Meskipun makanan Malaysia sudah mula mencuri perhatian semua, khususnya tokoh kulinari global dan masyarakat di Barat, tetapi masih berlaku kekurangan sokongan untuk memasarkan produk tradisional Malaysia seperti sambal, kerepek, jeruk dan sebagainya di landasan pasaran antarabangsa. Akibatnya, perniagaan makanan tradisional Malaysia kekal menggenang dan tidak berkembang.
Jadi, apakah yang diperlukan untuk menyelesaikan isu ini?
Foodmarket Sedia Membantu
Kesedaran terhadap permintaan dan tuntutan global yang semakin bertambah di seluruh dunia terhadap produk-produk tempatan khususnya makanan tradisional mula dirasai oleh pengusaha makanan tempatan. Namun begitu, produk-produk sebegini lazimnya disediakan pada skala kecil oleh penduduk di kampung-kampung. Hal ini demikian kerana resepi-resepi asli bagi produk-produk tradisional ini diwarisi turun-temurun.
Jadi, bagaimanakah produk-produk yang dihasilkan pada skala kecil ini dapat dikumpul dan dijual secara komersial?
Terletak di Bandar Seri Permaisuri, Foodmarket memberikan sinar harapan bagi pengusaha makanan tempatan untuk mempromosi dan memenuhi tuntutan global terhadap produk tempatan yang tradisional.
Tonggak Foodmarket
Di sebalik setiap perniagaan yang berjaya, pastinya terdapat seorang individu yang bertanggungjawab dalam mencetuskan idea dan merealisasikan idea tersebut. Begitu juga yang berlaku dengan Foodmarket. Hanya berbekalkan modal sebanyak RM 10,000, Engku Isa Al-Husam, Pengarah Urusan Husam Waksa Sdn Bhd. melancarkan kedai maya Food pada April 2015.
Apabila bertanya tentang dorongan untuk membuka Food Market, beliau menjawab, “Saya sebenarnya mempunyai syarikat makanan eksport, iaitu Husam Waksa Sdn. Bhd. Kami mengeksport jenama tempatan seperti Adabi, F&N dan Faiza.
Jadi, sebagai pengeksport makanan, kami akan mendapat permintaan daripada agensi-agensi kerajaan untuk pasarkan produk-produk tertentu dan semestinya agak sukar untuk dipenuhi kerana ada produk yang mahal tetapi tidak dibungkus cantik yang menarik perhatian pengguna untuk membeli.
Satu lagi sebab Foodmarket dibuka adalah apabila saya mendapati ada banyak produk-produk tempatan yang diusahakan usahawan kecil di bazar-bazar yang memang sedap dan berkualiti. Satu masalah saya dapati ialah para usahawan kecil ini tiada akses pada platform yang betul untuk mereka teruskan memasarkan produk mereka.” Saya pun fikir:
Apakah cara yang paling murah untuk bantu mereka?’ dan di situlah lahirnya idea Food Market secara maya.
Sejak dari itu, sambutan yang diperoleh adalah sangat baik dan Foodmarket berkembang dengan promosi mulut-ke-mulut pelanggan tetap mereka. Buat masa ini, Foodmarket mengeksport produk mereka ke Brunei, Singapura, Indonesia, Hong Kong, London, Amsterdam, Arab Saudi, Mesir, UAE dan Oman.
Dari Alam Maya ke Kedai Foodmarket
Walaupun bermula sebagai perniagaan beli-belah dalam talian, terdapat kedai Food Market yang dibuka di Bandar Seri Permaisuri, Cheras yang boleh dikunjungi oleh penduduk yang tinggal di sekitar kawasan Lembah Klang untuk datang sendiri dan melihat rangkaian produk yang ditawarkan.
Menurut Engku Husam, “Walaupun laman beli-belah merupakan satu idea yang baik dan moden tetapi rakyat Malaysia masih kurang mengguna alam maya sebagai landasan beli-belah mereka, khususnya untuk barangan makanan seperti sambal, kerepek dan sebagainya.
Rata-rata pelanggan kami adalah dalam lingkungan umur 35-45 tahun dan mereka sangat teliti dalam pembelian barangan makanan sebab mereka nak tahu pasal kualiti dan rasa makanan tersebut. Sebelum wujudnya kedai Foodmarket, pelanggan akan ke pejabat kami berdekatan. Oleh sebab kakitangan kami tidak menang tangan untuk melayan mereka, jadi kedai Foodmarket di Cheras dibuka.”
Cabaran Foodmarket
Lumrah setiap perniagaan untuk menghadapi pasang surut. Sebagai sebuah platform makanan tempatan, pastinya Foodmarket mempunyai cabaran-cabaran tertentu yang dihadapi dan perlu diatasi.
