Sambal kasturi tomato ini cukup mudah untuk disediakan. Paling penting sekali, sambal ini mampu membuatkan sesiapapun berasa berselera! Nak tahu cara buat sambal kasturi tomato yang enak? Resepinya ada dengan kami.
Pembuka Selera Terbaik
Rakyat Malaysia dan sambal terpisah tiada. Kalau tak ada sambal, memang rasa tak lengkaplah apa jua makanan yang anda nikmati. Orang kata, tak cukup ‘kick’. Oleh itu, setiap kali kita ingin makan, khususnya apabila hidangan yang ingin dinikmati ialah sajian Melayu, sambal wajib anda untuk menyempurnakan lagi perisa hidangan yang dinikmati.
Namun begitu, rata-rata masyarakat Malaysia hanya tahu tentang satu jenis sambal saja iaitu sambal belacan. Sebenarnya, terdapat banyak lagi variasi sambal lain yang anda boleh cuba nanti.
Masam-Pedas Sambal Kasturi Tomato
Kalau anda tanya kami, sambal manakah yang paling enak, bagi kami, sambal kasturi tomatolah sambal yang paling enak sekali. Rasa masam manis buah tomato dan kepedasan cili cukup seimbang hingga membuat orang yang tak lapar pun boleh jadi naik selera selepas mencuba sambal ini.
Sambal ini tak mengambil masa yang lama untuk disediakan. Dalam 5 minit saja, dah siap. Kami tak nak cakap lebih-lebih lagi kerana kami nak anda sendiri cuba resepi ini. Jom kita mulakan!
Bahan-Bahan:
- 3 biji tomato, belah empat
- 2 biji bawang merah
- 2 ulas bawang putih
- 7 tangkai cili merah
- 1 biji limau, dibuang biji
- 9 tangkai cili padi
- 50g belacan, dipanggang
- 1 sudu besar jus limau
- Gula dan garam secukup rasa
Cara-Cara:
- Masukkan cili merah dan cili padi ke dalam pengisar. Kisar kasar.
- Masukkan belacan, bawang merah, bawang putih, limau dan jus limau. Kisar kasar.
- Masukkan tomato dan kisar hingga mencapai tekstur yang anda mahu. Kami sukakan sambal kami sedikit kasar dengan cebisan cili kelihatan.
- Masukkan sambal di dalam mangkuk dan simpan di dalam peti sejuk hingga masa menghidang.
Berseleranya Makan!
Bagaimana? Adakah anda puas hati dengan sambal anda? Jangan risau kalau sambal ini terlalu pedas untuk anda. Anda boleh ubah suai jumlah cili yang digunakan jika anda mahu kurang pedas. Tapi, jangan lupa untuk tambah tomato. Nanti rasa tawar pula.
Jangan lupa untuk berkongsi dengan kami hasil masakan anda dan jika anda ada resepi-resepi mudah dan pantas kegemaran anda sendiri, jangan segan, jangan malu. Jika anda suka resepi sambal begini, beritahu kami sambal apa lagi yang anda mahu kami cuba dan kongsi bersama anda dengan tinggalkan pesanan kepada kami di laman Instagram dan Facebook kami.