Site icon Butterkicap

6 Minuman Sihat dan Menyegarkan untuk Mulakan Tahun Baru Anda

Tahun baru seringkali menjadi saksi pada azam baru, dan menjadi lebih sihat dan cergas berkemungkinan azam paling popular yang ingin dicapai. Apapun, kita akan menjadi setahun lebih tua dan badan kita tahu tentang perubahan yang kita sedang alami.

Selain daripada bersenam dengan lebih kerap, usaha untuk menjadi sihat juga memerlukan anda untuk makan dan minum dengan betul. Kami tahu hidup di Malaysia dengan pelbagai makanan yang enak, murah dan boleh didapati 24-7, memang tidak mudah untuk anda mengamalkan diet yang sihat.

minuman sihat
Minuman sihat dan enak untuk dinikmati sepanjang tahun

Gantikan minuman terlebih gula tiruan dengan minuman sihat yang sedap

Ramai juga yang terlalu ketagih dengan teh tarik, sirap limau dan kopi-o-ais. Jadi, bagaimana kita dapat menggantikan minuman ini dengan minuman lain? Memperkenalkan enam resipi minuman sihat dan menyegarkan untuk memastikan diet anda kekal sihat.

Senarai minuman sihat kami juga termasuk soda, air seduhan, jus unik dan tonik suam untuk membuatkan anda kekal segar sepanjang tahun. Hal yang paling menarik adalah semua minuman ini bebas gula diproses dan tidak mengandungi warna atau perasa tiruan.

Di samping itu, beberapa minuman yang kami sediakan adalah sangat cantik dan sesuai untuk dihidangkan ketika jamuan atau pesta. Jika anda mahu minuman anda lebih manis, tambah sedikit madu asli.

Mari kita lihat senarai minuman sihat kami sediakan untuk anda!

Soda pandan & lemon

Adakah anda tahu bahawa pandan, bahan yang biasa digunakan dalam sajian tempatan, mempunyai manfaat kesihatan yang banyak? Pandan dapat mengurangkan kadar tekanan darah tinggi, mengurangkan stress dan satu ejen nyah-detoks yang hebat. Gabungan pandan dan soda mungkin sedikit aneh bagi yang tidak biasa mencuba gabungan bahan ini, tetapi minuman sihat ini sebenarnya sangat sedap dan menyelerakan.

Bahan-bahan
  • 13g (1 sudu besar) jus pandan
  • 13g (1 sudu besar) jus lemon
  • 160ml air soda (1/2 tin)
  • ais

Hidangan untuk 1 gelas minuman

 

Cara-cara
  1. Campur jus lemon dan pandan di dalam satu gelas. Kacau.
  2. Isi gelas dengan separuh ais.
  3. Masukkan air soda.
  4. Untuk markah tambahan, hidangkan dengan satu hiris lemon dan daun pandan, khususnya untuk jamuan.

 

Tip tambahan
  1. Masukkan 1 hingga 2 sudu teh madu untuk maniskan minuman ini, jika perlu.
  2. Jus pandan dan lemon segar boleh disimpan dalam peti ais selama 2 hingga 3 hari, jadi jangan risau jika anda ada jus lebih.

 

Lemonade ungu dengan biji selasih

Warna merah jambu minuman ini menjadikan ia sesuai untuk dihidangkan di jamuan untuk tetamu anda. Tambahan pula, minuman ini juga merupakan satu topik perbincangan yang pasti meraih perhatian tetamu anda, khususnya jika anda menyediakan minuman tersebut di depan mata mereka. Ini kerana mereka bakal menyaksikan satu helah silap mata! Selain daripada digunakan sebagai pewarna semula jadi, bunga telang juga kaya dengan antioksidan yang menjadikan minuman ini sangat enak dan sihat.

