Site icon Butterkicap

Memahami Simbolism Masakan Nyonya Bersama Debbie Teoh

Malaysia merupakan sebuah negara yang cukup unik. Pasti anda sudah penat membaca ayat tersebut kerana sejujurnya, anda fikir ayat di atas sangat klise tapi itulah satu kebenaran yang kita patut raikan.

Debbie Teoh, seorang anak Nyonya dari Melaka menyedari tentang kepentingan untuk setiap komuniti di Malaysia diraikan dan diberi kepentingan yang sama agar budaya dan tradisi dapat dikekalkan dari generasi ke generasi.

Bagi beliau, unsur budaya yang paling penting dan perlu dipelihara adalah cara masakan dan makanan tradisional. Sebagai seseorang yang berketurunan Baba Nyonya, beliau berasa begitu rugi kerana ramai yang tidak tahu kekayaan cerita, sejarah dan budaya yang wujud disebalik setiap hidangan Nyonya.

Tetapi, sebelum itu, Debbie menegaskan kita untuk kembali ke zaman penubuhan negeri Melaka pada tahun 1400 oleh putera Palembang, Parameswara, untuk memahami permulaan kisah Malaysia dan rakyatnya yang berbilang kaum.

Bila Melayu Bertemu Cina…

Kesultanan Melayu Melaka merupakan satu empayar tamadun Melayu yang cukup megah dan besar dan sentiasa menjadi satu pencapaian besar dalam sejarah Malaysia kerana sebuah negeri yang kecil, dalam tempoh beberapa tahun saja telah menjadi pusat perdagangan maritim terbesar di Asia Tenggara hingga menarik pedagang-pedagang dari Arab, India dan semestinya, negara sekutu terkuat Melaka, China.

Hubungan diplomatik antara China dan Melaka merupakan suatu hubungan yang cukup menarik. Tetapi, adakah anda tahu bagaimana hubungan tersebut terjalin?

Bermula dengan kedatangan Laksamana Cheng Ho ke Melaka pada tahun 1409 semasa penjelajahan beliau di Asia Tenggara. Keramahan dan kesantunan masyarakat Melayu menarik perhatian beliau hingga menjemput wakil dari Melaka untuk datang ke China. Utusan Melaka ke China ialah Hang Tuah dan dikatakan kebijaksanaan beliau yang membuatkan China melihat Melaka sebagai negeri berpotensi besar.

Dengan itu, bermulalah kedatangan pedagang Cina ke Melaka dan ada antara mereka yang mengambil keputusan untuk menetap di sana. Perkahwinan antara pedagang-pedagang ini dan masyarakat Melayu setempat melahirkan satu komuniti baru yang sehingga ke hari ini, memelihara adat dan budaya tradisional Melayu dan Cina dalam segala aspek kehidupan mereka. Komuniti tersebut tak lain dan tak bukan ialah komuniti Baba Nyonya.

Kenali Anak Jati Nyonya, Debbie Teoh

Chef Debbie Teoh

Untuk memahami dengan lebih lanjut budaya dan adat masyarakat Baba Nyonya khususnya keunikan mereka berkomunikasi menggunakan simbolism dan perlambangan, khususnya melalui makanan, kami telah menemui seorang penegak makanan Baba Nyonya dan bermatlamat untuk membawa sajian istimewa ini ke persada dunia.

Berketurunan Baba Nyonya di kedua-dua belah keluarganya, Debbie Teoh menyedari keperluan untuk mempertahankan tradisi masakan dan budaya tradisional masyarakat Baba Nyonya yang makin menghilang. Apabila ditanya kenapa komuniti Baba Nyonya semakin mengecil, jawapan beliau ringkas sahaja.

Ramai yang terlupa bahawa Malaysia mempunyai komuniti lain selain tiga bangsa utama di sini dan Baba Nyonya ialah komuniti unik yang mewakili dua bangsa besar, iaitu Cina dan Melayu. Rupa kami mungkin kecinaan tetapi citarasa kami memang Melayu!

