Siapa di sini yang tak suka cendol? Mustahil ada kerana cendol merupakan salah satu pencuci mulut tempatan yang cukup digemari oleh semua orang, tanpa mengira umur, jantina, kaum dan agama.
Dengan peredaran masa, malangnya, makin ramai yang inginkan penyediaan cendol yang lebih unik, lebih ekstra. Dalam erti kata lain, lebih cantik untuk dimuat naik di laman sosial Instagram masing-masing.
Oleh itu, pencuci mulut tradisional ini telah mengalami satu evolusi iaitu daripada hanya semangkuk ais kisar yang membukit dan dikelilingi kuah santan, kacang merah, pulut, dan jeli tepung beras menjadi pelbagai makanan kreatif dan inovatif yang bukan sekadar sedap di makan malah cantik dipandang jua.
Dari Mata Turun Ke Perut
Tak percaya cakap saya? Cuba anda lihat kedai-kedai makanan yang popular sekarang. Satu faktor persamaan yang ada pada kesemua kedai-kedai tersebut adalah menjadikan makanan mereka cukup menarik atau dipersembahkan secara unik sehingga mampu membuatkan anda mengunjungi kedai mereka untuk mencuba produk tersebut.
Mana-mana makanan akan melalui proses evolusi ini tetapi apakah bentuk-bentuk baru yang dipersembahkan? Untuk tahu dengan lebih lanjut, bacalah senarai di bawah!
1. Kek
Kek merupakan cara persembahan pilihan bagi kebanyakan manisan khususnya untuk manisan atau pencuci mulut tradisional. Tak begitu pelik kerana kek sememangnya sudah manis.
Penyediaan kek menggunakan cendol semestinya lebih moden dan cantik berbanding yang dihidangkan dalam mangkuk besi tetapi, anda masih akan pilih cendol dalam mangkuk berbanding kek nasi lemak yang dihias indah.
Kek Cendol Wajib Cuba: Ground Eatery Puchong
2. Agar-Agar
Agar-agar merupakan pencuci mulut yang paling cepat dan mudah untuk disediakan tetapi untuk menyediakan agar-agar berperisa unik seperti cendol, anda perlu menguasai teknik yang betul untuk memastikan agar-agar ini menjadi.
Agar-agar cendol mempunyai tekstur yang unik dan membuatkan anda lebih mudah untuk menikmati gabungan rasa kesemua bahan yang digunakan. Walaupun begitu, ini tidak bermakna anda tidak boleh cuba menyediakannya di rumah.
Gunakan resipi ini sebagai panduan dan saya jamin, anda mahu membuatnya berkali-kali selepas ini.
Bahan-Bahan:
Bahan A
- 10g serbuk agar-agar
- 150g cendol
- 4 cawan air
- 1 cawan gula
- 1 kotak santan
- 1 sudu teh garam
Bahan B
- 10g serbuk agar-agar
- 5 cawan air
- 200g gula melaka, dihiris kecil
- 3 helai daun pandan
Bahan A
- Didihkan 4 cawan air.
- Masak agar-agar.
- Kemudian, masukkan 1 cawan gula, masak hingga agar-agar dan gula menjadi larut (mendidih)
- Sudah mendidih, masukkan cendol yg sudah ditapis airnya. Tunggu mendidih baru tutup api.
- Masukkan santan kotak, kacau rata, masukkan garam, kacau rata sehingga semua sebati.
- Masukkan ke dalam acuan dan sejukkan. Selepas agar-agar sudah keras,Corakkan permukaan atas agar-agar menggunakan garfu.
Bahan B
- Masukkan semua bahan step 2 dalam periuk. Masak atas api kecil sehingga daun pandan keluarkan bau dan aroma.
- Selepas mendidih, tapis dan tuang ke dalam bekas puding cendol tadi. sejukkan pada suhu bilik selama 30 minit. Selepas itu, masukkan ke dalam peti sejuk.
3. Aiskrim
Cendol sebagai aiskrim? Dengan melihat sambutan hangat rakyat Malaysia terhadap aiskrim berperisa cendol yang dipopularkan oleh restoran segera paling terkenal di Malaysia, rasanya aiskrim berperisa cendol merupakan satu idea yang bernas! Malangnya, anda tidak dapat lagi mencuba aiskrim tersebut kerana restoran tersebut sudah tidak lagi menjualnya.
Nak tahu aiskrim cendol yang paling sedap? Semestinya aiskrim yang anda buat sendiri di rumah. Cubalah resepi aiskrim cendol di bawah ini dan boleh nikmati pada bila-bila masa sahaja.
