Jenis nasi setiap rakyat Malaysia pasti hidangkan di rumah mereka akhirnya sudah dibongkar oleh Butterkicap dalam artikel kami yang bertajuk: “Jenis Jenis Nasi Setiap Rakyat Malaysia Pasti Hidangkan di Rumah“. Dalam artikel tersebut, kami telah senaraikan pelbagai jenis nasi yang ada di Malaysia. Namun begitu, kami sedar, sekadar memberikan senarai saja tidak cukup jika kami tak sertakan resepinya juga!
Oleh itu, kami memutuskan untuk sama-sama kongsi dengan anda, 10 resepi nasi popular di Malaysia untuk anda cuba sediakan di rumah. Jangan kata, Butterkicap tak payung. Jom kita tengok cadangan-cadangan resepi nasi popular di bawah ni!
1. Nasi Goreng Kampung
Siapa yang tak sukakan nasi goreng atau lebih khusus lagi, nasi goreng kampung, sampai hati anda tak suka nasi enak ini! Tak apalah. Kami ada cara untuk ubah fikiran anda ini. Butterkicap mempunyai resepi nasi goreng kampung yang cukup menyelerakan sehingga boleh membuatkan anda berselera untuk makan nasi goreng setiap hari.
Nak dapatkan resepi istimewa kami? Klik di sini.
2. Nasi Lemak
Nasi lemak ialah nasi kebangsaan Malaysia (tak rasmi). Jadi, haruslah nasi ini disenaraikan sebagai salah satu resepi nasi popular di negara ini. Resepi nasi lemak enak ini adalah daripada Azie Kitchen.
Bahan-bahan:
Nasi Lemak
- Beras – basuh dan tos
- 1 helai daun pandan – carik dan simpul
- Garam
- 2 inci halia – hiris
- 1 cawan santan pekat
Sambal Ikan Bilis
- 1 mangkuk ikan bilis (basuh dan keringkan)
- 3-4 biji bawang besar
- 3 ulas bawang putih
- 1/2 mangkuk cili kisar
- Air asam jawa / 1 sudu kecil pes asam jawa
- Garam
- 3 sudu besar gula
Sedikit gula Melaka
Cara Masak:
- Masak nasi dengan air secukupnya. Sukatan air bergantung kepada beras seperti memasak nasi biasa. Biasanya paras air dalam kurang 1 inci atau satu paras garisan di jari.
- Sementara menunggu nasi masak, Sediakan sambal.
- Masukkan garam dan juga daun pandan. Masukkan dalam rice cooker dan masak seperti biasa.
- Kisar bawang besar dan bawang putih. Panaskan minyak yang agak banyak untuk memastikan bahan tumisan masak dan garing sempurna. Bila masak, boleh dicedok keluar.
- Tumis bahan kisar dan cili kisar sehingga cili dan bawang benar-benar masak dan garing dengan api perlahan. Proses ini sangat penting untuk memastikan keenakan dan juga ketahanan sambal.
- Setelah garing, masukkan sedikit gula dan kacau rata bertujuan untuk menjadikan warna sambal yang merah cantik.
- Kemudian masukkan air asam jawa dan ikan bilis. Biarkan masak dengan api perlahan.
- Akhir sekali masukkan gula selebihnya dan garam secukup rasa. Jika suka, boleh juga diletakkan bawang besar hiris. Bolehlah angkat dan dihidangkan.
3. Nasi Briyani
Siapa yang takkan cari nasi briyani pada hari Jumaat. Kami pernah katakan bahawa Nasi Briyani ialah nasi “TGIF” rakyat Malaysia. Sekarang, anda tak perlu beratur lama semata-mata untuk dapatkan briyani. Dengan resepi oleh Azie Kitchen ini, briyani lain akan rasa tak sedap lagi.
4. Nasi Minyak
Dalam kenduri-kendara, tidak sah kalau tiada nasi minyak. Kalau teringin mahu makan, tak perlu tunggu jemputan kahwin, cuba saja resepi istimewa Nasi Minyak Butterkicap. Resepi kami ini dijamin lebih lemak, lebih bermentega dan lebih gebu. Jadi, dapatkanlah resepi di sini.