Dengan kesedaran inilah, Debbie memulakan usaha untuk menyelamatkan makanan tradisional Baba Nyonya, dari hidangan pembuka selera, ke hidangan utama hinggalah ke pencuci mulut. Selain itu, beliau juga sudah penat mendengar orang ramai tersalah sangka bahawa makanan-makanan ini yang sebenarnya Nyonya, dikatakan sebagai makanan Cina atau Melayu.

Bukan Semua Peranakan Sama…

Sebelum kami dapat masuk secara mendalam tentang dunia gastronomi Baba Nyonya, Debbie ingin membetulkan kami tentang sesuatu perkara. Peranakan bukan hanya Baba Nyonya.

Di Malaysia, terdapat banyak komuniti peranakan yang pasti ramai tidak tahu. Peranakan, lazimnya, merujuk pada individu yang mempunyai dua keturunan berbeza tetapi di Malaysia, ramai yang menganggap peranakan hanyalah komuniti Baba Nyonya. Sebenarnya, tidak!

Beliau menambah bahawa individu berketurunan peranakan anda di mana-mana saja. Sebagai contoh, di Pulau Pinang, terdapat komuniti Baba Nyonya, Jawi Peranakan dan Mamak. Ketiga-tiganya merupakan komuniti Peranakan dengan campuran berbeza.

Bagi Debbie, komuniti Peranakan ini seperti perencah rasa yang melengkapi Malaysia dengan kekayaan budaya dan adat mereka yang tersendiri. Jadi, beliau ingatkan apabila anda bertemu seseorang yang kelihatan agak ‘bercampur’, jangan segan untuk berbual dengannya. Mana tahu, anda akan belajar sesuatu tentang komuniti Peranakan lagi!

Ekspresi Adat Melalui Makanan

Salah satu perkara yang membuatkan kami begitu teruja untuk bertemu Debbie adalah untuk mengetahui maksud kata-kata beliau di awal pertemuan kami. Debbie mengatakan komuniti Baba Nyonya merupakan komuniti yang tak banyak berkata-kata dan banyak menggunakan perlambangan untuk menyampaikan isi hati mereka. Walaupun cara mereka halus, tapi makna yang ingin disampaikan boleh menusuk ke kalbu!

Masyarakat Baba Nyonya mempunyai dua identiti iaitu adat dan makanan mereka. Oleh itu, kehidupan komuniti ini cukup berwarna-warni. Sayangnya, sudah ramai yang tidak mengamalkannya sekarang.

Apa yang saya maksudkan dengan perlambangan, komuniti Baba Nyonya mempunyai tetapan khas untuk setiap acara, perayaan, kematian dalam kehidupan mereka dan cara mereka tunjukkan emosi adalah melalui warna, perisa dan jenis makanan yang mereka hidangkan pada saat-saat tertentu.

Sebagai contoh, nasi lemak. Rakyat Malaysia memang sukakan nasi lemak tetapi bagi masyarakat Baba Nyonya, nasi lemak mempunyai lambang yang lebih mendalam. Nasi lemak digunakan sebagai simbol bukti dara pengantin perempuan selepas malam pertama. Sebungkus nasi lemak akan dihantar oleh keluarga mertua kepada keluarga pengantin perempuan. Jika nasi lemak itu tak bersambal, memang malu besar keluarga pengantin perempuan!

Dalami Ilmu Peranakan Dulu

Debbie menegaskan bahawa maklumat-maklumat seperti ini penting dalam mengkomersialkan makanan Baba Nyonya agar pengusaha restoran atau penjual makanan Baba Nyonya dapat memberikan cerita disebalik setiap hidangan yang mereka tawarkan agar para pelanggan akan lebih tertarik untuk mencuba sesuatu hidangan di samping berasa berminat untuk belajar tentang budaya Baba Nyonya dan Peranakan, secara amnya.

