Site icon Butterkicap

Botok Botok Ikan Kerisi Merah Menaikkan Selera

Botok botok bebotok ikan

Siapa pernah cuba buat atau makan botok-botok? Kalau tak pernah, anda betul-betul rugi. Botok-botok atau bebotok ialah hidangan popular dalam kalangan masyarakat Jawa yang diperbuat daripada kelapa parut, isi ikan dan rempah ratus. Anda boleh katakan juga bahawa botok-botok ini ialah ‘saudara dekat’ sajian pais ikan Malaysia. Cuma, bezanya, botok-botok ikan dikukus dan pais dipanggang. Apa yang pasti, kedua-duanya sama enak!

Botok-botok enak dimakan panas-panas bersama nasi dan sedikit sambal. Kelapa parut memberikan tekstur yang menarik di samping memberi kesegaran dan keseimbangan rasa pada ikan dan juga rempah ratus yang digunakan. Untuk menyediakan botok-botok yang enak, pastikan ukuran tiga bahan utamanya adalah pada nisbah yang betul. Jika tidak, anda akan berasa jelak atau mati selera.

Sebagai seorang cef, botok-botok merupakan antara sajian kegemaran saya untuk disediakan khususnya semasa jamuan keluarga ataupun sekadar untuk dinikmati apabila anda nak sesuatu yang tidak begitu berat. Untuk anda cuba sendiri di rumah, saya ubah suai dan permudahkan resepi botok-botok ini. Anda tidak akan rasa renyah mahupun resepi ini terlalu rumit untuk disediakan.

Bahan-Bahan:

a) Botok Botok

b) Sambal Goreng Cili Merah

Cara-Cara:

a) Botok Botok

  1. Bersihkan ikan kerisi, diambil isi dan buang tulang
  2. Satukan kesemua bahan dan kisar halus
  3. Potong, bersihkan dan salai daun pisang, letakkan 80g pes ikan pada setiap bahagian.
  4. Gunakan pengukus dan kukus selama 12- 15 minit.

b) Sambal Goreng Cili Merah

  1. Panaskan minyak dan masukkan kesemua bahan yang telah dikopek & dibersihkan.
  2. Masak selama 20 minit menggunakan api sederhana & ditutup.
  3. Setelah masak, sejukkan dan akhir sekali, semua bahan dikisar.

Bak Berbuka di Hotel

Saya harap dalam kemelut kita berpuasa kali ini, terubatlah sedikit sebanyak keinginan anda untuk berbuka puasa di hotel bersama keluarga. Oleh sebab anda tidak dapat datang kepada kami, jadi ini saja yang saya dapat bantu anda. Resepi botok-botok ini sememangnya adalah sama seperti yang saya sediakan di hotel jadi, jangan risau tentang rasa dan hasilnya. Saya pasti anda akan seronok menikmatinya.

Sementara saya kembali dengan resepi baru untuk dikongsi bersama anda, jangan segan silu untuk berkongsi resepi bersama Butterkicap jika anda mahu resepi masakan anda itu dapat dipelihara, dicuba dan dinikmati dari generasi ke generasi. Kalau anda berminat, anda boleh menghubungi Butterkicap di Facebook atau Instagram. Anda juga boleh hantarkan resepi anda terus ke emel Butterkicap, sembang@butterkicap.com.

Hingga itu, selamat menjamu selera bersama keluarga!

print