Bahan-Bahan:
- 2 cawan santan
- 1/2 cawan susu cair
- 1/2 cawan gula aising
- 3 sudu besar susu tepung
- 1/2 cawan air
- 3 sudu besar tepung ubi
- 1/2 cawan cendol
- 180g gula melaka, dipotong kecil
- 2 helai daun pandan, disimpul
Cara-Cara:
- Panaskan santan dalam periuk kecil yang diletakkan atas api sederhana. Kacau santan hingga mendidih. Setelah mendidih, sejukkan santan.
- Dalam periuk lain, satukan tepung ubi dan 1/2 cawan air. Masak atas api sederhana sehingga menjadi kanji. Biarkan sejuk.
- Pukul susu cair dan gula aising hingga gula larut. Masukkan santan dan kanji berselang seli.
- Terus pukul adunan hingga sebati. Tambahkan susu tepung dan terus pukul hingga rata.
- Simpan dalam peti ais hingga separuh beku, kira-kira 3 hingga 4 jam.
- Keluarkan adunan dan pukul semula hingga lembut. Kacau rata dan simpan semula ke dalam peti ais hingga beku.
- Dalam kuali leper, masak gula melaka bersama daun pandan dan air hingga menjadi cecair pekat. Biarkan sejuk.
- Setelah adunan aiskrim sudah mengeras, cedok sedikit dan masukkan ke dalam mangkuk kecil dan tuangkan sedikit sirap gula melaka serta letakkan sedikit cendol.
4. Smoothie
Kadang kala, mood untuk makan cendol hilang apabila memikirkan tentang betapa renyahnya untuk bungkus cendol dan hirup. Saya tak tahu tentang anda tapi saya lebih suka duduk dan makan kerana cendol rasa tak sedap kalau dah tak sejuk.
Namun begitu, zaman sudah berubah. Tak perlu rasa runsing kalau teringin makan cendol semasa sibuk. Cool Blog, jenama minuman smoothie tempatan telah mengeluarkan dua smoothie cendol iaitu yang asli dan durian. Memang sedap dan rasa sama seperti cendol yang dibeli di gerai-gerai.
5. Penkek
Dalam banyak-banyak idea kreatif yang rakyat Malaysia ada untuk menginovasikan lagi hidangan klasik cendol, inilah yang paling pelik sekali.
Anda mungkin rasa susah untuk bayangkan cara untuk menyediakan penkek perisa cendol ini tetapi sebenarnya, mudah sahaja! Tak percaya? Cubalah resepi penkek cendol di bawah ini.
Bahan-Bahan
- 3 cawan tepung gandum
- 2 sudu besar serbuk penaik
- 2 cawan susu
- 3 sudu besar madu
- 2 biji telur
- 1 sudu teh perisa pandan
Sos Gula Melaka
- 300g gula melaka
- 2 cawan air
- 1 sudu teh garam
Hiasan Atas
- 1 cedok aiskrim kelapa
- 2 sudu besar jagung manis
- 1 sudu besar kacang merah
Cara-Cara
- Di dalam mangkuk, gaul tepung gandum, serbuk penaik, susu, gula, telur dan perisa pandan.
- Dengan menggunakan api kecil, panaskan sesenduk adunan di atas kuali.
- Apabila adunan mula menggelembung, terbalikkan dan masak beberapa minit.
- Di dalam periuk lain, didihkan air, gula melaka dan garam hingga pekat.
- Hidangkan pankek dengan ais krim kelapa, jagung manis, kacang merah dan sos gula melaka.
Klasik
Untuk item terakhir dalam senarai makanan cendol ini, tak sahlah kalau saya tak senaraikan cendol klasik yang digemari setiap rakyat Malaysia merentasi generasi.
Ada sesuatu yang cukup menyelesakan tentang cendol yang dihidang ringkas dalam mangkuk kecil. Memang terasa puas! Walaupun terdapat pelbagai sajian cendol yang lebih moden dan lebih cantik, tetapi semangkuk kecil cendol dari Cendol Asli Pak Haji tetap menjadi pilihan hati.
Nak Lagi Sajian Cendol?
Setakat itu sahaja coretan cendol saya kali ini. Kalau anda tahu cara lain untuk kita inovasikan lagi hidangan klasik ini, jangan malu-malu atau segan untuk berkongsi bersama Butterkicap! Mana tahu kami akan masukkan dalam senarai kami lain kali.