Ayam bakar madu merupakan resepi diet kegemaran saya. Hal ini demikian kerana resepi ayam ini memang cukup enak dan ada kalanya, boleh membuatkan saya menghabiskannya sekali makan. Itulah penangan ayam bakar madu ini. Berbeza daripada ayam bakar yang lain, resepi ayam bakar ini cukup rasa lemaknya dan paling penting sekali memberi kulit yang rangup dan isi ayam yang lembap.
Bagi yang sudahpun mencuba resepi meehoon siam saya tempoh hari, saya betul-betul mengesyorkan anda untuk menikmati sajian ayam bakar madu ini bersama-sama resepi meehoon tersebut. Sesiapapun takkan dapat menahan diri daripada godaan kedua-dua makanan ini.
Mudahnya Resepi Ayam Bakar Madu Ini!
Kadangkala, penentu untuk kita masak atau sediakan sesuatu resepi, khususnya resepi yang baru yang ingin dicuba adalah kesenangan atau betapa mudahnya resepi itu dapat disediakan. Saya pun begitu juga. Oleh sebab saya memahami perasaan anda ini, jadi saya telah meringkaskan resepi ayam bakar madu saya ini hinggakan anda tak boleh berdolak-dalih lagi daripada mencuba resepi ini di rumah. Walaupun diringkaskan tetapi hasilnya tetap memuaskan!
Untuk rasa ayam yang lebih lemak manis, saya syorkan anda untuk perap ayam semalaman. Ayam akan menjadi lebih lembap dan berjus.
Bahan-Bahan:
a) Bahan Perapan
- 6 sudu besar sos tiram
- 2 sudu besar kicap
- Secubit garam
- Secubit lada sulah
- 4 sudu besar madu
- 1 sudu besar minyak zaitun
b) Bahan Lain
- 4 ketul ayam bahagian paha atau dada atau kepak, cuci dan keringkan guna tisu dapur
Cara-Cara:
- Masukkan semua bahan perapan di dalam mangkuk berisi ayam. Gaul rata,
- Perap ayam minimum selama 1 jam.
- Simpan lebihan kuah perapan untuk disapu pada ayam nanti.
- Letakkan satu lapisan kertas bakar di dalam dulang pembakar.
- Bakar ayam selama 185 darjah Celsius selama 60 minit.
- Selepas 40 minit, turunkan suhu ke 175 darjah Celsius, sapu baki perapan di atas ayam dan bakar selama 20 minit lagi.
Sekali Bakar, Boleh Makan Sampai Malam
Perkara terbaik tentang resepi ayam bakar ini adalah seluruh dapur anda akan bau semerbak wangi ayam madu yang dibakar. Jadi, pastikan semasa anda menyediakan resepi ini, anda tidak sediakannya dalam keadaan sangat lapar. Kalau tidak, anda akan berasa menyesal nanti kerana begitu cepat habiskan sajian ayam bakar madu ini.
Kalau anda nak saya berkongsi resepi sihat tempatan yang lain, anda boleh mesej saya di profil media sosial Butterkicap, baik di Instagram ataupun Facebook untuk beritahu saya cadangan anda. Untuk mencuba hasil air tangan saya, anda boleh kunjungi profil Instagram saya dan buat tempahan. Mana tahu, saya boleh buat anda jatuh cinta dengan masakan Nyonya nanti. Apapun, selamat memasak dan moga resepi ini menceriakan hari anda dan keluarga!