Bahan-bahan
  • 2g (1/4 sudu besar) biji selasih
  • 50ml air suam
  • 220ml air sejuk
  • 26g (2 sudu besar) air bunga telang
  • 13g (1sudu besar) jus lemon
  • 14g (2 sudu kecil) madu

Hidangan untuk 1 gelas minuman

 

Cara-cara
  1. Rendam biji selasih di dalam air suam untuk mengembang sepenuhnya. Dalam beberapa saat sahaja, setiap biji akan mengembang. Proses ini hanya berlaku apabila biji selasih terendam di dalam air. Jadi, jika anda mahu menggunakan biji selasih yang banyak, lebih banyak masa yang diperlukan. Anda akan tahu semua biji selasih sudah mengembang apabila semua biji tersebut termendap di dasar mangkuk atau gelas anda.
  2. Apabila biji selasih sedia untuk digunakan, masukkan air bunga telang di dalam satu gelas.
  3. Seterusnya, masukkan air sejuk. Kacau rata.
  4. Ambil kamera atau keluarkan telefon bimbit anda (kerana anda mungkin mahu merakam bahagian ini). Masukkan jus lemon ke dalam air tersebut dan lihatlah warna air berubah daripada ungu menjadi warna merah jambu! Kacau rata.
  5. Masukkan 2 sudu besar biji selasih yang sudah mengembang. Lebih banyak, lebih baik.
  6. Masukkan madu untuk memberikan rasa manis.

 

Tip tambahan
  1. Rendam biji selasih terlebih dahulu kerana proses tersebut akan mengambil masa untuk biji selasih mengembang sepenuhya. Tidak mengapa jika ada beberapa biji yang tidak mengembang.
  2. Anda boleh meningkatkan kuantiti madu yang digunakan atau tidak masukkan madu langsung. Kami mahu mengingatkan anda bahawa air bunga telang agak tawar.

 

Tonik pandan & serai

Minuman sihat yang suam dan menyelesakan ini membuatkan anda berasa tenang. Tonik ini memang sesuai untuk diminum apabila anda selesema kerana serai merupakan ejen antioksidan yang bagus sementara pandan pula mujarab dalam membuatkan demam anda kebah. Kalau anda sihat sekalipun, minuman ini masih sedap untuk dinikmati dan mengandungi nilai kesihatan yang bermanfaat kepada diri anda!

Bahan-bahan
  • 12g serai (kira-kira 1 batang, bahagian putih sahaja)
  • 3g daun pandan (kira-kira 1 helai daun)
  • 350ml air
  • 14g (2 sudu kecil) madu

 

Hidangan untuk 1 gelas minuman

 

Cara-cara
  1. Titik serai.
  2. Masukkan serai, daun pandan dan air ke dalam periuk kecil lalu biar sehingga mendidih. Kemudian biar air merenah selama 30 minit.
  3. Keluarkan daun pandan dan serai. Hidang semasa panas atau suam dengan sedikit madu sebagai pemanis.

 

Tip tambahan
  1. Madu menjadikan minuman ini lebih sedap selain daripada menjadi penawar apabila anda selsema atau demam. Tetapi, jika anda menghidapi penyakit kencing manis atau alah dengan madu, anda tidak perlu tambahkan madu ke dalam minuman anda. Rasa serai dan pandan tidak terlalu menonjol tetapi cukup menyelesakan.
  2. Minuman ini sesuai untuk disediakan dalam kuantiti banyak sekaligus kerana boleh disimpan di dalam peti sejuk selepas disejukkan. Namun begitu, kami mencadangkan anda untuk panaskan tonik ini dahulu dan tambahkan madu apabila anda sudah sedia untuk hidangkannya.
  3. Jika anda ingin hidangkan tonik ini untuk tetamu anda, letakkan setangkai serai direbus untuk hiasan opsyenal.

 

Soda nenas, lemon & pudina

Minuman sihat ini sememangnya minuman yang wajib dihidangkan ketika jamuan! Ketulan nenas yang dipotong memberikan suasana pulau tropika kepada tetamu anda di samping menjadi tambahan yang seronok untuk dikunyah. Minuman soda ini pastinya sangat dialu-alukan untuk membasahkan tekak ketika cuaca panas.

Bahan-bahan
  • 230g nenas, dipotong dadu selebar 2cm
  • 5g daun pudina
  • 20g (1 ½ sudu besar) jus lemon
  • 320ml air soda (1 tin)
  • ais

 

Hidangan untuk 2 gelas minuman

 

Cara-cara
  1. Ambil separuh nenas yang dipotong dadu dan campur dengan daun pudina serta jus lemon di dalam satu jag.
  2. Gunakan sudu kayu atau pelecek untuk melenyekkan daun pudina dan nenas. Cara lain adalah menggunakan pengisar tangan.
  3. Masukkan baki nenas.
  4. Tuang soda dan masukkan ais sebanyak mana yang anda mahu. Kacau rata.

