Site icon Butterkicap

Kesihatan, Makanan dan Clean & Lean Cafe

Butterkicap/Clean and lean sports bistro and cafe

Kredit: Clean & Lean Sports Bistro and Cafe

Kesihatan dan makanan bersatu di Clean & Lean Sports Bistro and Cafe.

Apabila memikirkan soal pemakanan atau diet yang sihat, ramai yang mempunyai perspektif yang agak fokus (dan sedikit sempit) tentang hal tersebut. Bagi mereka, pemakanan sihat adalah memilih makanan yang langsung tiada gula, tiada lemak dan tiada garam. Dalam erti kata lain, golongan yang ingin mengamalkan pemakanan yang sihat perlu mengorbankan nikmat menikmati makanan yang sedap dan enak demi memastikan. Apa gunanya anda hidup sampai ke tua tetapi tidak dapat menjamah langsung nasi lemak, teh tarik, roti canai dan char kuey teow?

Kredit: Clean and Lean Cafe and Bistro

Dr. Gan Eng Cheng, pemilik Clean & Lean Sports Bistro and Cafe, ingin mengubah pandangan dan senario bisnes makanan sihat di Malaysia menerusi pegangan dan idea beliau tentang pemakanan sihat yang seimbang malah tanpa memerlukan anda berkorban dan menahan diri daripada menikmati makanan selesa kegemaran anda. Untuk mengetahui cara Dr. Gan menggabungkan aspek kesihatan dalam makanan dengan lebih lanjut, Butterkicap menemui beliau di kafe beliau yang terletak di sudut Plaza TTDI berdekatan stesen MRT TTDI. Seorang yang ramah dan bersemangat, Dr. Gan tidak malu-malu untuk membuka cerita tentang inspirasi beliau untuk membuka bistro kesihatan beliau ini;

“Terdapat dua sebab kenapa saya begitu menekankan aspek kesihatan dalam kehidupan saya. Keluarga saya semuanya berbadan besar, termasuklah saya. Semasa kecil saya berbadan gempal dan sukar untuk saya mengawal berat badan saya kerana maklumlah, apabila seluruh keluarga sukakan makanan, jadi, sukar untuk menahan diri daripada makan makanan yang enak-enak. Selain itu, sejarah keluarga saya yang rata-rata menghidapi penyakit kencing manis dan darah tinggi membuatkan saya sedar bahawa saya perlu menjaga pemakanan saya dari sekarang.

Sebenarnya, saya mendapati, kebanyakan pesakit-pesakit saya merupakan bekas atlet ataupun golongan yang rajin bersukan. Namun begitu, disebabkan mereka tidak mempunyai pengetahuan atau cara untuk menyeimbangkan pemakanan mereka, mereka mengalami sakit-sakit sendi, sakit lutut kerana kaki mereka terpaksa menampung beban berat yang lebih apabila mereka bersukan. Dengan tujuan untuk memperkenalkan cara atau corak pemakanan yang sesuai, saya telah membuka kafe dan bistro saya ini dua tahun lalu.”

 

Butterkicap/Dr. Gan Eng Cheng

Setelah mendengar penjelasan panjang lebar beliau, kami pastinya tertanya-tanya bagaimana seorang doktor perubatan yang sibuk dengan tugas di hospital dapat mencuri masa untuk membuka dan menguruskan sebuah kafe kesihatan demi merealisasikan cita-cita beliau menyebarkan idea pemakanan sihat yang ideal. Sambil tersenyum, Dr. Gan memberikan jawapan kepada kami;

“Saya seseorang yang sangat teliti dan saya mahu kafe saya melambangkan prinsip kesihatan yang saya pegang dalam penyediaan makanan. Oleh itu, saya mengambil masa enam bulan…untuk mencari segala perhiasan dan dekorasi kedai sahaja. (ketawa) Lihat semua perhiasan yang saya cari, semuanya adalah barangan sukan vintaj, klasik (tunjuk barangan yang ada di dinding). Semua ini saya dapat semasa melancong ke luar negara seperti di England. Satu lagi rahsia, kebanyakan daripada perabot dan perhiasan adalah barangan terpakai yang saya dapat di Cash Converters. (ketawa) Jadi, tengoklah,,untuk cari barang dekorasi saja, saya ambil masa selama enam bulan. Itulah tahap dedikasi saya untuk menubuhkan kafe ini.

Tugas saya sebagai seorang doktor memang mengambil sebahagian besar daripada tmasa saya tetapi kafe ini merupakan impian dan hobi saya. Saya mahu kafe ini berjaya. Saya ambil masa untuk memasak dan mencuba sendiri makanan selesa yang rakyat Malaysia suka seperti kek coklat supaya dapat dimasukkan ke dalam menu saya. Contohnya, kek coklat tanpa tepung ini (tunjuk pada kek) saya cuba dan bereksperimen berkali-kali untuk dapatkan hasil seperti yang saya mahukan.  Saya suka memasak dan sukakan makanan dan satu cara untuk hilangkan stress saya. Saya begitu gembira dapat bereksperimen dan memasak.

Butterkicap/Clean and Lean Sports Bistro and Cafe

Mendengar jawapan beliau, kami berasa pandangan beliau terhadap makanan adalah sangat unik dan sedikit sebanyak berbeza daripada pandangan pakar kesihatan dan perubatan lain.

Dalam erti kata lain, beliau melihat makanan
sebagai satu bentuk rawatan

 

Hal ini demikian kerana setiap jenis makanan yang kita makan sebenarnya menentukan masa hadapan kesihatan kita. Jika makanan kita seimbang dan terkawal, semestinya masa hadapan kesihatan kita adalah bebas daripada penyakit dan sihat. Walau bagaimanapun, restoran dan kedai yang mempromosi makanan kesihatan masih baru dan tidak begitu dikenali ramai. Pernyataan ini disokong oleh Dr. Gan.

