Bayangkan anda berada di restoran dengan pasangan anda. Suasana restoran indah dan cantik, layanan yang diberikan juga cukup baik tetapi cahaya lampu di restoran tersebut terlalu terang sehinggakan ianya mengubah ‘mood’ anda untuk menikmati makanan malam dalam suasana romantik. Makanan yang enak, pelayan yang cekap dan baik serta perhiasan dalaman yang cantik tentu sekali tidak dapat mengubah perasaan kurang selesa di sebabkan cahaya lampu yang terlalu terang. Dalam keadaan sebegini, cahaya lampu yang terlalu terang boleh mempengaruhi dan juga mengubah warna makanan. Contohnya, daging yang disajikan mungkin akan kelihatan seolah-olah berwarna kelabu dan sayur kebiru-biruan. Ini adalah satu tragedi, yang berpunca dari cahaya lampu yang tidak sesuai!
Cahaya lampu direkacipta untuk individu
Dalam ilmu pembelajaran ‘gastronomy’, pelanggan adalah raja dan harus didahulukan! Adalah penting bagi para pelanggan merasakan bahawa mereka dihargai dan cara terbaik yang boleh anda lakukan adalah dengan memberi keutamaan pada cahaya lampu restoran anda. Restoran yang baik akan mereka cipta lampu khas untuk memuaskan para pelanggannya dan bukan memilih jenis lampu yang dianggap sesuai dengan rekabentuk restoran tersebut semata-mata. Ini merupakan kunci utama dalam menyediakan suasana cahaya yang ideal di dalam restoran anda.
Pencahayaan yang baik memerlukan kombinasi yang seimbang iaitu cahaya semulajadi dari sinar matahari dan cahaya dari sumber elektrik. Cahaya sinar matahari di siang hari sudah tentunya memberikan suasana selesa kerana ianya adalah anugerah semulajadi ciptaan yang Maha Esa. Oleh itu, cabaran utama bagi pengusaha restoran adalah untuk mencari cahaya lampu dari sumber elektrik yang boleh memberikan pencahayaan yang serupa dengan cahaya dari sinar matahari. Kombinasi kedua-dua ini penting untuk menghasilkan suasana pencahayaan yang selesa.
Warna yang dihasilkan oleh lampu juga penting kerana ianya mempengaruhi emosi dan ‘mood’. Jika anda pemilik atau pengusaha restoran, anda harus berhati-hati dengan pemilihan warna lampu. Pemilihan yang salah akan menjadikan suasana di restoran anda kelihatan seperti sarkas! Warna cahaya lampu juga boleh digunakan untuk menyerlahkan lagi butiran dalaman restoran serta mengindahkan lagi suasana. Cahaya lampu perlu disesuaikan dengan fungsi ruang dalaman dan warna sekitar dalaman restoran.
Cahaya lampu mengikut jadual pemakanan
- Sarapan pagi – Banyak cahaya lampu diperlukan supaya para pelanggan boleh menikmati sarapan pagi bersama kopi kegemaran mereka sambil membaca suratkhabar.
- Makan tengahari – Jika anda pengusaha restoran bagi makanan segera, memadai sekiranya anda menggunakan lampu yang mempunyai cahaya sederhana oleh kerana pelanggan akan datang dan pergi pada setiap masa terutama di waktu tengahari. Berbanding dengan waktu sarapan pagi, para pelanggan yang datang berkunjung tidak akan berada atau duduk di restoran terlalu lama kerana perlu pulang segera ke tempat kerja. Oleh itu lampu bercahaya sederhana adalah mencukupi dan anda juga tidak perlu mengeluarkan terlalu banyak perbelanjaan kerana lampu jenis ini tidak menggunakan kuasa elektrik yang terlalu tinggi.
- Makan malam – Waktu makan malam di restoran memerlukan cahaya lampu yang kurang untuk memberikan suasana damai dan santai bagi para pelanggan.
Cahaya lampu di tentukan oleh ruang dan kegunaannya
Kesalahan besar yang sering dilakukan oleh pemilik restoran adalah memilih lampu berdasarkan rupabentuk lampu itu samata-mata tanpa menilai kegunaan atau fungsi lampu tersebut. Ramai yang memandang ringan dan menganggap bahawa semuanya selesai apabila lampu-lampu telah dipasang tanpa memberi perhatian terhadap lokasi atau tempat lampu itu dipasang dan apa kegunaannya.
Cahaya yang baik di sesebuah ruang boleh dinilai dengan melihat keselesaan para pelanggan. Sistem pencahayaan juga perlu sesuai dengan rekabentuk dan seni bina dalam restoran.