 

Tip tambahan
  1. Jika nenas anda manis, anda tidak perlukan pemanis. Jika tidak cukup manis, masukkan 2 hingga 3 sudu kecil madu bergantung pada citarasa anda.

 

Soda pandan, limau nipis, ketumbar & pudina

Warna hijau zamrud yang cantik dan rasa soda yang menyegarkan pasti mengejutkan deria rasa anda dan tetamu anda! Soda ini merupakan minuman moktel yang terbaik dan anda tidak perlu memberitahu tetamu anda bahawa minuman ini sebenarnya sangat sihat.

Bahan-bahan
  • 3g daun pudina (kira-kira 4 helai daun pudina bersaiz besar)
  • 3g daun ketumbar
  • 13g (1 sudu besar) jus pandan
  • 13g (1 sudu besar) jus limau nipis
  • 160ml air soda (1/2 tin)
  • ais

 

Hidangan untuk 1 gelas minuman

 

Cara-cara
  1. Gunakan sudu kayu atau antan kecil untuk melenyekkan daun pudina dan ketumbar di dalam gelas. Anda hanya mahu daun tersebut tercarik dan aroma daun tersebut naik. Anda tidak perlu tumbuk sehingga halus.
  2. Masukkan jus pandan diikuti dengan jus limau nipis. Kacau rata.
  3. Isikan separuh gelas dengan ais dan tuang air soda.

 

Tip tambahan
  1. Kami merasakan bahawa minuman ini tidak perlu dimaniskan dengan madu tetapi itu terpulang kepada anda!
  2. Idea jamuan – sapukan campuran gula dan garam laut di bibir gelas sebagai hiasan!!

 

Jus epal & daun taim

Gabungan luar biasa ini sebenarnya menghasilkan satu minuman sihat yang cukup sedap untuk menyejukkan badan anda ketika hari panas terik. Dengan meletakkan sedikit buah pelaga, anda akan terkejut bahawa penambahan ini memberikan gabungan rasa yang unik tetapi cukup menyelerakan. Apapun, jangan kunyah buah pelaga itu ya.

Bahan-bahan
  • 100ml jus epal hijau segar (kira-kira 1 ½ biji epal)
  • 100ml jus timun (kira-kira 1 biji timun)
  • 4 tangkai daun taim (kira-kira 1 sudu besar)
  • 12g serai (1 batang), bahagian putih sahaja
  • 2 biji buah pelaga
  • 12g (1 sudu besar) jus lemon
  • 100ml air soda
  • ais

 

Hidangan untuk 1 gelas minuman

 

Cara-cara
  1. Tumbuk sedikit daun taim, batang serai dan biji pelaga lalu masukkan ke dalam gelas.
  2. Juskan epal dan timun (secara berasingan, untuk mendapatkan ukuran lebih tepat). Anda boleh menggunakan pemerah biasa atau pemerah tekanan perlahan.
  3. Masukkan kedua-dua jus ke dalam gelas, diikuti dengan jus lemon dan air soda. Kacau rata.
  4. Masukkan ais.

 

Tip tambahan
  1. Sediakan dalam kuantiti banyak dan simpan selama 2 hingga 3 hari!
  2. Oleh sebab jus epal akan bertukar warna, minuman ini bukanlah minuman jamuan yang terbaik. Jika anda masih mahu menghidangkannya, hidang di dalam gelas berwarna.

 

Soda seduhan herba, timun & lemon

Minuman seduhan memang minuman yang sesuai untuk dihidang semasa jamuan atau majlis kerana buah-buahan potong berwarna-warni yang terapung kelihatan sangat cantik! Buah-buahan tersebut memberikan perisa pada air anda di samping memberikan kemanisan pada minuman tersebut tanpa perlu memasukkan gula. Kami menyeduh air soda dengan buah-buahan untuk memberikan rasa berbusa yang lain daripada lain.

