Bagi peminat raja buah, hanya satu persoalan yang bermain di kotak fikiran mereka sepanjang masa;
Di manakah tempat terbaik untuk makan durian di Kuala Lumpur?
Sebelum ini, kami telah berkongsi pelbagai maklumat berguna tentang jenis-jenis durian, resipi durian dan macam-macam lagi. Namun begitu, kami baru sedar bahawa tiada gunanya kami kongsi semua maklumat tersebut jika kami tak beritahu perkara paling penting dalam musim durian ini iaitu tempat-tempat stratgik di sekitar Kuala Lumpur untuk membeli durian.
Oleh itu, bacalah artikel ini untuk mengetahui tempat terdekat, berbaloi dan menawarkan pelbagai jenis durian untuk anda.
Jalan Alor
Gerai durian di Jalan Alor ini hanyalah 1.5 kilometer jauh dari Chinatown Jalan Petaling. Semestinya anda sudah tahu kini bahawa satu-satunya cara untuk ke sana adalah dengan berjalan kaki. Jangan mengeluh kerana anda dapat mencuci mata dengan gerai-gerai makanan, restoran dan gerai menjual makanan di sekitar kaki lima.
Terdapat empat gerai durian yang dibuka sepanjang jalan Alor. Bagi kebanyakan peminat durian, pasti anda tahu tentang kewujudan gerai-gerai ini kerana di situlah anda mendapatkan Musang King, D24 dan juga Udang Merang anda.
Dari segi harga pula, durian-durian yang dijual adalah pada harga yang berbeza. Sebagai contoh, Udang Merah adalah RM 80 per kilo. Agak mahal bukan? Tetapi, oleh sebab ramai pelancong yang datang ke sana, jadi, faham-fahamlah.
Namun begitu, janganlah jadikan harga penghalang untuk anda menikmati durian jika anda kebetulan berada di Jalan Alor. Dengan paket durian yang dijual serendah RM 10 setiap satu, anda tidak akan pulang dengan perut kosong.
Phang Kee Durian Shop
Tel: 016- 334-6840
No. 70 Jalan Alor, Kuala Lumpur
Pasar Chow Kit
Lokasi strategik seterusnya ialah Pasar Chow Kit.
Bagi peminat durian yang sudah biasa menjelajah sekitar Kuala Lumpur untuk mencari durian yang sedap, murah dan pastinya berbaloi masa anda untuk ke sana, Pasar Chow Kit. Di sana, terdapat sebatang jalan yang diberi nama Jalan Alang dan di situ, terdapat sebuah gerai menjual durian seperti Musang King, Udang Merah dan durian kampung.
Di gerai ini, anda akan menerima kejutan besar. Dengan hanya RM 25 sekilo, anda dapat menikmati durian kampung yang cukup manis dan berlemak. Namun begitu, satu tip untuk anda tahu, apabila di luar musim, harga durian kampung akan menjadi terlalu murah sehingga boleh jatuh ke harga 50 sen setiap satu. Ya, lima puluh sen.
Pasar Chow Kit:
Sab Durian
Tel: 016-287-2115/ 010-423-0818
Facebook: sabduriansabking
Stesen Durian SS2
Lokasi ketiga yang kami akan ketengahkan dalam artikel kali ini adalah di gerai Durian Donald. Gerai durian ini cukup terkenal dalam kalangan peminat durian di sekitar Petaling Jaya. Namun begitu, jangan risau anda perlu berebut dengan pelanggan lain untuk mendapatkan durian yang lemak berkrim. Terdapat banyak lagi gerai di SS2 yang anda boleh kunjungi.
Antara gerai-gerai durian lain yang ada ialah Gerai Durian Wai dan Gerai King of King Durian. Di sini, anda boleh dapati jenis-jenis durian yang jarang ditemui seperti Hor Lor dan Jantung. Namun begitu, pilihan ramai semestinya durian D24. Kenapa? Kerana harga durian tersebut cuma RM 25 sekilo.
King of the King Durian Stall
Tel: 010-237-7896/016-944-3233
Durian King TTDI
Lokasi seterusnya adalah di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Lokasi yang kami ingin ketengahkan ini sememangnya raja segala gerai durian di seluruh Kuala Lumpur kerana di sini, anda bukan sahaja boleh mendapatkan durian malah kopi dan cendol berasaskan durian.
Itu sememangnya impian setiap pencinta durian.
Di Durian King TTDI, anda dapat memilih untuk menikmati durian pelbagai jenis seperti Musang King, D24 dan jenis durian istimewa iaitu durian duri hitam yang sukar ditemui. Durian inilah yang akan dicampur dan diletakkan di atas cendol dan kopi istimewa gerai Raja Durian ini. Dengan harga antara RM 12-15, anda dapat menikmati cendol yang cukup menyelerakan.
Jika anda hanya ingin menikmati isi durian yang lemak berkrim, anda mungkin terpaksa keluar duit lebih sedikit. Secara purata, harga untuk sekilo Musang King adalah RM50. Agak mahal tetapi, pastinya berbaloi!
Durian King TTDI
179, Jalan Wan Kadir, Taman
Tun Dr Ismail, 60000 Kuala Lumpur
+6016-274 6474
Chen Brothers Durian & Fruit
Lokasi strategik terakhir adalah di Kepong Baru. Di sini, anda akan mendapat durian yang berkualiti dan pastinya berbaloi dengan durian yang dijual di Chen Brothers Durian & Fruit. Berbanding gerai durian lain yang popular di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, Chen Brothers merupakan gerai yang paling lama menjual durian dan juga antara yang termurah.
Di sini, anda boleh mendapatkan durian D24 dan juga Musang King. Terdapat dua gred Musang King yang boleh didapati iaitu Gred A dan juga AB.
Jalan Mergastua (Kepong Baru Durian Street)
019-393 6877 (Chong) / 012-233 2613 (Kai) / 017-338 1366 (Foo)
Jadi, adakah anda bersetuju dengan senarai kami ini?
Walaupun pendek tetapi inilah antara lokasi strategik yang sentiasa diburu oleh penduduk Kuala Lumpur yang betul-betul gilakan durian. Secara amnya, setiap lokasi yang dinyatakan menawarkan pelbagai jenis durian pada harga yang berbeza-beza.
Oleh itu, bertindak bijak dalam berbelanja dan pilih jenis durian yang anda betul-betul suka supaya anda tidak rasa seperti wang anda dibazirkan. Nak tahu jenis durian yang anda suka? Bolehlah gunakan panduan durian Butterkicap ini untuk membimbing anda membuat pilihan. Klik pautan di sini.
Jika anda mengunjungi lokasi-lokasi strategik ini, jangan lupa untuk tangkap gambar semasa menikmati durian-durian yang enak dan letakkan hashtag #butterkicap untuk berkongsi pengalaman anda dengan kami.
Oh, ya! Jangan lupa untuk bawa balik sedikit durian untuk sediakan beberapa resipi berasaskan durian yang enak seperti yang kami kongsi dalam artikel ini.