Dunia perniagaan sungguh mencabar dan pelbagai jenis perniagaan sering datang dan pergi. Salah satu cara untuk terus kekal dan maju dalam arena perniagaan adalah dengan mewujudkan program kesetiaan pelanggan yang menarik. Ini membolehkan perniagaan anda mempunyai daya tarikan yang unik dan tersendiri berbanding dengan perniagaan lain. Jadi, bagaimana ini boleh di buat? Jika nak pikat pelanggan, pertama sekali bayangkan diri anda sebagai seorang rakan atau teman. Cara nak pujuk pelanggan adalah dengan membentuk program kesetiaan anda seolah-olah ianya seorang teman yang senang didampingi yang sentiasa memberi sokongan pada pelanggan. Disini, kami nak kongsi bersama beberapa cara atau tips yang boleh membantu anda dalam memperbaiki program kesetiaan pelanggan perniagaan anda.
- Perlu ada rasa berperikemanusiaan. Kalau nak tarik pelanggan mestilah mesra! Pikat pelanggan dengan memberi keprihatinan terhadap perasaan mereka. Ambil tahu apa yang pelanggan suka? Apa yang mereka mahu dan apa yang akan akan buat mereka kecewa? Kebanyakan perniagaan tidak peka terhadap perasaan dan emosi pelanggan dan tindakan seperti ini tidak menggalakkan kesetiaan para pelanggan. Perniagaan anda harus mempamerkan sikap mesra terhadap pelanggan supaya mereka boleh berasa mudah untuk berurusan dengan anda. Anda perlu cuba untuk meyakinkan para pelanggan bahawa perniagaan anda bukan sahaja terletak pada jenama yang dibawa tetapi ianya juga mempunyai para pekerja yang baik, mesra serta cekap yang akan mencuba sedaya upaya mereka untuk memuaskan kehendak pelanggan.
- Bersopan santun dan mempamerkan sikap dan perasaan berterima kasih. Jangan ingat pelanggan bodoh! Keikhlasan itu penting dan pelanggan tahu sekiranya program atau produk anda hanya mahu mengaut keuntungan semata-mata. Pujian serta ungkapan terima kasih boleh merupakan sesuatu yang amat berkesan setanding dengan jumlah mata dan potongan harga tetapi ianya mestilah ikhlas. Jika anda ikhlas, pelanggan juga akan tanpa ragu-ragu mengesyorkan jenama anda pada orang lain. Adalah penting bagi anda untuk mendengar dan melihat apabila pelanggan anda mengesyorkan jenama perniagaan anda pada orang ramai serta mempopularkannya melalui media sosial. Bila ini dilakukan hargailah pelanggan anda dan beri ganjaran sewajarnya.
- Libatkan pelanggan dalam pembuatan keputusan. Tunjukkan kepada pelanggan yang anda hargai pendapat mereka. Sekiranya anda melaksanakan cadangan yang telah diberikan oleh pelanggan, mereka akan merasakan bahawa pendapat mereka bermakna bagi anda. Ini akan membuatkan mereka berasa istimewa dan sekaligus menyukai jenama barangan anda. Bila dah suka tentu mereka akan jadi pelanggan setia
- Membina perasaan kemasyarakatan. Kebanyakan perniagaan mahir dalam memberi ruang untuk pelanggan mereka memberi pendapat tetapi mereka tidak memberi pelanggan mereka apa-apa maklumat untuk dibincangkan yang boleh membuahkan pendapat tertentu. Anda harus tahu dan cekap dalam memulakan perbualan tentang topik-topik yang mempunyai hubung kait dengan jenama perniagaan anda. Ini akan membolehkan orang ramai membentuk hubungan antara satu sama lain yang secara tidak langsung membina kesetiaan terhadap jenama dan perniagaan anda.
- Berikan kejutan istimewa kepada mereka. Rutin harian adalah membosankan. Cara terbaik untuk memerikan kebahagiaan dan mewujudkan perasaan positif terhadap jenama dan perniagaan anda adalah dengan memberikan kejutan istimewa kepada pelanggan anda berbentuk hadiah. Ianya tidak memerlukan satu pelaburan yang besar. Cukup umpamanya dengan pemberian bunga ros bagi Hari Ibu. Perasaan gembira yang cukup positif ini boleh merebak dan siapa tahu jenama anda akan disebut di media sosial.
- Bergembiralah dengan usaha anda! Mulakan dengan memastikan para pekerja anda gembira menjadi sebahagian dari jenama anda. Rakan perniagaan serta para pekerja yang setia akan secara semulajadinya mempamerkan perasaan positif terhadap para pelanggan.
Fikirkan jenama anda sebagai kawan. Siapakah yang para pelanggan anda akan jadikan teman sepanjang hayat? Dan dengan siapakah yang mereka mahu berkawan? Seperti sifat seorang kawan yang baik, adalah amat penting bagi jenama dan perniagaan anda mempunyai sifat disukai, mudah berurusan dan sentiasa peka dan prihatin terhadap pelanggan.