Bubur Lambuk mungkin hidangan yang muncul hanya sekali setahun tetapi popularitinya tak pernah kurang. Apa uniknya Bubur Lambuk Terengganu? Kita sama-sama dapat tahu.
Saya begitu gembira dan teruja untuk kembali berkongsi resepi variasi Bubur Lambuk yang ada di Malaysia setelah mendapat segala sokongan dan kata-kata positif daripada anda. Saya berasa gembira kerana dapat berkongsi maklumat baru tentang bubur lambuk dan paling penting sekali, saya dapat menimbulkan minat untuk mengenali sajian bubur lambuk dalam diri anda.
Bubur Lambuk Terengganu: Kesegaran dalam Lemak
Bubur Lambuk Terengganu merupakan variasi yang cukup kontra dengan Bubur Lambuk Utara.
Bubur Lambuk Utara bergantung pada rasa rempah dan bahan-bahan sampingan lain seperti asin yang melengkapkan perisa menyeluruh bubur. Bubur Lambuk Terengganu pula mementingkan keseimbangan rasa antara tiga bahan utamanya, iaitu santan, isi ikan dan juga ulam-ulaman.
Oleh itu, apabila nak menyediakan Bubur Lambuk Terengganu, anda perlu pastikan ulam-ulaman dan jenis ikan yang anda gunakan tidak mempunyai perisa yang kuat hingga boleh menenggelamkan rasa kedua-dua bahan utama yang lain. Jika tiada keseimbangan rasa itu, tak sedaplah Bubur Lambuk Terengganu anda.
Untuk memudahkan anda, saya kongsikan resepi Bubur Lambuk Terengganu saya sendiri yang saya telah ubah suai agar hasil bubur lambuk ini sentiasa menjadi dan mempunyai nisbah bahan-bahan yang sempurna.
Bahan-Bahan:
a) Bubur
- 1 cawan (200 g) beras
- 7 cawan (1500 ml) air
b) Ikan
- 1/2 kg sardin atau ikan selayang
- 1 liter air
c) Bahan Perisa
- 1 cawan santan
- 1 sudu besar lada sulah
- 5 biji bawang merah, dikisar
- 3 ulas bawang putih, dikisar
- 1 inci halia, dikisar
- 1 sudu besar kerisik
- 1 sudu besar budu
- garam (jika perlu atau nak gantikan budu)
d) Ulam Tempatan, dicuci, dibuang batang dan diracik
- Pucuk Midin
- Cekur Manis
- Pucuk Kaduk
- Pucuk Gambas
- Daun Kesum
- Ubi Keledek, dipotong dadu
Cara-Cara:
- Dalam periuk, rebus ikan sardin dengan air. Asingkan isi ikan dan tumbuk dalam batu lesung. Simpan 3 cawan air rebusan ikan tadi.
- Dalam periuk berbeza, sediakan bubur menurut sukatan diberi. Kacau sesekali untuk elakkan bubur melekat pada periuk.
- Tuang santan, bahan kisar dan ubi keledek ke dalam bubur. Biarkan hingga ubi empuk dan bubur memekat.
- Taburkan hirisan ulam dan kacau rata.
- Perisakan dengan budu atau garam secukupnya. Hidangkan dengan potongan cili padi.
Meneruskan Warisan Bubur Lambuk
Saya harap perkongsian kedua saya tentang Bubur Lambuk Terengganu sedikit sebanyak membuka mata anda seperti saya tentang kepelbagaian dan perbezaan citarasa dan gaya penyediaan hidangan semudah bubur lambuk.
Mungkin bagi ramai anak-anak muda, pemeliharaan masakan tradisional yang diwarisi turun-temurun tidak dilihat sebagai perkara yang penting kini tetapi hakikatnya ialah, resepi-resepi ini bukan sekadar menghilangkan rasa lapar malah menjadi lambang identiti kita sebagai rakyat Malaysia.
Saya harap perkongsian saya ini menggalakkan anda untuk berkongsi resepi tradisional keluarga anda sendiri, anda bolehlah hantarkan emel kisah dan resepi anda kepada Butterkicap di sembang@butterkicap.com atau di laman Facebook serta Instagram mereka.
Jika anda rindukan rumah dan mahu masakan rumah dihantar di pintu rumah anda, anda boleh ikuti profil laman sosial saya di Facebook dan Instagram untuk anda rasa air tangan saya sendiri menyediakan makanan kegemaran anda. Mungkin tak sama seperti mak anda sediakan tapi bolehlah untuk menghilangkan kerinduan.