Apabila soalan tersebut dilontar kepada pengasas Foodmarket, beliau berkata, “Masalah dengan kedai dalam talian ialah pengguna dapat menilai produk yang ditawarkan hanya melalui gambar dan gambar produk semestinya ada yang tak cantik. Kami berjaya selesaikan isu tersebut dengan pembukaan kedai Foodmarket.
Isu yang kedua adalah bungkusan produk itu sendiri. Walaupun sudah ada kedai fizikal untuk dikunjungi oleh para pelanggan tetapi kalau bungkusan produk tidak ditambah baik, sia-sialah.
Jadi, kami mengajar vendor kami cara untuk pasarkan produk mereka dengan rekaan yang cantik, tulisan yang menarik dan juga cara untuk pasturkan produk mereka agar tahan lama. Setakat ini, kami mendapat respons yang baik dan kadar jualan setiap vendor kami meningkat selepas perubahan yang dibuat.”
Mengunjungi Foodmarket
Apabila melangkah masuk ke dalam kedai Foodmarket, anda akan melihat sebuah kedai yang mempunyai dekorasi ringkas dan bertemakan kampung; bersesuaian dengan rangkaian produk yang tersusun cantik.
Semestinya, anda akan berasa bingung melihat begitu banyak produk di sana. Jadi, soalan seterusnya yang diajukan adalah produk laris atau wajib dicuba apabila anda berkunjung ke kedai Foodmarket ataupun ketika membeli-belah di kedai maya Foodmarket.
“Di Foodmarket, kami pasarkan produk daripada 60 orang vendor kami yang terdiri daripada sambal, kerepek, belacan, budu dan macam-macam lagi. Antara produk laris kami ialah Bawang Goreng Premium Malay Cook, Sambal Pahang Diraja dan Sambal Hijau by Malay Cook. Produk-produk ini sememangnya menjadi kegemaran ramai termasuklah Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Sultan Iskandar.”
Jika anda pertama kali mengunjungi kedai Foodmarket, jangan lupa untuk membeli produk-produk tersebut. Pasti membuatkan anda berkunjung kembali.
Nasihat dan Tips Usahawan
Sebagai sebuah perniagaan yang berjaya, pastinya Foodmarket mempunyai beberapa tip atau nasihat yang dapat diberi dan dikongsi bersama bakal-bakal usahawan atau peniaga yag beraspirasi dalam kalangan anda. Berikut merupakan antara beberapa nasihat yang boleh membantu anda dan perniagaan anda:
Tip #1 – Harga Setara dengan Persembahan Produk
Lazimnya, para peniaga lebih tertumpu pada proses penyediaan makanan, bahan yang digunakan dan tenaga buruh berbanding pembungkusan makanan. Mereka menganggap pengguna mementingkan kualiti dan rasa. Tanggapan itu sememangnya betul tetapi untuk menarik perhatian pelanggan, rekaan, tulisan cetak dan warna memainkan peranan penting bagi memastikan kelarisan produk. Jika tidak, memang rugilah peniaga.
Tip #2 – Sentiasa Berusaha untuk Memperbaiki Diri
Kebanyakan usahawan kecil-kecilan khususnya peniaga ataupun pengusaha makanan tradisional yang menggunakan resepi warisan sering berada di zon selesa. Zon selesa di sini bererti mereka sudah biasa menyiapkan jumlah produk pada skala yang kecil.
Namun begitu, setiap perniagaan, fitrahnya adalah untuk berkembang. JIka anda sebagai pengusaha tidak bermotivasi untuk sentiasa memperbaiki diri dan mempertingkatkan perniagaan anda, produk anda tidak akan laris.
Tip #3 – Menerima Bantuan Bukan Tanda Lemah
Usahawan kecil seperti mak cik dan pak cik di kampung menganggap kejayaan atau keuntungan yang diperoleh selayaknya diterima oleh mereka sendiri kerana merekalah yang mengusahakan perniagaan mereka itu.
Ada kalanya, bantuan diperlukan dalam proses mengembangkan lagi perniagaan. Sedikit pelaburan untuk menggaji pekerja membantu anda bukanlah tanda anda lemah tetapi menunjukkan bahawa produk anda semakin laris.
Akhir Kata
Foodmarket berjaya memposisikan diri mereka sebagai kasyaf perniagaan produk tradisional dan skala kecil sekaligus, menunjukkan bahawa perniagaan mereka berbeza daripada laman beli-belah komersial lain.
Kualiti, variasi dan rasa produk yang dipasarkan sudah cukup untuk menunjukkan bahawa Foodmarket akan kekal lama dalam industri makanan tempatan serta pasti dapat berkembang dengan lebih besar lagi pada tahun-tahun mendatang.
Jika anda berasa tertarik untuk mencuba sendiri produk yang dijual di Foodmarket, anda boleh berkunjung di kedai Foodmarket di Bandar Seri Permaisuri, Cheras ataupun lawati laman sesawang Foodmarket di www.foodmarket.com.my Pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi 019-666 4889.
Peta: