Rakyat Malaysia sememangnya sukakan gabungan dua perisa berbeza untuk menghasilkan satu perisa yang baru. Namun begitu, kita kena pastikanlah gabungan perisa yang dipilih betul-betul padan. Jika tidak, memang berkerut muka apabila anda mencubanya.
Sukatan dalam resipi ini cukup untuk menyediakan satu gelas sahaja. Jangan berasa ragu-ragu untuk gandakan sukatan jika anda ingin sediakan minuman ini untuk bilangan orang yang banyak.
Inspirasi Daripada Tony Roma’s
Diinspirasi daripada minuman Pandan Soy Delight Tony Roma’s, kami bercadang untuk cuba menyediakan semula minuman ini menggunakan bahan-bahan yang sudah ada di dapur anda. Tidak perlulah anda berhabisan wang yang banyak demi menyediakan minuman mewah seperti ini yang lazimnya dijual di restoran-restoran mewah selepas ini.
Jangan tunggu sampai kering tekak. Ayuh kita ke dapur!
Bahan-Bahan
- 100ml sirap pandan
- 200ml soya
- Ais
- 2ml sos karamel
Cara-Cara
- Dalam penggoncang koktel, masukkan sirap pandan.
- Tuang soya ke dalam penggoncang. Goncang sehingga cecair menjadi sebati.
- Isikan ais sehingga 1/3 gelas.
- Tuang sos karamel disekeliling gelas, kira-kira 1 inci dari bibir gelas.
- Tuangkan cecair yang digoncang ke dalam gelas.
- Tuang soya di atas.
TIp
- Untuk sediakan sirap pandan, kisar daun pandan dengan air terlebih dahulu. Kemudian, tapis untuk keluarkan sisa daun pandan. Untuk mengetahui cara terbaik untuk sediakan jus pandan dengan sempurna, belajar di sini! Kemudian, panaskan dengan gula, kira-kira 3 sudu besar, untuk sediakan sirap pandan. Jika tidak, anda boleh menggunakan pewarna dan perisa pandan. Tapi, tiada yang lebih baik daripada yang asli.
- Jika anda tidak memiliki penggoncang koktel, anda boleh kacau minuman secara manual.
- Tidak sukakan sos karamel? Jangan risau, anda boleh gantikan dengan sirap gula melaka!
Apa Kata Anda
Anda sukakan atau sangat sukakan minuman ini? Daripada beritahu kami, lebih baik anda berkongsi hasil minuman anda di Instagram dengan meletakkan hashtag #butterkicap. Jika anda mendapati anda ingin menambah atau menggantikan mana-mana bahan, perubahan tersebut sangat dialu-alukan!
Lagipun, bukan kami yang akan menikmati minuman tersebut. Jadi, sediakanlah minuman ini menurut citarasa anda.