu yang lalu. Fenomena pembaziran makanan ini sudah lama berlaku sehinggakan purata makanan yang dibuang mencapai jumlah yang membimbangkan iaitu kira-kira 3 ribu tan metrik sehari seperti yang dilaporkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Malangnya, kedatangan bulan Ramadhan menyaksikan pembaziran besar-besaran yang berlaku tanpa kita sedari. Sebenarnya, di setiap restoran, bazar dan buffet Ramadhan yang kita kunjungi, hanya sebahagian kecil sahaja makanan yang habis dijual sementara yang lain dibuang begitu sahaja.
Berita baik, masalah pembaziran makanan yang berlaku di Malaysia ini tidak dipandang senteng. Terdapat banyak agensi dan badan kerajaan serta bukan kerajaan yang berusaha untuk mengatasi dan mengurangkan kadar makanan yang dibuang setiap hari. Salah satu badan ini merupakan Food Aid Foundation (FAF).
Kenali Food Aid Foundation
Untuk memahami dengan lebih lanjut lagi tentang Food Aid Foundation, kami telah pergi ke pejabat yayasan tersebut di Bandar Tun Razak, Cheras. Di sana, Puan Hayati Ismail sudah bersedia untuk menerima kedatangan kami.
Apabila bertanya kepada beliau apakah sebenarnya Food Aid Foundation, Puan Hayati berkata…
Yayasan ini berfungsi sebagai sebuah bank makanan yang menyalurkan makanan lebihan, lazimnya barangan runcit kering seperti beras, yang disumbang oleh orang perseorangan mahupun organisasi kepada golongan miskin.
Hal ini demikian kerana prinsip FAF berteraskan ketelusan, layanan sama rata dan penghargaan terhadap makanan. Yayasan ini berazam untuk menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat awam tentang hak semua manusia, tanpa mengira bangsa dan agama. Dalam erti kata lain, kami merasakan semua orang berhak menikmati makanan yang berkhasiat dan berzat.”
Kami seterusnya ingin mengetahui perkara yang membezakan yayasan ini daripada agensi-agensi atau badan bukan kerajaan lain yang sama-sama membuat kebajikan makanan ini. Hal ini demikian kerana di Malaysia, masih lagi timbul kecelaruan dalam kalangan masyarakat umum tentang klasifikasi atau jenis-jenis badan kebajikan yang ditubuhkan untuk membantu golongan susah atau tidak berkemampuan.
Puan Hayati menjawab ringkas, “Pertama sekali, Food Aid Foundation adalah sebuah bank makanan. Kami tidak mempunyai dapur umum sepertimana Kechara, Kasih4U dan Pertiwi yang khas dalam membantu golongan gelandangan. Itu ialah salah faham yang paling kerap berlaku.
Kami banyak menerima individu-individu yang ingin menjadi sukarelawan untuk gelandangan. Oleh sebab kami hanyalah bank makanan, kami akan rujuk individu ini ke badan-badan yang khas membantu golongan gelandangan. Kami hanya memastikan makanan yang disalurkan adalah secara sistematik dan mengawal pembaziran.”
Pencapaian Food Aid Foundation
Semenjak penubuhan Food Aid Foundation dua tahun lalu, Food Aid Foundation pastinya telah berada di kedudukan yang lebih baik daripada masa yayasan tersebut mula-mula ditubuhkan. Antara pencapaian yang berjaya diperolehi adalah kolaborasi yayasan ini bersama jenama-jenama besar seperti pasar raya Tesco dan Kellogg’s yang banyak menyalurkan makanan kering untuk dibahagikan kepada individu atau keluarga yang memerlukan.
Selain itu, yayasan ini juga telah mempunyai beberapa pejabat cawangan seperti di Kedah Kelantan serta pejabat operasi baru di Pulau Pinang nanti. Puan Hayati juga memaklumkan kami bahawa kadar pembaziran makanan pada Ramadhan kali ini, khususnya di hotel-hotel dan restoran berbufet berjaya dikurangkan kerana kesedaran tentang masalah ini mula tersebar dalam kalangan pengusaha-pengusaha premis tersebut.
