Site icon Butterkicap

Resepi Sagu Gula Melaka Buat Anda Tak Jadi Diet

Nak berdiet bukanlah mudah. Anda mesti mempunyai kekuatan mental dan fizikal untuk menghalang diri anda daripada kalah dengan godaan nafsu makan anda. Kami tahu betapa susahnya untuk rakyat Malaysia buat begini kerana kita ada begitu banyak pilihan sajian, daripada pembuka selera hinggalah ke pencuci mulut yang cukup enak.

Jika anda masih boleh teruskan diet anda dalam keadaan ini, anda memang kuat. Teruskan usaha anda. Bagi golongan yang tak pernah ada istilah ‘diet’ dalam hidup mereka seperti kami, tahun 2020 akan menjadi tahun kita sama-sama menemui resepi-resepi warisan baru untuk dicuba. Tahun ini, semua akan mengenali kita sebagai pakar masakan tradisional Malaysia. Satu azam yang menarik, bukan?

Jadi, sekarang, apa yang kita nak mula masak? Tak perlu penat-penat fikir sebab kami ada jawapan untuk anda.

Sagu Gula Melaka Mudah, Ringkas dan Lazat!

Secara amnya, kuih-muih tradisional Malaysia menggunakan bahan-bahan yang mudah untuk didapati, murah dan paling penting sekali, tak mengambil masa yang lama untuk disediakan. Malang sekali, cukup susah untuk kita temui kuih-muih tradisional kegemaran kita sekarang kerana ramai orang mempunyai anggapan yang salah bahawa masakan tradisional adalah rumit dan memerlukan bahan yang sukar untuk ditemui.

Sebagai contoh, sagu gula melaka. Di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, pencuci mulut klasik ini dijual di kafe-kafe mewah pada harga yang lebih mahal dari yang disangka. Bayangkan, setiap kali anda nak makan kuih atau pencuci mulut tradisional, anda perlu keluarkan lebih dari yang sepatutnya.

Cara nak berjimat memang ada; buatlah sendiri dan hasilnya lebih memuaskan hati, poket dan tekak anda.

Siapa sangka bahan-bahan ringkas ini hasilkan pencuci mulut yang enak?

Bahan-Bahan:

a) Biji Sagu

b) Santan

c) Sirap Gula Melaka

Cara-Cara:

1.Dalam periuk sederhana besar, panaskan air dengan daun pandan. Apabila sudah mendidih, keluarkan daun pandan dan masukkan biji sagu.

2. Didihkan selama 18-20 minit. Tapis dan bilas dengan air. Letakkan biji sagu ke dalam bekas hidangan. Biarkan biji sagu disejukkan dan kemudian, masukkan ke dalam peti sejuk.

3. Untuk menyediakan sirap gula melaka, panaskan 1/2 cawan air, daun pandan dan gula melaka hingga gula terlarut. Keluarkan daun pandan dan ketepikan sirap.

4. Panaskan santan atas api kecil dalam periuk bersama 1/4 sudu teh garam dan daun pandan. Pastikan anda perhatian santan ini dengan teliti agar tak pecah minyak. Keluarkan daun pandan dan ketepikan.

5. Untuk menghidang, tuang santan yang suam di atas biji sagu dan tuang sirap gula melaka di atas.

25 Minit Saja Dah Siap!

Tengoklah betapa mudahnya nak sediakan sagu gula melaka ini. Tak perlu nak kena tunggu, buat persiapan awal. Sambil tengok drama di TV pun dah cukup. Apapun, perkara paling penting ialah rasa sagu gula melaka ini dan sememangnya resepi ini tak mengecewakan.

Tambahan pula, anda dapat mengubah suai sukatan sirap gula melaka dan santan anda nak letakkan pada sagu anda agar diet anda tak terganggu. Jadi, apa lagi yang menghalang anda daripada mencuba resepi sagu gula melaka ini? Jom jadikan pencuci mulut ini projek hujung minggu anda!

print