Mengapa Sekarang Masa Terbaik untuk Menjalankan Perniagaan Makanan Sihat?

Rakyat Malaysia pada hari ini nampaknya lebih peka terhadap aspek kesihatan dalam kehidupan seharian mereka. Bermula dengan kesedaran yang tinggi akan membantu untuk menjamin kehidupan yang lebih produktif dan positif di kemudian hari. Bukan sekadar senaman, tetapi pemilihan makanan yang sihat juga harus bergerak selari dengan misi untuk merealisasikan sebuah kehidupan yang sihat.

Pepatah inggeris ada menyebut ‘You Are What You Eat’, maksudnya apa yang dimakan, itulah yang akan mempengaruhi fizikal, emosi dan tingkahlaku seseorang individu secara tidak langsung.

Bermula daripada saat ingin mengubah gaya hidup untuk menjadi lebih sihat, pemilihan makanan seharian yang diambil juga haruslah lebih selektif, kerana ia akan mempengaruhi gaya hidup seseorang. Sekiranya seseorang itu adalah jenis yang sangat menggemari hampir segala jenis makanan (terutama pemanis mulut ) maka pastinya pada permulaannya akan menjadi amat sukar. Tambahan pula dengan kemunculan semakin banyak ‘kafe-kafe hipster’ di merata ceruk yang tidak dapat dinafikan kebanyakannya menyajikan makanan-makanan yang sangat enak, lantas pasti akan mencabar dan menguji ketahanan mental seseorang. Sekiranya keazaman dan ketahanan mental tidak kuat, silap haribulan, diet pasti akan hancur ke laut dibuatnya.

Tetapi, sejak kebelakangan ini, rakyat Malaysia yang sangat menitikberatkan soal kesihatan dilihat sanggup berhabisan wang ringgit untuk mendaftar di gimnasium dan pusat-pusat kesihatan, malahan ada juga yang sanggup berbelanja lebih untuk memastikan menu makanan yang diambil juga tergolong dalam kategori ‘makanan sihat’. Rata-rata di laman sosial pasti berlambakan gambar-gambar ‘selfie’ anak-anak muda mahupun golongan dewasa sedang beraksi dengan pelbagai aktiviti senaman di gimnasium, taman rekreasi ataupun pusat-pusat kesihatan, dan ada juga yang dengan bangga akan berkongsi gambar makanan-makanan sihat yang diambil. Dengan adanya kesedaran ini, secara tidak langsung turut mempengaruhi cara pengambilan makanan yang lebih cenderung kearah kesihatan. Ada yang rajin dan sanggup turun ke dapur untuk menyediakan sendiri menu yang menetapi ‘piawaian’ kesihatan mengikut kesesuaian dan selera masing-masing. Tetapi bukan mudah, hendak disukat kandungan yang terdapat dalam setiap makanan. Gula, garam, lemak malahan jumlah kalori, semua harus diambil kira dan dihitung dengan teliti agar tidak berlebihan daripada kadar yang sepatutnya.

Maka, dengan adanya laman-laman sosial seperti Facebook dan Instagram ia bagaikan satu ‘rahmat’ kerana ia amatlah memudahkan dan sangat membantu. Dengan perkongsian terlalu banyak gambar-gambar makanan yang menarik dan juga iklan perniagaan makanan online yang semakin banyak diiklankan di laman sosial hari ini, ia amat membantu perniagaan makanan sihat yang semakin berkembang. Justeru, adalah lebih relevan untuk sekadar melayari laman sosial dan memilih begitu banyak pilihan menu yang menyediakan makanan-makanan yang memenuhi piawaian kesihatan kerana segala bahan-bahan yang digunakan telah disukat dengan tepat. Amat mudah, pilih menu ikut selera, terus pesan dan bayar ‘online’ dan mereka akan menghantar makanan terus ke hadapan pintu rumah kerana hampir kesemua mereka menyediakan perkhidmatan ‘delivery’ atau penghantaran terus ke rumah mahupun pejabat.