5. Nasi Ulam
Di negeri di sebelah utara, masyarakat di sana mengamalkan pemakanan sihat tanpa perlu berkompromi. Hal ini demikian kerana mereka ada nasi ulam yang pastinya menambah selera sesiapapun untuk makan disamping memberikan nilai nutrisi yang diperlukan badan. Kalau mahu makan nasi dan mahu berdiet juga, cubalah resepi nasi ulam oleh Aniza Little Kitchen di bawah!
Bahan-bahan:
-
4 cawan nasi sejuk
-
6 biji cilipadi (diracik halus)
-
4 biji bawang merah (dimayang halus)
-
2 keping ikan tenggiri masam, dibakar dan dikopek isinya(Boleh digantikan dengan ikan talang masin, udang kering atau ikan kembung bakar)
-
1/4 cawan kerisik (ditumbuk halus)
Ditumbuk
- 1 inci halia
- 1 inci lengkuas
- 2 batang serai
- 1 sudu kecil lada hitam
- 2 keping asam gelugur
- 6 biji cili padi
- 1 sudu teh garam
Dimayang
- Daun kadok
- Daun pegaga
- Daun selom
- Daun kesom
- Daun janggus
- Bunga kantan
- Daun pudina
- Daun selasih
Cara Masak:
- Balutkan daun yang kecil dengan daun yang besar untuk memudahkan proses menghiris daun.
- Masukkan semua bahan dalam satu periuk dan kacau sehingga rata.
- Campurkan bahan ditumbunk dan dimayang, gaul hingga sebati.
- Masukkan bahan lain, gaul rata dan hidangkan bersama lauk pilihan anda.
6. Nasi Tomato
Nasi tomato adalah antara nasi paling mudah untuk disediakan. Rasa tomato yang enak membuatkan nasi itu cukup dimakan begitu sahaja tanpa perlu kuah sampingan. Tak percaya? Cubalah resepi dari Azie Kitchen ini!
Bahan-bahan:
- 5 cawan beras Basmathi – cuci dan toskan
- 1/2 cawan susu cair
- 4 biji tomato – dicincang
- 1/2 cawan sos tomato
- 2 sudu besar majerin/minyak sapi
- 5 sudu besar minyak
- Garam secukup rasa
- Air – ikut sukatan beras
- Daun pandan disimpul atau daun sup cincang
- 3 ulas bawang putih – hiris
- 5 ulas bawang merah – hiris
- 1 inci halia – hiris
- 3 biji buah pelaga
- 3 biji bunga cengkih
- 1 inci kulit kayu manis
- 2 kuntum Bunga lawang
Cara Masak:
- Tumis bawang merah, putih, halia dan rempah dengan minyak dan minyak sapi hingga kuning dan naik bau.
- Masukkan susu cair, tomato cincang, tomato sos, garam dan gaul rata.
- Tambah air, daun pandan dan masak sehingga air mendidih.
- Masukkan beras. Alihkan ke dalam rice cooker dan masaklah seperti biasa.
- Apabila nasi telah kering, kacau rata perlahan lahan supaya nasi tidak patah dan hancur.
7. Nasi Ayam
Satu-satunya hidangan yang tak perlukan hari istimewa untuk disediakan ialah nasi ayam. Kalau mahu hidangan nasi ayam anda meletup, cubalah resepi nasi ayam hainan istimewa Yang Berhormat Brigadier Jeneral Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang lebih mesra dikenali sebagai KJ.
Beliau dengan penuh kasih sayang, mahu berkongsi resepi nasi kegemaran beliau dengan anda menerusi Butterkicap. Dapatkan resepi beliau di sini.
8. Nasi Kerabu
Kalau di sebelah utara, kita ada nasi ulam, di pantai timur pula, kita ada nasi kerabu. Dapatkan resepi yang dipetik daripada Azie Kitchen untuk anda cuba resepi nasi sihat versi pantai timur pula.