Ramai yang berusaha untuk memperkenalkan masakan Baba Nyonya kepada orang luar dan itu satu usaha yang bagus. Malangnya, mereka tak cukup ilmu di dada tentang budaya dan cerita di sebalik setiap hidangan sebelum menjalankan perniagaan.

Sebagai contoh, hidangan ayam pongteh yang begitu popular di restoran-restoran masakan Baba Nyonya sebenarnya dihidangkan kepada ahli keluarga yang sudah meninggal dunia. Nampak tak manislah jika diletakkan dalam menu tanpa mengetahui kegunaan hidangan tersebut
.”

Kelas, Buku Masak dan Seterusnya…

Sebagai penegak makanan tradisional Baba Nyonya, Debbie telah menjalankan pelbagai usaha untuk pastikan budaya ini takkan hilang ditelan zaman. Hal ini demikian kerana beliau mahu orang ramai mengenali Baba Nyonya sebagai sebuah komuniti yang berharga dan perlu dipelihara.

Oleh itu, beliau memulakan usaha pertama beliau 16 tahun lalu dengan penerbitan buku masakan beliau yang pertama iaitu, ‘Nyonya Flavours’. Bagi Debbie, pengalaman menyediakan buku ini merupakan sesuatu yang beliau takkan pernah lupakan.

“Buku masakan ini merupakan usaha sama ramai individu Baba Nyonya yang menyumbang resepi-resepi keluarga mereka. Memang cukup banyak yang menghantar. Masalah tiba apabila tiada ukuran yang sama digunakan dalam setiap resepi yang dihantar.

Saya memang pening kepala nak menyusunnya. Ada dua resepi sama, dengan kadar ukuran, bahan yang berbeza. Ada yang menggunakan sukatan lama. Macam-macamlah! Tapi, pengalaman ini mengajar saya tentang kepentingan variasi masakan dan juga sukatan dalam masakan, tambah-tambah lagi sekarang apabila masak ‘mengikut rasa’ sudah tidak relevan lagi.”

Selepas ‘Nyonya Flavours’, Debbie mengadakan pelbagai kelas masakan, acara rasmi yang beliau ajar sendiri kepada golongan yang berminat untuk menghidupkan lagi masakan tradisional Nyonya seperti kuih-muih tradisional Nyonya yang makin sukar untuk dijumpai.

Usaha beliau yang seterusnya adalah untuk memperkasakan masakan Nyonya sebagai makanan sihat dan sesuai untuk diamalkan dalam pemakanan. Menurut beliau, kebanyakan masakan Nyonya menggunakan bahan-bahan yang mengandungi lemak baik, berkhasiat dan seimbang dari segi saiz hidangan.

Sekarang, digembar-gemburkan bahawa santan adalah bagus untuk kesihatan. Ini memang satu yang melucukan kerana santan sudah lama digunakan dalam masakan Malaysia khususnya masakan Baba Nyonya yang rata-ratanya menggunakan santan sebagai bahan utama.

Selain itu, masakan kita juga kaya dengan penggunaan ulam-ulaman tradsional berserta cara masakan yang berkhasiat. Jadi, jika ada yang berkata,’Oh, makanan Nyonya berlemak, berminyak. Tidak sesuai dimakan selalu’, saya hanya perlu berikan dia nasi ulam dan tengok betapa cepatnya dia mengubah fikirannya!

Kenali Debbie Teoh Secara Dekat

Debbie Teoh sememangnya seorang wanita besi yang takkan pernah hilang semangat untuk memperkukuhkan lagi kedudukan masakan tradisional Baba Nyonya di Malaysia dan juga di persada dunia.

Jika anda berminat untuk mengenali Debbie secara dekat, anda bolehlah mengikuti beliau di laman Instagram beliau, @debbieteoh atau laman Facebook beliau untuk mendapatkan maklumat terkini tentang kelas masakan beliau ataupun bertanya soalan tentang makanan Nyonya kepada beliau. Beliau sentiasa sedia untuk membantu!

print