Masak Lemak Nenas Udang adalah antara sajian kegemaran kami. Cepat, mudah dan menyelerakan. Masakan lemak nenas ini bagi kami, adalah antara masakan yang ‘underrated’ kerana terdapat pelbagai variasi masak lemak anda boleh cuba.
Jadi, lain kali, apabila anda mencari resepi masakan cepat dan mudah, terus pergi ke laman Butterkicap dan cuba resepi Masak Lemak Nenas Udang ini.
Masalah Utama Para Ibu
Nak mencari idea masak yang pantas, menyelerakan dan paling penting, dapat dinikmati berulang kali adalah suatu masalah yang sentiasa memeningkan kepala ibu-ibu. Apatah lagi kalau anak-anak dan pasangan sedikit cerewet.
Jadi, apakah masakan paling mudah dan cepat? Kalau anda tanya kami, jawapan kami ialah masak lemak nenas.
Masak Lemak Nenas Udang
Resepi yang kami ingin kongsikan bersama anda adalah resepi yang sihat dan cukup mudah untuk disediakan. Tak sampai 15 minit, anda dah boleh menikmati hidangan ini.
Kalau anda masih tak percaya betapa cepatnya resepi ini dapat disediakan, apa kata anda cuba sendiri?
Bahan-Bahan:
- 1 biji nenas saiz sederhana, dihiris
- 15 ekor udang besar, dibersihkan dan dibuang kepala dan ekor
- 20g kunyit hidup
- 7 biji bawang merah
- 5 biji cili padi
- 3 biji cili merah
- 5 bawang putih
- 350ml santan segar
- 2 cawan air
- 2 helai daun kunyit
Cara-Cara:
- Kisar cili merah, bawang putih, bawang merah, cili padi dan 1/2 cawan air hingga halus.
- Masukkan hirisan nenas di dalam periuk dan letakkan atas api sederhana besar.
- Masukkan bahan kisar dan tumis selama 2-3 minit.
- Masukkan 1 1/2 cawan air dan biar mereneh selama 2 minit.
- Carik-carikkan daun kunyit dan masukkan ke dalam periuk.
- Masukkan 1/2 sudu besar garam atau secukup rasa. Kacau rata.
- Bila kuah mula menggelegak sedikit, masukkan udang.
- Selepas 5 minit dan kuah menggelegak, masukkan separuh santan dulu. Pastikan api kecil dan ‘tembok’ kuah agar santan tak pecah.
- Masukkan baki santan. ‘Tembok’ kuah selama 3-5 minit lagi dan padamkan api.
Nota: Kalau tak ada santan segar, beli satu kotak santan dan campur dengan 100ml air.
Siap Dalam 15 Minit!
Wah, kami dah boleh bau wangi masakan masak lemak anda. Kami cukup suka sediakan resepi masak lemak nenas udang ini, khususnya apabila kami nak cepat.
Jangan lupa untuk berkongsi dengan kami hasil masakan anda dan jika anda ada resepi-resepi mudah dan pantas kegemaran anda sendiri, jangan segan, jangan malu. Kongsi bersama kami melalui laman Instagram dan Facebook kami.