“Dari segi penerimaan pelanggan, kafe ini masih lagi tidak dikunjungi ramai orang kecuali kumpulan individu yang bekerja di kawasan sekitar, khususnya pada waktu tengah hari manakala pada waktu pagi dan waktu petang, kebanyakan pelanggan terdiri daripada pesakit-pesakit di pusat pemulihan. Hal ini demikian kerana masih ramai yang salah faham tentang konsep pemakanan sihat. Jadi, perniagaan kafe agak perlahan.

Kebanyakan rakyat Malaysia menganggap pemakanan sihat hanya perlu diamalkan apabila badan mereka berpenyakit. Sebaliknya, pemakanan sihat perlu diamalkan dari sekarang. Sepertimana yang saya katakan, makanan adalah suatu bentuk rawatan.  Merawat badan supaya bebas daripada penyakit bukan sahaja bergantung pada pemakanan sahaja. Terdapat amalan lain yang anda perlu amalkan supaya badan kekal sihat. Misalnya, bagi yang mengalami penyakit diabetes, anda boleh bersenam, minum air yang banyak, sekurang-kurangnya 5 liter sehari dan teknik ‘intermittent fasting’.”

Butterkicap/Clean and Lean Sports Bistro and Cafe

Setelah mendengar penjelasan panjang lebar Dr. Gan, kami memahami kepentingan untuk rakyat Malaysia mempelajari dan mengamalkan gaya hidup sihat. Namun begitu, bagaimana pendedahan ini dapat dilakukan? Dr. Gan memberitahu kami caranya;

“Saya mengadakan ceramah dan perbincangan kesihatan setiap dua bulan sekali. Kami membincangkan pelbagai isu kesihatan dan juga pemakanan sihat yang tidak diketahui oleh orang ramai di pusat pemulihan saya. Selain itu, saya juga bercadang untuk mengadakan kelas memasak untuk mengajar resepi-resepi sihat untuk memudahkan orang ramai supaya mampu mengekalkan gaya hidup sihat walaupun sibuk. Namun begitu, kelas tersebut masih lagi dalam perancangan kerana saya tiada masa lagi untuk betul-betul merancang kelas tersebut. (ketawa)”

 

Kredit: Butterkicap/Wall art

Terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi oleh Dr. Gan untuk memastikan kafe beliau berjaya. Antara cabaran terbesar yang beliau hadapi adalah mengekalkan kakitangan beliau. Hal ini demikian kerana terdapat masalah kecacingan yang dikenal pasti dialami oleh 3 daripada 5 pekerja asing di Malaysia. Bagi beliau, tiada gunanya beliau menekankan aspek kesihatan sebagai tema kafe beliau jika kakitangan beliau sendiri tidak mempunyai tahap kebersihan yang tinggi. Oleh itu, beliau memastikan kakitangan sedia ada beliau dijaga dengan baik supaya mereka selesa bekerja bersama beliau. Selain itu, beliau juga mengalami satu lagi masalah besar.

“Pada bulan Ramadhan ini, perniagaan kafe menjadi sedikit perlahan kerana rata-rata pelanggan kami terdiri daripada orang Melayu. Namun begitu, kami menangani masalah ini dengan membuka kiosk makanan di KPJ Damansara. Selain itu, kami juga mempunyai promosi Ramadhan untuk dinikmati pada harga yang berpatutan. Saya faham rakyat Malaysia melihat kepada tiga perkara dalam mencari makanan iaitu nilai, kualiti dan kuantiti. Di sini, saya menjamin mereka akan dapat ketiga-tiga perkara tersebut. (ketawa) Makanan kami dimasak menggunakan bahan-bahan tempatan dan saya juga sedang berusaha untuk mendapatkan lebih banyak sumber pembekal bahan segar yang organik dengan bekerjasama bersama rukun tetangga TTDI disamping merancang untuk membuka ladang sayur hidroponik saya sendiri.”

Kredit: Clean and Lean Cafe & Bistro

 

Kredit: Clean and Lean Cafe & Bistro

 

Setelah dua jam duduk bersama Dr. Gan, sudah tiba masa untuk kami menamatkan temu ramah kami bersama Dr. Gan. Banyak maklumat bermanfaat yang kami terima berkenaan kesihatan dan penjagaan makanan daripada beliau. Sebelum beredar, kami ingin mengetahui apakah harapan dan nasihat yang beliau ingin sampaikan kepada golongan muda-mudi yang ingin berkecimpung dalam dunia perniagaan makanan dan inilah jawapan beliau;

Tentukan arah tuju anda, tetapkan tema perniagaan anda dan dapatkan kakitangan yang mempunyai pandangan yang sama seperti anda tetapi, perkara yang paling penting yang menggerakkan anda untuk mencapai kejayaan adalah satu sahaja; diri anda sendiri. Kekalkan semangat dan minat anda serta jangan gelabah jika anda menghadapi masalah.”

 

Jika anda bercadang untuk menikmati hidangan yang enak dan sihat sebagai hidangan berbuka anda petang nanti, anda boleh hubungi ataupun pergi sahaja ke Clean and Lean Cafe & Bistro untuk pengalaman makan yang penuh berinformasi di:

A: A-1-13 TTDI Plaza, Jalan Wan Kadir 3
Taman Tun Dr. Ismail Kuala Lumpur 60000 my
T: +60377221905
E: info@cleanandleanbistro.com
W: cleanandleanbistro.com

 

print