Sumber: Digital News Asia/Food Panda

Perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah adalah kemudahan atau servis yang amat relevan pada hari ini. Sungguh mudah, semuanya hanya di hujung jari sahaja. Contohnya, aplikasi ‘Food Panda’ yang semakin hangat menjadi bualan pada masa ini, hanya perlu muat turn aplikasi tersebut di telefon bimbit, pilih makanan daripada menu yang disediakan, bayar ‘online’ ataupun sewaktu penghantaran dibuat, dan dalam masa lebih kurang setengah jam, makanan pun akan sampai di hadapan mata. Ya, semudah itu. Sebagai contoh, salah satu pilihan yang disenaraikan di dalam direktori atau menu ‘Food Panda’ ialah ‘Caesar Salad with Smoked Salmon’ daripada Goodness Greens Cafe dengan harga RM24.90, yang mana harganya adalah amat berbaloi kerana bukan sahaja akan menjimatkan masa, tetapi juga tenaga dan petrol (yang semakin mahal) dan apabila makanan tersebut sampai, sayur-sayuran dan ikan salmon yang terkandung di dalamnya juga dijamin masih tetap segar dan lazat, sama sahaja rasanya seperti menikmati hidangan tersebut di restoran, malahan lebih selesa kerana makanan itu kini boleh dinikmati di rumah sahaja, lebih santai rasanya.

Di Instagram juga ada terlalu banyak pilihan, contohnya seperti ‘eatcleanKLbyKhairena’, yang telah memulakan perniagaan menyediakan makanan sihat sejak tahun 2013. Beliau merupakan pengamal dan pelatih yoga yang mempunyai sijil yang diiktiraf dalam pengurusan berat badan dan kesihatan.

Sumber: eatcleankl

Oleh itu, pelanggan tidak perlu merasa was-was kerana beliau berkemahiran dan berpengalaman. Selain daripada menyediakan menu harian untuk pelanggan yang sedang berdiet, beliau turut menyediakan menu untuk wanita-wanita di dalam pantang yang baru lepas melahirkan. Sangat mudah! Mengikut pemerhatian, perniagaan makanan sihat di talian online adalah amat relevan dewasa ini kerana gaya hidup rakyat Malaysia yang sentiasa sibuk mengejar masa dengan urusan harian sehingga tidak menang tangan. Sekurang-kurangnya, sudah tidak perlu lagi fikir hendak ke dapur berhempas-pulas memasak, kerana semuanya sudah beres diatur, siap dihantar ke muka pintu, hanya tinggal hendak menyuap masuk makanan ke dalam mulut sahaja.

Tidak dinafikan, perniagaan makanan di Malaysia sememangnya boleh mendatangkan pendapatan lumayan, malah ada peniaga yang berjaya sehingga bergelar jutawan, kerana hakikatnya, rakyat Malaysia memang suka makan.

Lihat sahaja daripada warung sekecil-kecil tidak sehinggalah restoran bertaraf lima bintang di mana-mana pun, pasti akan ada pelanggan yang tetap datang menjamu selera. Walaupun dengan keadaan ekonomi kini yang agak kurang memberangsangkan, tetapi perut tetap perlu diisi bila sampai waktunya. Jadi, sekiranya betul gaya dan makanan yang disajikan menetapi citarasa, harga pula berpatutan dan servis juga ‘tip-top’, pastinya perniagaan makanan sihat ini akan berjaya kerana pelanggan setia pasti akan tetap datang mencari makanan kegemaran mereka.

Apabila hendak memulakan sesuatu perniagaan, haruslah dikaji dahulu sama ada terdapat permintaan di pasaran ataupun tidak, demi memastikan usaha itu berbaloi. Sekiranya ada ‘supply and demand’ (S & D) di mana ada permintaan dari pelanggan, barulah perniagaan itu akan berhasil dan berjaya. Berdasarkan begitu banyak kewujudan peniaga-peniaga makanan sihat di talian online dan sosial media seperti Instagram dan Facebook, amatlah diyakini bahawa permintaan terhadap makanan sihat ini sememangnya amat tinggi. Contohnya seperti di Instagram, ‘The Rebellious Chickpea’, yang turut menawarkan menu sihat dan yang apa lebih menarik, mereka turut menukar menu setiap minggu agar pelanggan dapat menikmati lebih banyak variasi dalam pemilihan makanan dan tidak bosan dengan menu yang sama sahaja saban hari, malah mereka turut menyediakan khidmat penghantaran terus ke lokasi pelanggan.

