Apabila masuknya pertengahan bulan Sya’ban menurut kalendar Islam, kemeriahan bulan Ramadhan telah mula dapat dirasai. Inilah bulan mulia yang paling ditunggu-tunggu oleh umat Islam seluruh dunia saban tahun kerana ia bulan yang difokuskan untuk beribadah, melakukan kebaikan yang berganda-ganda dan tidak dilupakan, untuk mencari rezeki lebih. Justeru itu, tidak hairanlah apabila menghampiri bulan Ramadhan, iklan-iklan kurma dan promosi sempena bulan puasa akan mula rancak terpapar di televisyen, akhbar-akhbar dan berkumandang di radio-radio, membuatkan umat Islam di seluruh dunia mula tidak sabar untuk menunggunya masuk bulan yang mulia ini.
Selain untuk mengumpul saham akhirat, bulan Ramadhan juga merupakan masa terbaik untuk mencari pendapatan lebih kerana jika diperhatikan, suasana pada bulan ini ternyata berbeza berbanding bulan-bulan yang lain di mana senarionya para peniaga akan berlumba-lumba untuk menggandakan usaha mereka bagi melariskan jualan. Pembeli pula turut tidak kalah dalam membeli, menjadikan perniagaan merupakan salah satu perkara yang patut dilakukan pada bulan ini. Meskipun ia merupakan bulan ibadah yang khusus bagi umat Islam, namun di Malaysia, istimewanya kita boleh melihat masyarakat berbeza latar belakang agama turut sama memeriahkan sambutan Ramadhan dengan cara mereka tersendiri.
Sebab utama anda tidak harus melepaskan peluang untuk mencari duit poket lebih pada bulan Ramadhan ialah ia memerlukan modal yang kecil dan untung yang besar! Ini penting bagi anda yang pertama kali mahu cuba berniaga kerana kami faham, untuk berniaga, modal memainkan peranan utama dan merupakan aspek yang seringkali membuatkan seseorang berbelah bahagi untuk memulakan perniagaan. Justeru jika anda mengambil keputusan untuk cuba berniaga pada bulan Ramadhan, modal merupakan salah satu perkara yang tidak patut anda risaukan. Hal ini kerana, anda tahu anda akan menjalankan perniagaan anda untuk tempoh yang spesifik, sebulan secara tepatnya, maka tidak kira apapun jenis perniagan yang anda mahu lakukan, modalnya pasti tidak akan terlalu besar. Percayalah bahawa simpanan yang anda ada sahaja tentu mencukupi untuk membantu anda mula berniaga di bulan Ramadhan, namun jika tidak, usah risau. Terdapat beberapa bank dan institusi kewangan bank yang menyediakan pinjaman yang dipanggil pembiayaan mikro di mana anda boleh membuat sedikit pinjaman sehingga RM3,000 dengan minimum umur untuk melakukan pinjaman ialah 18 tahun, contohnya seperti Bank Rakyat dan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Pada bulan Ramadhan, anda boleh mengambil peluang untuk menjual makanan atau barangan spesifik yang biasanya dijual (dan sangat laku!) pada bulan Ramadhan (atau hari raya) sahaja seperti kuih dan biskut raya, aneka jenis minuman yang manis seperti lai chee kang, air tebu dan soya, kuih-muih yang jarang dijumpai seperti nekbat, agar-agar tembikai, murtabak dan sebagainya. Bukan bermaksud makanan tersebut tidak laku pada bulan-bulan biasa, namun terdapat beberapa jenis produk atau makanan yang sememangnya menjadi rebutan ketika bulan puasa, dan anda yang berniat untuk berniaga di bulan Ramadhan perlu mencari tahu apakah yang mampu menarik minat pembeli ketika bulan tersebut dan merebut peluang yang ada.
Apa yang untungnya jika anda berniaga di bulan Ramadhan ialah tempoh untuk berniaga yang pendek, sekitar 4 jam sahaja, iaitu selalunya beberapa jam sebelum waktu berbuka (bagi yang memilih untuk berniaga di bazaar Ramadhan). Waktu ini memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak sama ada sebagai penjual mahupun pembeli. Anda mempunyai banyak masa untuk menyediakan apa yang patut sebelum pergi berniaga pada sebelah petangnya dan pelanggan pula paling ramai pada waktu tersebut. Lebih mudah apabila anda telah ada tapak di bazaar Ramadhan dan hanya perlu mengikut jadual yang ada iaitu pada sebelah paginya menyediakan barangan untuk diniagakan, dan pada waktu petangnya mula menjual. Ini merupakan salah satu plan yang boleh dilakukan bagi yang sedang memikirkan tentang aspek pengurusan masa.
Jika diperhatikan, gerai jualan makanan di setiap bazar Ramadhan yang ada sentiasa penuh dengan pelanggan. Selalunya, mereka yang bekerja mengikut waktu pejabat akan lebih suka untuk membeli makanan untuk berbuka yang telah siap dimasak berbanding memasak sendiri di rumah kerana kekangan masa. Oleh itu, dengan meniaga makanan ketika bulan puasa, sudah tentulah anda mampu menjana pendapatan yang lumayan. Ini bermaksud anda tidak perlu risau akan sambutan pelanggan kelak kerana kami yakin, jika betul cara perniagaan dijalankan, tempat yang strategik dan makanan yang bersih dan lazat, tiada sebab untuk pelanggan tidak singgah ke gerai anda. Berbekalkan keyakinan yang ada tentang sambutan pelanggan yang bakal diterima, adalah menjadi suatu kerugian jika peluang keemasan yang ada ini tidak direbut.
Dengan anda mengambil keputusan untuk mencari pendapatan sampingan di bulan puasa, sekurang-kurangnya akan dapat menampung bajet untuk perbelanjaan anda bagi bulan Ramadhan dan hari raya. Jika sebelum ini anda sibuk bekerja makan gaji, dengan adanya sedikit usaha yang lebih pada bulan Ramadhan untuk mencari duit poket, pasti anda akan merasai ianya ternyata berbaloi dan menguntungkan.
Namun begitu, harus diingat bahawa tidak semua jenis makanan, produk ataupun perkhidmatan sesuai untuk anda jual atau lakukan pada bulan Ramadhan. Berikut merupakan beberapa jenis perniagaan yang paling mendapat sambutan ketika bulan puasa:
- Juadah untuk berbuka dan bersahur
- Aneka jenis minuman
- Kuih muih moden dan tradisional
- Kuih dan biskut raya
- Baju raya
- Khidmat menjahit baju raya dan langsir
Pokok pangkalnya, bulan Ramadhan sememangnya bulan yang penuh dengan kebaikan dan keistimewaan. Buktinya ialah tidak hanya amal ibadah dan amalan baik yang dilakukan akan diberi ganjaran yang berlipat ganda, namun juga menjadi waktu yang terbaik untuk mencari pendapatan lebih.