Sebelum saya mulakan penulisan saya tentang resepi saya nak kongsi dalam artikel ini, saya nak tanya dahulu bagaimana dengan resepi-resepi yang saya kongsi sebelum ini? Harapnya anda dah mencuba dan sukakannya.
Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih atas sokongan diberi dan jika masih diberi kesempatan, saya akan berkongsi lebih banyak resepi tradisional nyonya dan Cina yang halal dan menyelerakan untuk anda cuba di rumah.
Kuih Angku Klasik dan Menyelerakan
Saya pasti rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, pasti tahu tentang kuih angku. Jika ada yang tak tahu pasal kewujudan kuih ini, biar saya beri ringkasan asal-usul kuih ini, ya.
Maksud di sebalik nama kuih Angku ini adalah cukup menarik. “Angku” bermaksud kura-kura merah. Nama ini diberi kerana bentuk kuih tersebut kelihatan seperti cangkerang kura-kura dan lazimnya diletakkan pewarna merah.
Kuih ini merupakan antara kuih nyonya yang cukup popular dek rasanya yang manis dan tekstur yang lembut. Kuih ini sering kali dihidangkan pada hari-hari khas atau perayaan sebagai tanda panjang umur, murah rezeki dan kebahagiaan dalam hidup.
Anda tak perlulah tunggu hari istimewa atau perayaan untuk cuba resepi kuih angku ini. Cukuplah jika hari anda menjadi lebih baik dengan menikmati kuih ini sebagai hidangan minum petang bersama ahli keluarga.
Jadi, tanpa saya menulis dengan panjang lebar lagi, mari kita sama-sama ke dapur dan sediakan bahan-bahan untuk sediakan kuih angku ini!
Bahan-Bahan:
a) Doh
- 450g keledek, dikupas kulit dan dipotong menjadi ketulan kecil
- 270g tepung pulut
- 3 sudu besar tepung beras
- 3 sudu besar gula
- 4 sudu besar minyak sayuran
- 1/4 cawan jus pandan
b) Inti Kacang Hijau
- 500g kacang hijau, dicuci dan direndam semalaman dalam air sejuk tanpa ditutup
- 100g gula
- 1 sudu teh garam
- 5 sudu besar minyak sayuran
- 3 helai daun pandan
- 5 sudu besar air
c) Inti Kelapa Disira Gula Melaka
- 200g parutan Gula Melaka
- 2 sudu besar air
- 200g kelapa parut
Cara-Cara:
a) Doh
- Rebus ketulan keledek di dalam air dengan 1 sudu teh garam hingga empuk.
- Tapis air.
- Gunakan pelecek, garfu atau pemproses makanan untuk lenyekkan keledek hingga halus.
- Masukkan tepung pulut, tepung beras, gula dan minyak sayuran ke dalam mangkuk berisi keledek yang dilenyekkan.
- Masukkan air sedikit demi sedikit air untuk menghasilkan doh lembut. Rehatkan doh selama 30 minit. Tutup bekas berisi doh dengan plastik balutan makanan.
- Bentukkan doh menjadi bebola kecil seberat 22g untuk acuan saiz sederhana besar dan ketepikan.
b) Inti Kacang Hijau
1. Tapis air kacang hijau dan tos hingga kering. Letakkan kacang hijau dalam dulang kukus dan kukus atas api sederhana hingga lembut selama 30 minit.
2. Letakkan daun pandan atas kacang hijau.
3. Letakkan 5 sudu besar air pada kacang hijau.
4. Sementara kacang hijau masih panas, masukkan kacang hijau, gula, minyak dan garam ke dalam pemproses makanan atau pengisar dan kisar hingga halus dan menjadi pes.
5. Masukkan 1 sudu besar minyak panas jika pes terlalu kering.
3. Bentukkan kacang hijau menjadi bebola kecil seberat 18g dan ketepikan.
c) Inti Kelapa Bersira Gula Melaka
- Atas api sederhana besar, cairkan parutan gula melaka menggunakan kuali tak lekat.
- Masukkan 1 sudu besar air.
- Masukkan kelapa parut.
- Kacau hingga kering dan melekit. Padamkan api.
- Selepas menyejuk, bentukkan kelapa parut menjadi bebola kecil seberat 18g.
d) Membentuk Kuih Angku
- Minyakkan acuan kuih angku dengan sedikit minyak sayuran.
- Ratakan bebola doh keledek. Letakkan bebola inti kacang hijau di tengah dan bulatkan doh. Tabur sedikit tepung pulut atas doh.
- Letakkan bebola dalam acuan dan tekan dengan sekata. Untuk keluarkan doh, ketuk belakang acuan dan letakkan doh yang dibentuk atas kepingan daun pisang yang diminyakkan. Ulang langkah ini sehingga semua doh habis.
- Susun kuih angku atas dulang kukus dan kukur selama 5 minit atas api sederhana.
- Kemudian, kukus kuih angku selama 10 minit atas api sederhana kecil.
- Periksa kuih angku supaya tidak terlalu mengembang hingga boleh menyebabkan inti terkeluar.
- Keluarkan kuih angku dari pengukus dan minyakkan sedikit kuih tersebut. Biar menyejuk.
- Letakkan angku yang sudah sejuk dalam bekas kedap udara supaya tidak kering.
Tip Kuih Angku
Kalau nak kuih angku anda lebih menyelerakan dan menjadi dalam cubaan pertama, ikuti tip-tip mudah di bawah:
- Tak perlu berebut-rebut nak sediakan semua bahan sekaligus. Anda boleh sediakan inti lebih awal dan boleh tahan selama 2 minggu. Senang sikit kerja anda apabila teringin nak makan.
- Tak perlu guna pewarna tiruan. Sediakan angku warna hijau dengan menggunakan keledek kuning dan jus pandan.
- Bila merendam kacang hijau, anda kena tutup bekas tersebut supaya kacang hijau tak ditapai. Kalau tak ditutup, habislah inti kuih angku anda!
Kuih Angku Sedia Dimakan!
Resepi kuih angku ini tidak seperti kuih yang dijual secara komersial. Anda boleh simpan kuih yang siap diacuan dalam peti sejuk selama seminggu. Perkara paling menarik ialah, kuih angku ini takkan mengeras langsung dalam tempoh tersebut!
Cuma keluarkan, letak dalam pengukus selama 8 hingga 10 minit dan sudah sedia untuk dimakan.
Saya berharap anda sukakan resepi kuih angku ini dan jika berkesempatan mencuba, jangan lupa untuk tag saya di laman media sosial Instagram di @justinescakesandkueh dan letakkan #butterkicap pada gambar anda. Kami pun tak sabar nak lihat hasil anda!