Sumber: The Rebellious Chickpea

Selain makanan, permintaan untuk minuman jus-jus segar juga amat tinggi. Sekadar mengambil contoh, antara perniagaan jus segar yang mula-mula sekali diperkenalkan di Malaysia, iaitu ‘La Juiceria’.

Sumber: La Juiceria

Memang tidak dinafikan, kaum wanita khususnya yang kini lebih menitiberatkan soal kecantikan dan kesihatan memang tidak lokek untuk berbelanja lebih sedikit hanya untuk sebotol jus segar. Bukan sahaja mudah, tetapi kualitinya segar terjamin dan diyakini khasiatnya untuk tubuh badan kerana telah disediakan oleh peniaga-peniaga yang diiktiraf.

Terdapat lagi beberapa jenama minuman jus segar yang sudah semakin dikenali di laman-laman web sosial dan menambat hati pengguna seperti ‘impressed.my’ dan ‘lifejuiceco’ di Instagram yang turut mendapat sambutan hangat.

Sumber: lifejuiceco

Siapa sangka, nampak sahaja kecil, hanya menjual jus di dalam botol, tetapi berkat permintaan yang tinggi, tidak mustahil pengasasnya kini boleh dianggap berjaya dan sekiranya hasil kerja sentiasa konsisten, perniagaan ini pasti bertahan lama di pasaran dan akan terus maju. Yang penting adalah keyakinan dan kesungguhan untuk sentiasa memberikan hasil dan perkhidmatan yang terbaik untuk para pelanggan, janganlah berniaga ala-ala melepaskan batuk di tangga sahaja, pasti tunggu masa sahaja untuk gulung tikar.

Kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan yang semakin tinggi hari ini juga terhasil berikutan langkah- langkah yang diambil oleh pihak kerajaan juga. Contohnya, seperti Hari Sukan Negara yang dianjurkan akhir tahun lepas oleh Kementerian Belia Dan Sukan, membuatkan orang ramai lebih peka dengan kepentingan menjaga kesihatan. Tambahan menterinya sendiri iaitu YB Khairy Jamaluddin sanggup turun padang memberikan sokongan dan merealisasikan impian untuk menjadikan rakyat Malaysia lebih sihat dan cergas.

Sumber: The Star Online

Wujudnya kesedaran seperti inilah maka secara tidak langsung akan membantu perniagaan makanan sihat berkembang maju kerana permintaan semakin tinggi dari hari ke hari kerana semua orang berlumba-lumba hendak sihat dan lebih peka dengan potensi untuk mendapat penyakit berbahaya sekiranya kesihatan diabaikan. Kempen-kempen kesihatan yang sentiasa diwar-warkan di media cetak dan elektronik serta laman sosial turut membantu meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai.

Pokok pangkalnya, tidak dinafikan dengan adanya kesedaran orang ramai untuk menjaga kesihatan di samping pendedahan yang positif di laman sosial, ini adalah masa terbaik untuk menjalankan perniagaan makanan sihat kerana selain boleh menjana pendapatan lumayan hasil permintaan yang tinggi, ia juga turut membantu ekonomi negara dan mampu melahirkan rakyat Malaysia yang lebih positif, sihat dan produktif.

 

print
haidila

Dila is your typical girl next door who has a passion (and devotion) for her two kids besides anything else that makes her stomach rumble with happiness. As a food hedonist, she loves to cafe-hop and try new eateries because she believes one of the greatest pleasures in life is to enjoy every taste, bite and crumb with friends and family! Good food and great company- what more can u ask for?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.

casibom jojobet giriş jojobet Casibom holiganbet giriş casibom giriş Casibom casibom casibom giriş CASİBOM holiganbet Casibom Giriş casibom casibom güncel giriş casibom güncel Casibom Casibom holiganbet holiganbet casibom güncel giriş