Kebanyakan daripada kita tidak dapat memulakan pagi tanpa secawan kopi, baik kopi espresso, filter, latte, atau menikmati pilihan kopi tempatan seperti ‘si’, ‘peng’ atau ‘o’. Bagaimana kalau kami berikan alasan untuk anda menikmati kek dan kopi pada waktu pagi dalam satu cawan? Kek cawan kopi kami sememangnya sangat sesuai untuk dijadikan sarapan!
Lembut, panas dan cukup kaw, kek cawan kopi kami ini memang senang untuk disediakan dan menggunakan bahan-bahan yang anda pasti sudah ada dalam almari dapur anda. Selain sarapan, kek ini juga sesuai sebagai kudapan lewat pagi, tengah hari, atau minum petang apabila anda memerlukan makanan selesa yang cepat untuk anda menempuhi hari anda. Jika anda suka menikmati kopi anda dengan sesuatu yang manis selepas makan malam (dan tidak akan terjaga sepanjang malam), inilah resepi mudah dan ringkas yang anda perlu masukkan dalam rutin masakan anda. Anda sudah boleh bayangkan, bukan? Anda berbaring malas di atas sofa, menonton episod baru rancangan kegemaran anda, dan secawan kek beraroma kopi di tangan anda…
Atau, sediakanlah snek manis yang menyelerakan ini di pantri pejabat anda. Bawanya ke meja anda sambil semua orang memalingkan kepala ke arah bau yang cukup mengasyikkan di tangan anda. Mmmm… Kami merasakan kek cawan kopi ini memang patut dipromosi! Jangan sekadar percayakan kata-kata kami. Cubalah resepi ini. Anda hanya perlukan ketuhar mikro dan bahan-bahan di bawah. Jika anda perlu ke pasar raya untuk membeli bahan-bahan tersebut, jangan mengeluh kerana usaha anda berbaloi.
Bahan-bahan
- 1 sudu kecil serbuk kopi
- 2 sudu besar susu
- 2 sudu besar tepung serbaguna
- 1 ½ sudu besar gula kasar
- ¼ sudu kecil serbuk penaik
- 1/8 sudu kecil garam
- ¾ sudu besar minyak masak dan minyak ekstra untuk mengris cawan
- ¼ sudu kecil ekstrak vanila
Cara-cara
- Dalam mangkuk atau cawan selamat ketuhar, panaskan susu pada suhu tinggi selama 30 saat.
- Masukkan serbuk kopi dan kacau rata. Ketepikan dan biar kopi meresap ke dalam susu.
- Dalam mangkuk berasingan, masukkan tepung, gula, serbuk penaik dan garam. Gunakan pemukul untuk kacau rata.
- Tuang kopi menerusi penapis ke dalam campuran bahan kering. Jangan risau jika terdapat serbuk kopi yang masuk ke dalam adunan. Kacau menggunakan pemukul sehingga sebati.
- Seterusnya, masukkan minyak masak dan vanila ke dalam adunan. Kacau menggunakan pemukul sehingga sebati.
- Masukkan beberapa titis minyak ke dalam cawan selamat ketuhar. Anda boleh menggunakan berus atau tisu dapur untuk menyapu minyak ke bahagian dalaman cawan. Cara lain ialah anda menggunakan penyembur minyak masakan.
- Tuang adunan ke dalam cawan yang digris.
- Bakar dalam ketuhar mikro pada suhu tinggi selama 1 minit dan 30 saat.
- Biar kek menyejuk untuk seminit sebelum menghidang.
Tip tambahan
- Gunakan jenama kopi kampung kegemaran anda untuk resepi ini. Jika kopi anda dalam uncang, rendam 1 uncang di dalam susu dan jangan lupa untuk perah semua cecair dari uncang sebelum tuang kopi susu di dalam bahan kering.
- Jangan guna kopi tiga-dalam-satu kerana kopi tersebut mempunyai campuran gula dan krimer yang akan membuatkan ukuran bahan lain tidak seimbang.
- Tiada kopi kampung, cuma kopi biasa? Kami tidak pasti jika pilihan alternatif ini akan berhasil atau tidak tetapi anda boleh mencuba dan beritahu kami. Anda mahu serbuk kopi yang halus untuk hasil terbaik. Merendam biji kopi tidak akan memberikan perisa yang kuat dalam tempoh masa singkat yang digunakan.
- Minyak masak yang tidak mempunyai rasa yang kuat paling sesuai digunakan dalam resepi ini seperti minyak biji anggur, jagung atau bunga matahari. Gunakan minyak kelapa, bijan atau zaitun anda untuk resepi lain.
- Kek cawan ketuhar mikro akan mengeras dan menjadi liat dan kenyal apabila menyejuk. Pastikan anda makan kek sementara masih panas!
- Untuk rasa yang lebih kaya, hidang dengan aiskrim vanila atau krim putar atau kedua-duanya sekali!
- Anda tidak begitu sukakan kopi tapi lebih sukakan teh tarik? Jangan risau, kerana kami ada resepi kek cawan teh tarik untuk anda!
Wangi dan manis, lembut dan sedap, resepi kek cawan kopi ini pasti dapat memuaskan selera anda dan menghilangkan rasa mengidam kopi anda. Tunjukkan hasil kek kopi cawan anda kepada kami dengan meletakkan hashtag #butterkicap pada gambar anda!