Langkah terbaik untuk memastikan sistem pencahayaan yang baik adalah dengan menggaris dan menentukan kegunaan ruang serta kegunaan ruang tersebut. Ini juga penting bagi menentukan berapa banyak cahaya yang diperlukan. Langkah kedua adalah memilih rekabentuk lampu yang bersesuaian dengan ruang. Contohnya, rekabentuk lampu boleh dipilih berdasarkan konsep restoran anda. Anda boleh memilih lampu bersaiz kecil yang dipasangkan di dinding dan lampu ‘chandelier’ di bahagian siling tengah restoran.
Untuk restoran, anda perlu lampu yang mudah ditukar ganti samada secara manual atau automatik bagi acara berlainan. Secara praktikal, cahaya lampu restoran mestilah cukup terang agar para pelanggan mudah membaca menu serta makanan yang disajikan nampak menarik.
Intensiti cahaya lampu juga banyak bergantung kepada ketinggian siling, warna dinding serta lantai restoran. Ini bermakna, karpet yang dipilih dan jenis lantai juga mempengaruhi cahaya lampu. Di sini, kami paparkan beberapa idea dan perkara penting yang anda boleh pertimbangkan apabila membuat pemilihan jenis lampu untuk restoran anda.
1. Keseimbangan
Cahaya lampu di ruang makan restoran anda perlulah sama rata dan seimbang di mana cahaya lampu tersebut meliputi kesemua bahagian restoran. Jangan biarkan bahagian-bahagian ruang makan restoran gelap atau terlalu terang. Keadaan yang tidak seimbang ini boleh merimaskan pelanggan. Anda boleh melakukan perubahan dalam tahap kekuatan cahaya lampu berdasarkan konsep restoran anda. Contohnya, restoran yang memiliki konsep ‘romantik’ tentu mahukan cahaya lampu yang tidak terlalu terang berbanding dengan restoran makanan segera umpamanya.
Ruang resepsi pula harus lebih terang daripada ruang makan agar pelanggan yang datang berkunjung senang berjumpa dengan pemilik atau pengusaha restoran, membaca menu dan sebagainya.
2. Lampu dapur restoran
Lampu dapur restoran sudah tentunya memerlukan cahaya terang tetapi jangan sampai cahaya lampu terang ini mengganggu ruang makan restoran. Oleh kerana itu, pastikan pintu dapur restoran sentiasa tertutup atau ruang dapur restoran berada pada bahagian yang tertutup. Secara idealnya, pintu dapur restoran anda perlu menghala ke bahagian di mana para pelayan restoran mudah untuk mengambil makanan. Jika ini tidak boleh dilakukan, anda boleh cuba bina dinding pemisah supaya cahaya lampu serta bunyi bising dari dapur tidak mengganggu ketenteraman pelanggan di ruang makan. Ramai pakar rekabentuk restoran mencadangkan supaya pemilik restoran membina dan menggunakan ‘swing doors’ atau pintu jenis yang senang dibuka bagi tujuan menghindarkan cahaya terang dari dapur memasuki ke ruang makan restoran.
3. Guna lampu yang mempunyai kapasiti cahaya berlainan bagi waktu dan masa berbeza
Jika restoran anda dibuka sepanjang hari, mungkin ada baiknya anda kapasiti cahaya lampu mengikut jadual makan yang anda sajikan.
4. Guna cahaya lampu untuk menyerlahkan bahagian-bahagian tertentu restoran
Anda juga perlukan cahaya lampu yang baik supaya para pelanggan dapat melihat dengan jelas papan tanda menu umpamanya yang selalunya bersaiz besar dan diletakkan pada bahagian tertentu dinding restoran. Ada juga sesetengah restoran yang gemar menggantung hasil seni lukis dan juga papan tanda iklan pada dinding restoran mereka. Kesemuanya ini memerlukan cahaya lampu tertentu supaya ianya lebih menonjol dan dapat menarik perhatian pelanggan. Cuba gunakan ‘track lighting’ tapi hati-hatilah kerana lampu jenis ini jika dipasang sewenang-wenangnya tanpa mengikut ukuran ianya boleh menjadi ‘spotlight’ yang cahayanya mengganggu mata pelanggan.