Berkenaan perancangan masa hadapan pula, Puan Hayati berkata, “Di Food Aid Foundation, kami tidak pernah berhenti bekerja. Khususnya, pada bulan Ramadhan dan Syawal yang bakal menjelma, kami menumpukan aktiviti sumbangan makanan di rumah-rumah perlindungan di sekitar Lembah Klang. Sementara itu, pejabat cawangan kami di Kedah dan Kelantan menyalurkan sumbangan kepada keluarga-keluarga tidak berkemampuan yang sudah berdaftar dengan kami.”
Sertai Food Aid Foundation
Sepanjang dua tahun beroperasi, Food Aid Foundation telah membuka jalan kepada golongan yang tidak berkemampuan untuk merasai nikmat makanan yang sebenar. Hal ini tidak dapat dicapai tanpa kerjasama seluruh pasukan yayasan dan juga duta-duta yayasan ini yang banyak berusaha untuk membuka mata masyarakat tentang masalah makanan di Malaysia, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Buat masa ini, duta termuda Food Aid Foundation ialah chef cilik berusia 9 tahun bernama Leah Chow. Selain itu, usaha Food Aid Foundation ini disokong dengan nama-nama besar dalam industri makanan dan kulinari seperti Dato’ Seri Hj. Ibrahim Hj Ahmad Badawi iaitu Pengerusi Eksekutif jenama makanan terkenal Brahim’s dan Prof. Chef Zamzani (Chef Zam). Jika mereka boleh meluangkan masa untuk inisiatif murni ini, masakan anda tidak?
Setiap bantuan, baik kecil atau besar, masih cukup bermakna untuk membawa perubahan besar kepada individu dan juga keluarga yang tidak pernah merasa peluang untuk menikmati makanan yang berzat dan berkhasiat sepertimana yang kita dapat nikmati.
Menurut Puan Hayati lagi, kebanyakan keluarga yang menerima bantuan makanan daripada Food Aid Foundation terdiri daripada keluarga yang hanya mendapat peluang makan sekali sehari sahaja. Oleh itu, bantuan daripada orang ramai sentiasa dialu-alukan.
Terdapat tiga cara yang anda boleh berikan bantuan. Cara pertama adalah menerusi sumbangan wang. Cara kedua adalah menerusi sumbangan makanan sendiri. Pastikan makanan yang ingin disumbang adalah halal dan selamat dimakan.
Anda boleh menghubungi Food Aid Foundation untuk mendapatkan butiran lanjut tentang cara anda boleh membuat derma tersebut. Cara yang terakhir adalah yang paling mudah iaitu menerusi pembelian e-booklet resipi di laman sesawang Butterkicap di butterkicap.com/shop.
Peluang Beramal Sambil Makan
Bulan Ramadhan ini akan menjadi lebih bermakna untuk anda dengan sumbangan serendah RM 7. Sepertimana anda berasa teruja untuk menyambut Ramadhan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan meriah bersama keluarga dan orang tersayang, begitu jugalah individu-individu dari keluarga yang tidak berkemampuan.
Bawa arus perubahan dalam kehidupan mereka menjelang lembaran akan datang dengan membuat sumbangan kecil menerusi e-buku resepi khas dari Butterkicap dan Chef Syafiq Sharom sebagai duta Food Aid Foundation. E-buku resepi ini memuatkan 18 resepi mudah, ringkas, menyelerakan dan pastinya tidak membazir makanan anda seperti onde-onde cip coklat, nasi tiga benua, bubur lambuk dan sebagainya.
Dengan setiap pembelian e-buku resepi ini iaitu sebanyak RM7, 50% daripada pembelian anda akan disalurkan ke Food Aid Foundation untuk membantu golongan yang memerlukan.
Bukan sahaja anda anda dapat menikmati pelbagai makanan yang enak sebagai juadah berbuka mahupun dihidang kepada tetamu anda semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri malah anda memberikan sinar harapan baru kepada keluarga lain juga.
Untuk membuat pembelian e-buku resepi ini, anda boleh ke Butterkicap.com/shop.
Selamat memasak dan beramal!