Bahan-bahan:
- 5 1/2 pot beras
- Air secukupnya
- Pewarna kuning (atau guna 7 kuntum bunga telang utk nasi kerabu berwarna biru)
- 2 helai daun pandan
b) Sambal Tumis
- 10 cili kering
- 3 ulas bwg merah
- 1 biji bwg besar
- 1/2 labu bawang putih
- 1/2 inci halia
- 200 gm santan pekat
- 3 batang serai – ketuk
- 2 keping asam keping
- 1 1/2 sudu besar gula
- 2 sudu teh garam halus
- 2 sudu besar budu
- Minyak masak
c) Sambal Ikan
- 1 biji kelapa parut – goreng atas api perlahan & tumbuk kasar
- 7 ekor ikan sardin – rebus, ambil isi & tumbuk
- 5 ulas bawang merah
- 5 batang serai
- 2 1/2 sudu besar gula
- 2 1/2 sudu teh garam
Cara Masak:
Masak nasi menggunakan periuk nasi seperti biasa.
- Kisar cili, bawang bawang dan halia.
-
Tumis bahan kisar sehingga pecah minyak.
-
Masukkan 1 1/2 cawan air dan santan. Sentiasa dikacau supaya santan tidak berketul.
-
Masukkan serai dan asam. Bila mendidih, masukkan budu dan gula.
-
Rasa sebelum dimasukkan garam supaya tidak terlebih masin. Kacau sehingga pecah minyak dan api boleh ditutup.
c) Sambal Ikan
- Tumbuk serai hingga hancur dan masukkan bawang merah. Tumbuk lagi.
- Masukkan garam dan gula secukup rasa.
- Masukkan isi ikan yang telah ditumbuk dan kelapa goreng yang telah ditumbuk. Gaul rata.
9. Nasi Kacang
Di Pulau Pinang, terdapat satu resepi nasi yang agak popular di sana iaitu hidangan nasi kacang. Nasi ini merupakan salah satu resepi nasi popular di Pulau Mutiara ini. Ayuh kita lihat cara untuk menyediakan hidangan ini dalam resepi ulun banjarese di bawah:
Bahan-bahan:
- 2 1/2 cawan beras
- 1 1/2 cawan air rebusan kacang dal
- 1 cawan air
- 1 cawan kacang dal
- 1/2 cawan minyak sapi
- 1/2 cawan bawang merah – dimayang
- 2 batang lobak merah – dipotong halus
- 1/2 kiub ayam
- Garam secukupnya
Bahan Tumis
- 4 kuntum bunga cengkih
- 3 cm kulit kayu manis
- 3 biji buah pelaga
Cara Masak:
- Panaskan minyak sapi, tumis bawang dan bahan-bahan penumis yg lain.
- Masukkan air, air rebusan kacang dal dan biarkan mendidih.
- Masukkan beras yg telah dicuci, kiub ayam, kacang dal dan garam. Kacau selalu.
- Apabila nasi hampir kering, masukkan lobak merah. Tutup periuk.
10. Nasi Hujan Panas
Nasi hujan panas ialah resepi nasi popular terakhir dalam senarai ini. Nasi hujan panas ialah nasi berwarna warni yang sedap dimakan bersama lauk-pauk lain. Cara penyediaan nasi ini mudah saja. Tak percaya? Tengoklah resepi Mudah di bawah.
Bahan-bahan:
- 4 cawan beras basmathi
- 5 cawan air
- 2 kiub pati ayam
- 2 helai daun pandan disimpul
- Pewarna merah, kuning dan hijau
Bahan Tumis:
- 1/2 inci halia
- 2 ulas bawang putih – dihiris nipis
- 1/2 biji bawang besar – dmayang
- 2 sudu besar minyak masak
- 1 sudu besar minyak sapi
- 1 batang kulit kayu manis
- 2 kuntum bunga lawang
- 3 kuntum bunga cengkih
- 3 biji buah pelaga
- Bawang goreng – hiasan
Cara Masak:
- Cuci beras dan rendam selama 10 minit. Toskan.
- Panaskan minyak dan tumiskan semua bahan tumis sehingga bau wangi.
- Masukkan beras dan gaul rata.
- Masukkan air, kiub ayam dan daun pandan yang disimpul.
- Masaklah nasi sehingga masak
- Bila nasi kering, letakkan 1-2 titik untuk setiap pewarna kuning, merah dan hijau. Bila dah masak, gembur-gemburkan nasi tu.
- Hiaslah dengan bawang goreng, gajus atau kismis, jika mahu.
Jadi, itulah 10 resepi nasi popular yang anda perlu cuba. Kami yakin anda akan takkan bosan lagi makan nasi setelah cuba kesepuluh-sepuluh resepi ini.