5. Guna jenis lampu yang mempunyai rekabentuk berbeza
Selain dari lampu utama yang anda gunakan untuk restoran anda, cuba beri sedikit kelainan dengan memilih rekabentuk lampu berbeza supaya restoran anda nampak menarik. Jika sesuai dengan konsep restoran, anda boleh cuba memasang lampu yang mempunyai rekabentuk kaca bewarna atau ‘chandeliers’ yang menggunakan rantai gelas beraneka bentuk dan warna. Lampu meja bersaiz kecil dan lilin juga boleh digunakan untuk meja makan bagi memberikan suasana romantis. Tapi janganlah keterlaluan sehingga anda memilih berbagai jenis rekabentuk lampu berbeza dengan menggunakan 20 jenis mentol lampu! Tentu ini akan merunsingkan pelanggan. Cukup sekadar 3 atau 4 jenis mentol lampu sahaja.
6. Di mana arah sinar matahari?
Sinar matahari boleh memberikan sumber cahaya yang paling besar dan utama di siang hari. Tetapi jika tingkap – tingkap di restoran anda menghala ke arah Timur atau Barat para pelanggan akan disinari cahaya matahari pada waktu matahari terbit dan matahari terbenam. Jika cahayanya terlalu kuat, anda bolehlah meletakkan ‘blinds’ pada tingkap restoran anda. Tetapi bila ‘blinds’ digunakan, restoran anda akan kelihatan seperti ianya tutup dari luar dan restoran anda tidak dapat menikmati cahaya matahari. Cuba gunakan tingkap yang dibuat dari kaca yang berwarna gelap atau gunakan ‘filtering shades’ atau ‘awnings’.
7. Cahaya bagi tujuan penjagaan dan pembersihan restoran
Bagi tujuan pembersihan dan penjagaan, anda memerlukan sistem cahaya yang baik dan berkesan yang boleh memberi cahaya dengan kapasiti tinggi jika diperlukan supaya segala kekotoran dapat dilihat dengan jelas. Kekotoran bukan hanya tertumpu pada ruang restoran sahaja tetapi juga alat perkakas dan pinggan mangkuk juga perlu diberi perhatian.
8. Gunakan panel khas atau ‘dimming panel’ agar anda dapat mengawal cahaya lampu
Jika restoran anda memerlukan pertukaran kapasiti cahaya lampu berbeza setiap hari atau setiap waktu tertentu anda boleh gunakan ‘dimmimg panel’. Ini akan membolehkan anda membuat pertukaran kapasiti cahaya lampu dengan mudah terutama sekali jika anda menggunakan cahaya berbeza bagi sarapan pagi, waktu makan tengahari dan makan malam. Anda boleh mengawal cahaya lampu hanya dengan menekan butang tertentu! Penggunaan dimming panel juga akan membuatkan restoran anda lebih teratur dan konsisten kerana ianya menjimatkan tenaga elektrik dan membolehkan mentol lampu-lampu di restoran anda tahan lebih lama.
9. Lampu LED
Lampu LED ini biasanya digunakan di restoran –restoran yang semakin popular. Ianya berharga lebih mahal berbanding dengan lampu-lampu lain tetapi 300 peratus lebih berkesan dan cekap daripada lampu ‘fluorescent’ dan 1000 peratus jimat kuasa dari mentol berjenis ‘incandescent’. Penggunaan lampu LED ini juga mengurangkan tenaga sebanyak 90 peratus dan bertahan lebih lama berbanding lampu jenis lain. Oleh itu, ianya satu pelaburan yang baik kerana anda akan dapat menjimatkan wang beribu ringgit jika dilihat dari sudut jangka masa panjang. ‘Track lights’ yang menggunakan mentol LED boleh digunakan untuk mewujudkan suasana, mood dan warna berbeza. Sebagai contoh, cahayanya boleh memberi gambaran seolah – olah ruang makan berwarna biru atau meja berwarna merah berlainan dari warna asal mereka.
10. Jangan lupa tentang cahaya di bahagian luar restoran
Cahaya pada bahagian luar restoran juga penting dan harus diberi perhatian kerana ianya adalah gambaran pertama pelanggan terhadap restoran anda. Cahaya lampu yang baik juga boleh menarik perhatian dan minat orang ramai yang berjalan berdekatan dengan restoran anda. Sudah tentu ramai yang mahu berkunjung jika cahaya lampu indah dan
menarik. Sistem pencahayaan yang baik juga boleh memberitahu pelanggan samada restoran anda dibuka atau tutup. Pastikan papan tanda restoran jelas dan bersih serta mempunyai cahaya lampu yang mencukupi dan menarik. Di samping itu, laluan masuk, tempat letak kereta juga memerlukan cahaya lampu yang cukup terang. Gunakan lampu jenis ground, lampu landscape atau lampu goose neck supaya restoran anda dapat dilihat dengan jelas. Yang paling penting, pastikan cahaya lampu anda terang bagi tujuan keselamatan para pelanggan.