Daging dendeng sambal berlada merupakan resepi daging kegemaran saya untuk disediakan khususnya semasa bulan Ramadan. Mungkin juga semasa bulan Ramadan, segala makanan berlauk daging dan pedas menjadi dambaan ramai tetapi secara peribadinya, resepi ini mengingatkan saya tentang kenangan berbuka di rumah datuk dan nenek di kampung.
Rasa manis kicap dan pedas cili sememangnya cukup kena dengan citarasa kita. Oleh sebab itu, memang susah nak berhenti makan selagi ada baki masakan ini disimpan di dapur. Jika anda ada anak kecil di rumah, anda boleh kurangkan kuantiti cili yang digunakan.
Untuk pengetahuan anda, masakan dendeng merupakan masakan yang mempunyai pengaruh masakan Indonesia tetapi dalam resepi ini, saya telah mudahkan resepi agar anda dapat sediakan masakan daging dendeng ini dengan cepat. Kalau tidak, memang tak bermotivasilah untuk anda sediakan resepi ini, betul?
Bahan-Bahan:
a) Perapan
- 50g sos tiram
- 30g kicap manis
- 20g kicap pekat
- 10g serbuk jintan putih
- minyak masak untuk menggoreng
b) Bahan sos
- 80g bawang merah
- 2 batang serai, dititik
- 20g bawang putih
- 50g sos tiram
- 30ml kicap pekat
- 50ml kicap manis
- 50ml minyak masak
- 100g bawang goreng
- Garam dan gula secukup rasa
c) Bahan lain
- 400g daging batang pinang
Cara-Cara:
a) Perapan daging
- Bersihkan daging dan hiris setebal 0.5 cm.
- Ketuk dan nipiskan hirisan daging.
- Gaulkan dan perap bersama semua bahan selama 1 jam.
- Panaskan minyak ke suhu 165 darjah Celsius & goreng sehingga ¾ masak..
- Tapis dan toskan minyak.
b) Sos
- Bersama minyak, tumiskan semua bahan yang telah dikisar halus.
- Campurkan bersama sos tiram, kicap pekat dan manis.
- Masukkan 200 ml air.
- Masukkan daging yang telah digoreng dan biar reneh selama 30 minit.
- Akhir sekali masukkan bawang goreng dan masak menggunakan api perlahan sehingga pecah minyak.
Betul-Betul Menyelerakan!
Saya pasti sekarang bau daging dendeng sudah semerbak di seluruh dapur. Berbunyi juga perut apabila fikirkannya. Untuk pengalaman makan yang lebih ‘padu’, sediakan sedikit sambal jawa dan sayur goreng. Boleh habis satu periuk dibuatnya nanti!
Jika anda terlepas perkongsian saya sebelum ini, jangan bersedih. Resepi botok-botok ikan saya boleh didapati di laman Butterkicap. Saya harap anda dapat menikmati kedua-dua resepi ini bersama keluarga dan jangan lupa untuk ikuti Butterkicap dan ketahui resepi-resepi tradisional serta lama yang anda belum pernah cuba lagi. Apapun, selamat memasak!