Bahan-bahan
  • 150g timun (1 biji timun)
  • 75g lemon (1/2 biji lemon)
  • 6g daun pudina
  • 6g daun rosemary (1 tangkai besar)
  • 960ml air soda (3 tin)

 

Hidangan untuk 3-5 gelas minuman

 

Cara-cara
  1. Hiris timun dan lemon dengan ketebalan 3-5mm.
  2. Dengan menggunakan alu, lenyekkan daun pudina dan rosemary.
  3. Masukkan timun, lemon, daun pudina dan rosemary ke dalam jag.
  4. Masukkan air soda.
  5. Masukkan ais.

 

Tip tambahan
  1. Anda juga boleh gantikan air soda dengan air biasa, khususnya jika anda mahu minum dari botol dan simpan selebihnya di dalam peti sejuk.
  2. Anda boleh bereksperimen dengan gabungan buah-buahan dan herba yang berbeza!

 

Jus pandan

Gunakan resipi ini untuk mendapatkan jus pandan yang akan digunakan dalam resipi minuman sihat di atas. Resipi ini mudah untuk disediakan dan boleh disimpan untuk menghasilkan ekstrak pandan semula jadi untuk resipi sajian dan pencuci mulut yang lain!

Bahan-bahan
  • 60g daun pandan (kira-kira 10 helai daun)
  • 150g air

 

Menghasilkan kira-kira 125g jus pandan

 

Cara-cara

  1. Gunakan sebilah gunting dan potong daun pandan menjadi helaian selebar 1cm. Kami mencadangkan anda untuk memotong daun pandan terus ke dalam pengisar.
  2. Masukkan air.
  3. Kisar daun pandan sehalus yang mungkin.
  4. Tuang jus pandan di dalam penapis jaring halus.
  5. Gunakan belakang sudu untuk menekan semua jus keluar.
  6. Jus pandan anda sudah siap!

 

Tip tambahan

  1. Jangan minum jus pandan begitu sahaja. Rasa jus tersebut tidak sedap. Gunakan salah satu resipi di atas untuk menyediakan minuman pandan yang sedap.
  2. Anda boleh mengunakan langkah-langkah di atas untuk menghasilkan ekstrak pandan. Anda hanya perlu biarkan jus tersebut di dalam peti sejuk selama 2 atau 3 hari sehingga cecair terasing sepenuhnya. Anda akan mendapat cecair berwarna hijau muda untuk menyediakan minuman berasaskan pandan, sementara cecair pekat bewarna hijau tua di bawah ialah ekstrak pandan. Kini, anda tidak perlu lagi beli pewarna tiruan di kedai lagi!
  3. Lebih sedikit air yang anda gunakan, lebih pekat warna dan rasa jus pandan anda.

 

Air bunga telang

Anda boleh menggunakan teknik mudah ini untuk mengekstrak warna biru bunga telang yang cantik sama ada untuk dijadikan minuman, mewarnakan makanan anda atau projek kraf lain!

Bahan-bahan
  • 5g bunga telang (15 kuntum bunga)
  • ½ cawan air panas

 

Cara-cara
  1. Rendam bunga di dalam air panas. Anda mahu air panas itu cukup untuk membuatkan bunga terendam.
  2. Biar bunga terendam sekurang-kurangnya 30 minit sebelum digunakan.

 

Tip tambahan
  1. Anda juga boleh menggunakan bunga telang kering jika tidak mempunyai bunga yang segar.
  2. Lebih lama anda rendam bunga itu, lebih gelap warna yang anda perolehi. Anda boleh simpan air yang berwarna ini selama beberapa hari
  3. Lebih kurang air yang digunakan, lebih pekat warna yang diperolehi.

 

Adakah anda akan berhenti minum minuman berkarbonat yang tinggi dengan gula dan mula mengamalkan minuman sihat? Kami tahu memang sukar untuk berhenti sepenuhnya tetapi anda boleh cuba untuk cuba resipi minuman sihat ini semasa di rumah atau ketika tetamu bertandang. Kongsi dengan kami hasil minuman anda dengan meletakkan hashtag #butterkicap pada gambar anda!

 

print