Bajet untuk makan memerlukan anda untuk berkompromi. Kalau nak makan sedap, sihat dan semestinya, cukup untuk isi perut, anda perlu berbelanja lebih apatah lagi jika anda tinggal di kawasan bandar. Mana tidaknya, kalau sekali keluar makan, paling kurang pun RM 10 kena disediakan. Kami di Butterkicap merasakan ada cara untuk jadikan kehidupan anda yang tinggal di kawasan bandar lebih mudah dan menjimatkan. Oleh itu, kami menyahut cabaran membeli barangan harian yang lazim dengan harga RM 50. Diharap usaha kami ini dapat membantu anda berikan idea untuk ada merancang bajet nanti.
Jadi, sebelum kami mulakan perjalanan cabaran ini, kami sediakan strategi dahulu. Kami senaraikan lokasi-lokasi beli-belah barangan runcit yang terkenal supaya kadaran harga yang diletakkan adalah tepat. Antara barangan yang dicari ialah sayur-sayuran, bawang besar, bawang putih, cili, kicap, mentega, barangan basah (ikan, ayam, daging) dan makanan ruji seperti nasi serta bihun/mee. Kategori-kategori lokasi adalah berdasarkan yang berikut:
Kategori 1: Pasar Raya Kelas Tinggi
Kategori 2: Pasar Raya Kelas Sederhana
Kategori 3: Kedai Runcit, Kedai Borong, Pasar
Ya, tempat nak beli barang pun anda hierarkinya, tahu? Jangan main-main. Sebab itulah kami di Butterkicap merasakan ada hikmahnya penulisan ini dibuat supaya anda mendapat manfaat daripadanya. Jadi, setelah seminggu mengembara, inilah hasilnya!
Kategori 1: Pasar Raya Hiper Kelas Tinggi
Jangan cepat gelabah kalau anda masuk ke pasar raya hiper yang berkelas tinggi seperti Cold Storage, Village Grocer, Sam Groceria dan pasar raya seangkatan dengan mereka. Melihat keadaan pasar raya yang terurus, cantik, tersusun dan mempunyai pelbagai variasi produk memang boleh membuatkan anda gugup. RM50 dalam kocek anda cukup untuk beli barang keperluan dapur anda. Tak percaya? Cuba pergi ke bahagian sayur-sayuran dan lihat berapa banyak tempat beku yang anda di situ? Panjang bukan? Jangan terus capai ke bahagian sayuran terdekat. Sayuran-sayuran di pasar raya begini dibahagi kepada bahagian-bahagian tertentu iaitu bahagian sayuran organik (harga sebiji bawang boleh membeliakkan mata anda), sayuran import dan sayuran tempatan (dari Cameron Highlands) Sayuran dari Cameron Highlands biasanya adalah yang termurah tetapi harga murah ini tidak bererti kualiti sayuran yang dijual juga rendah. Seiikat bayam Cameron boleh kelihatan sama segar seperti sayuran organik dan anda hanya perlu bayar sebanyak Rm 2.99 untuk seikat yang besar. Bagi barangan basah pula, jika anda ingin ayam yang siap dipotong dan diperap, anda boleh beli pada harga yang murah. Namun begitu, kami tidak pasti sama ada kualiti kesegaran barangan basah ini adalah sama seperti di pasar yang mana anda boleh lihat sendiri ayam anda dipotong segar.
Apa yang boleh dibeli?
3 jenis sayuran hijau, cili, bawang putih, bawang merah, cendawan, bendi, sepotong labu, 4 keping potongan dada ayam dan sepaket spageti atau mi
Cadangan: Kalau mahu sayuran segar dan tak sempat nak ke pasar, anda boleh kunjungi ke pasar raya kelas tinggi terdekat. Pasti tak menyesal!
Kategori 2: Pasar Raya Hiper Kelas Sederhana
Inilah syurga bagi kebanyakan rakyat Malaysia yang tinggal di bandar untuk merasa sedikit kemewahan dalam lingkungan bajet mereka. Namun begitu, jangan fikir semua barang yang dijual adalah murah. Didapati antara ketiga-tiga pasar raya hiper yang sering dikunjungi rakyat Malaysia (Giant, Tesco dan Mydin) terdapat sedikit perbezaan harga yang boleh dilihat pada beberapa produk yang dijual. Namun begitu, perbezaan itu cuma dalam 3-4 sen sahaja. Tidak banyak tapi jika dilihat dalam jangka masa yang panjang, banyak wang yang anda boleh jimatkan sebenarnya. Di sini, sayur-sayuran dan barangan basah, walaupun murah, tidak sesegar produk yang dijual di pasar raya hiper kelas tinggi mahupun di pasar-pasar. Satu perkara yang boleh dipuji ialah kebanyakan barang yang dijual di pasar raya ini terdiri daripada barangan tempatan. Jadi, tahniah kepada pasar raya ini!
Jika anda ingin membeli barangan kering seperti beras, mi, bihun, kicap, sos dan sebagainya, inilah tempat untuk anda pergi. Berbanding pasar raya kelas tinggi dan kedai runcit, barangan kering lebih murah dan yang paling seronok sekali, jenama yang dijual juga berkualiti. Apabila bercakap tentang jenama, ramai menganggap jenama keluaran pasar raya itu sendiri adalah tidak berkualiti dek kerana harganya yang terlalu marah. Jangan cepat menghukum, cuba dulu. Tiada beza antara kicap Jalen atau kicap jenama Tesco apabila anda makan dengan nasi mentega panas dan telur goreng.
Apa yang boleh dibeli?
Kicap, sos, mentega, beras sekampit (5kg), telur, minyak masak.
Kategori 3: Kedai Runcit, Kedai Borong, Pasar
Siapa yang tak suka pergi ke pasar. Bagi kebanyakan milenial, lawatan ke pasar pada waktu hujung minggu bersama ibu bapa adalah kenangan yang cukup manis (dan sedikit hanyir) kerana pertama kali melihat ikan dipotong, ayam disembellih dan pakcik, makcik menjerit mempromosi barangan mereka. Apabila anda sudah dewasa dan perlu bertanggungjawab ke atas perbelanjaan anda, anda mula sedar bahawa anda perlu bijak dan berhati-hati berbelanja dengan bajet yang berpatutan di pasar-pasar. Anda mungkin sukar nak percaya, tetapi harga barangan di pasar khususnya, sayur-sayuran dan daging (baik ikan, lembu mahupun ayam) adalah agak mahal dan berbeza-beza menurut penjual. Hal ini mungkin terjadi kerana tiada piawaian harga yang ditetapkan tetapi boleh membuatkan RM50 tidak mencukupi untuk beli barangan dapur selama seminggu. Jadi, cadangan yang kami boleh beri ialah anda membeli daging, ikan dan ayam di sini selain daripada bahan yang anda perlu dapatkan secara segar atau hanya boleh didapati di pasar atau kedai runcit seperti santan, daun pandan dan kelapa parut. Jika anda sanggup berbelanja lebih sedikit demi kesegaran bahan, tiada halangan daripada kami!
Anda mahu gunakan cabaran RM 50 Butterkicap ini semasa bulan Ramadhan? Boleh saja! Ini dia senarai makanan yang anda boleh beli bawah RM 50 sepanjang bulan puasa ini.
Jadi itulah dia sedikit sebanyak ulasan cabaran bajet RM50 Butterkicap dan hasil dapatan kami. Diharap perkongsian kami sedikit sebanyak membantu anda untuk berbelanja dengan lebih bijak di lain hari. Jika ada apa-apa komentar ataupun cadangan tambahan anda boleh kongsi bersama kami, taip sahaja di bawah!