Nasi minyak, atau nasi yang dimasak dengan ghee, adalah nasi berperisa yang amat popular di majlis perkahwinan dan majlis-majlis istimewa. Dimasak dengan rempah-rempah dan sedikit banyak ghee, nasi minyak mudah dibuat, dan kami tertanya-tanya mengapa masakan ini tidak muncul dengan lebih kerap pada waktu makan.
Nasi minyak – nasi dimasak ghee ini memang lazat
Bahan-bahannya juga mudah dijumpai di kebanyakan pasaraya, menjadikan resepi ini hidangan yang bagus dimasak jika anda duduk di luar negara dan merindui rasa-rasa tempatan.
Jadi, lain kali anda menyediakan hidangan, sama ada untuk diri sendiri atau untuk keluarga dan rakan-rakan, cubalah tukar nasi biasa dengan nasi minyak pula. Rasa dan aroma nasi yang lazat ini akan menambahkan keistimewaan kepada makanan anda. Hidang dengan ayam goreng rempah, dalca dan sambal pudina untuk kombinasi yang hebat.
Cara Masak Nasi Minyak ala Chef
Tonton video kami di bawah untuk melihat betapa mudahnya ia untuk membuat nasi ini. Resepi dan arahan penuh ada seterusnya.
Bahan-bahan
Nasi:
- 3 cawan beras basmati
- 1 sudu besar garam kasar
Aromatik:
- 5 bawang merah, dihiris nipis
- 2 ulas bawang putih, dipukul alu & dicincang halus
- 2 cm halia, dipukul alu & dicincang kasar
Untuk menggoreng:
- 5 sudu besar ghee
- 3 daun pandan, diikat
- 2 batang kayu manis 4cm
- 3 bunga lawang
- 1 sudu kecil buah pelaga
- 1 sudu kecil bunga cengkih
Untuk memasak:
- 3 sudu yoghurt
- 3 batang daun sup, dikerat
- 1 cawan susu sejat
- 2 cawan stok ayam
- 1 cawan air
- ½ sudu kecil garam
- 1 sudu kecil gula
- 2 sudu besar ghee
Penghiasan:
- 1 sudu besar bawang goreng
Kaedah
- Bilas beras sehingga air jernih. Langkah ini akan memerlukan beberapa bilasan.
- Rendam beras dengan air garam selama 1 jam. Tapis dan simpan tepi.
- Potong dan campur bahan-bahan aromatik.
- Pada suhu api tinggi, panas dan cairkan ghee di dalam kuali besar.
- Bila ghee cukup panas untuk menggoreng, kira-kira 190°C, masukkan pandan, kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan bunga cengkih. Masukkan campuran aromatik. Goreng sehingga tepi-tepi bahan aromatik mula berkaramel.
- Masukkan beras dan kacau hingga rata. Terus kacau sehingga beras berwarna perang sedikit dan mengeluarkan aroma seperti kacang. Ini akan mengambil masa kira-kira 5 minit.
- Masukkan nasi dan semua bahan dari kuali ke dalam periuk nasi.
- Masukkan yoghurt dan kacau.
- Seterusnya, masukkan daun sup, diikuti susu, stok ayam dan air. Masukkan garam, gula dan ghee dan kacau untuk campur.
- Masak seperti biasa dalam periuk nasi.
- Setelah masak, hidang nasi di atas bekas hidangan dan keluarkan bahan-bahan besar seperti pandan dan kayu manis.
- Hias dengan bawang goreng.
Tips Tambahan dari Chef
- Lebih baik kualiti beras basmati anda, lebih sedap nasi minyak anda.
- Cuba keluarkan bunga lawang, buah pelaga dan bunga cengkih dari nasi masak sebelum disajikan. Bahan-bahan ini menambah banyak rasa dan wangian kepada mana-mana masakan, tetapi agak pahit jika digigit. Bahan-bahan ini agak kecil, jadi keluarkan sebanyak mungkin dan beri amaran kepada tetamu tentang potensi tergigit ‘perangkap’ ini.
- Guna saiz cawan yang sama untuk beras dan bahan cecair anda. Kami cadang anda guna cawan pengukur dan bukan cawan yang biasanya datang dengan periuk nasi kerana ukuran mungkin berbeza.
- Jika ingin menambah perisa setelah nasi minyak telah masak, taburkan sedikit kismis untuk rasa manis-manis.
Hanya beberapa langkah mudah diperlukan untuk menghidangi nasi minyak yang lazat di meja anda. Cubalah resepi ini untuk jamuan anda seterusnya dan beritahu kami bagaimana hasilnya dengan mengetag gambar anda dengan #butterkicap. Nikmatilah!