Sejak belakangan ini, Malaysia mengalami cuaca tidak menentu. Jika hujan turun, cuaca pun sangat sejuk dan kalau panas pula, memang terasa bahangnya! Namun begitu, cuaca kini kian panas dek penangan jerebu yang membuatkan bahang matahari lebih panas daripada biasa.
Oleh itu, penting untuk kita kekal terhidrat dan segar supaya tidak berasa lesu serta malas untuk menjalankan aktiviti harian kita.
Saya tidak ada penyelesaian untuk masalah cuaca panas yang melanda tetapi apa yang saya boleh bantu adalah dengan berkongsi dengan anda resepi agar-agar konnyaku krisantimum beri goji kegemaran saya.
Sejuk dan Menyegarkan!
Agar-agar konnyaku ini cukup sesuai untuk dijadikan pencuci mulut, khususnya selepas makan tengah hari atau makan malam, terutamanya jika anda makan sesuatu yang membuatkan anda lebih panas seperti sajian berdaging.
Hal ini demikian kerana agar-agar ini bukan sahaja sejuk dan menyegarkan malah mengandungi nilai khasiat yang bermanfaat untuk diri anda juga.
Kenapa saya begitu? Resepi agar-agar konnyaku saya ini kaya dengan nilai khasiat yang diperoleh daripada bahan-bahan yang saya gunakan seperti bunga krisantimum (ejen penenang dan mengurangkan keradangan), beri goji (mengawal kadar gula dalam darah dan sokongan sistem imunisasi) dan bunga telang (menggalakkan pertumbuhan rambut dan menambaik baik penglihatan).
Keunikan Agar-Agar Konnyaku
Bagi yang tidak pernah mencuba agar-agar konnyaku, inilah masanya untuk merasainya. Saya menggemari agar-agar konnyaku ini kerana tidak seperti jeli atau agar-agar biasa, tekstur jeli konnyaku ini lebih padat dan anjal. Oleh itu, agar-agar ini berikan kepuasan kepada anda apabila anda mengigitnya.
Serbuk agar-agar konnyaku ini diperbuat daripada gelatin yang dihasilkan menggunakan akar konnyaku iaitu spesis tumbuhan batang berongga dan tumbuh meliar di kawasan subtropikal benua Asia seperti di Jepun, Selatan China dan Indonesia.
Akar konnyaku ini tidak mengandungi sebarang lemak, rendah kalori dan kaya dengan serat.
Jadi, apa yang anda tunggu lagi? Resepi ini berikan segala manfaat badan anda perlukan dan paling penting, hidangan agar-agar ini cukup mudah dan cepat untuk disediakan.
Bahan-Bahan:
- 250g serbuk agar-agar Konnyaku
- 1250ml air
- 100g gula batu
- 3 sudu besar Bunga Krisantimum Kering
- Segenggam beri goji kering, direndam selama 5 minit dan ditapis
- 20 kuntum bunga telang kering
- Beri segar, dihiriss
- Bunga Organik Segar Boleh Makan
Cara-Cara:
- Letakkan beri goji yang direndam, hirisan buah beri dan bunga boleh makan di dasar acuan agar-agar.
- Letakkan acuan di atas dulang untuk mengelakkan cecair agar-agar melimpah semasa proses memindahkan acuan ke dalam peti sejuk.
- Didihkan bunga krisantemum kering bersama air dan gula batu di dalam periuk sehingga gula batu larut sepenuhnya. Sekarang, anda dapat bau wangian bunga krisantimum kering daripada air renehan.
- Alihkan periuk dari api.
- Tapiskan air renehan bunga krisantimum untuk keluarkan bunga.
- Jika anda mahukan agar-agar anda berwarna biru, masukkan sekali bunga telang di dalam air renehan dan biarkan terendam selama 5 minit.
- Letakkan kembali periuk berisi air renehan di atas penunu dapur dan panaskan atas api kecil. Masukkan serbuk agar-agar Konnyaku hingga terlarut selama 5 minit.
- Perlahan-lahan, tuangkan cecair agar-agar ke dalam acuan yang disediakan.
- Biarkan agar-agar menyejuk dan mengeras selama 30 minit. Kemudian sejukkan dalam peti sejuk sehingga waktu menghidang.
- Untuk menghidang, terbalikkan acuan dan dengan hati-hati, keluarkan agar-agar lalu letakkan di atas pinggan.
Nota:
- Jika anda nak warna agar-agar yang berbeza, anda boleh rendam bunga telang bersama bunga krisantimum dalam renehan air.
Nak Resepi Lagi?
Saya berharap resepi agar-agar ini dapat memberikan anda dan keluarga anda kesegaran yang badan anda perlukan.
Kalau anda nak lebih banyak lagi resepi-resepi daripada saya, ikutilah Butterkicap di semua laman media sosial mereka seperti di Instagram, Facebook dan Twitter untuk dapatkan lebih banyak lagi resepi-resepi menarik yang anda boleh cuba di rumah di hujung jari anda.
Jika anda ada soalan untuk resepi-resepi yang anda ingin cuba, baik resepi ini mahupun resepi kegemaran seperti resepi kuih lapis atau kuih angku nyonya atau kek lof cempedak saya, bolehlah diutarakan di profil Instagram saya terus, @justinescakesandkueh