Makanan Malaysia kaya dengan perisa dan rasa berbanding masakan Barat. Rakyat Malaysia memang gemar menggunakan pelbagai perisa dan bahan untuk membangkitkan semua deria rasa kita secara serentak. Lagipun, tiada sebab untuk satu hidangan tidak berasa masam dan manis sekaligus. Jika hidangan itu pedas, lebih baik! Persoalannya, hidangan apa yang ada semua perisa ini? Dengan resepi ikan asam Butterkicap ini, anda pasti akan dihentak dengan kombinasi rasa yang pelbagai.
Tidak seperti masakan asam pedas, hidangan ikan asam memperkenalkan unsur manis dengan meletakkan ketulan nenas di dalam masakannya. Tempoh memasak hidangan ini adalah selama sejam dan mempunyai senarai bahan yang agak panjang. Namun begitu, usaha yang dihabiskan untuk menyediakan ini berbaloi apabila melihat keluarga anda asyik menikmatinya semasa jamuan dihidangkan.
Semestinya, anda boleh sediakan hidangan ini untuk diri anda sendiri, tetapi jangan lupa kurangkan sukatan bahan-bahan menurut saiz ikan yang anda ingin masakkan.
Selamat mencuba!
Bahan-bahan
- 2.5kg seekor ikan merah, dipotong ketulan setebal 3cm
- 37g serai (kira-kira 3 batang), bahagian bawah sahaja
- 315g pes cili boh
- 250g nenas, kulit dibuang, separuh dipotong kasar dan separuh lagi dibelah empat
- 575g tomato (kira-kira 5 tomato), dipotong 8 setiap satu
- 160g belimbing buluh, dibelah dua
- 43g daun kesum
- 66g halia, dihiris besar-besar
- 4g daun limau purut (kira-kira 4 daun), dicarik sedikit
- 550g terung, tangkai dibuang & dipotong menjadi ketul-ketulan
- 467g bendi, dibuang tangkai
- 650g pes asam jawa
- 850g air
- 37g gula Melaka, diparut
- 1g lada hitam dikisar
- 30g garam
- 200g minyak masak
Bahan aromatik
- 70g bawang putih, dikupas
- 680g campuran bawang merah dan bawang besar
- 16g kunyit, dikupas
- 26g halia, dikupas
- 32g lengkuas, dikupas
- 22g belacan
Menyiang ikan
- air paip
- 1 sudu besar garam kasar
- 1 sudu besar pes asam jawa
- 2 hingga 3 limau purut dan/atau lemon
Hidangan: 8 hingga 10 orang
Mencuci ikan
- Lakukan langkah ini sebelum memotong ikan. Jika penjual ikan sudah memotong ikan untuk anda, teruskan dengan langkah seterusnya tetapi rendam ikan selama 30 saat sahaja.
- Bersihkan ikan dengan merendamkannya sebentar di dalam sinki dapur atau besen besar yang boleh memuatkan seluruh ikan. Ikan mesti dapat direndam sepenuhnya.
- Belah limau dan/atau lemon, perahkan jus ke dalam air dan di atas kulit ikan.
- Sapukan garam dan pes asam jawa pada bahagian kulit dan rongga dalaman ikan.
- Biarkan ikan terendam selama 2 hingga 3 minit. Kemudian cuci dengan teliti sebanyak 2 atau 3 kali.
- Teknik mencuci ikan ini sangat berguna khususnya bila menggunakan ikan beku atau untuk ikan yang kurang ‘segar’. Apabila menggunakan ikan beku, jangan lupa untuk menyahbekukan ikan dahulu sebelum merendam ikan. Anda juga boleh menggunakan kaedah yang sama untuk mencuci ikan yang digunakan dalam resepi lain.
Menumis bahan aromatik
- Sediakan bahan-bahan aromatik.
- Kisar semua bahan aromatik sehingga halus. Jika perlu, tambah sedikit air untuk melancarkan proses kisar. Ketepikan.
- Dalam periuk, panaskan minyak masak di atas suhu api besar.
- Apabila minyak sudah cukup panas, titik serai dengan pisau atau pemukul dan masukkan ke dalam periuk.
- Selepas 20 hingga 30 saat, masukkan bahan dikisar dan kacau hingga sebati. Kacau bahan di dalam periuk sesekali dan masak selama 7 hingga 8 minit.
- Masukkan pes cili boh, kacau dan masak selama 10 minit. Kacau sesekali. Jangan lupa kikis bahagian tepi dan bawah periuk untuk pastikan pes masak dengan sekata.
Menyediakan ikan asam
- Masukkan ketulan nenas, 2 biji tomato yang dipotong dan separuh belimbing yang dibelah. Kacau sepenuhnya. Selepas 1 minit, masukkan 0.3g (1/8 sudu teh) garam, jumlah lada hitam yang sama, dan kacau hingga sebati.
- Masak selama 10 hingga 12 minit atau sehingga tomato, nenas dan belimbing lembut serta terlerai.
- Campur pes asam jawa dengan air dan picit dengan jari untuk memerah asam. Masukkan campuran asam jawa ke dalam periuk menggunakan penapis, dan perah air asam jawa daripada pulpa. Kacau hingga sebati selama 2 minit. Langkah ini memberi keasaman dalam hidangan ikan asam ini.
- Seterusnya, masukkan daun kesum, halia, daun limau purut dan baki belimbing. Kacau.
- Kemudian, masukkan 31g gula Melaka parut, baki lada hitam dan 24g garam. Kacau hingga sebati dan masak selama 5 minit atau sehingga kuah mendidih. Jika anda mendapati terdapat banyak minyak di permukaan kuah, keluarkan sedikit.
- Masukkan baki tomato dan nenas. Kacau kuah.
- Seterusnya, masukkan baki garam dan gula Melaka. Biar kuah masak selama 5 minit.
- Masukkan potongan ikan, termasuk kepala. Kacau hingga sebati dan tutup periuk selama 5 minit untuk ikan masak.
- Buka penutup dan masukkan terung. Jangan kacau kali ini. Tutup periuk sekali lagi dan biar hidangan masak selama 5 minit lagi.
- Akhir sekali masukkan bendi. Sekali lagi tanpa mengacau, tutup periuk dan biar kuah masak selama 8 minit.
- Buka penutup, kacau kuah dan tutup periuk sekali lagi. Padamkan api dan biar kuah rehat selama 3 hingga 5 minit sebelum dihidang.
Tip tambahan
- Daripada menunggu nenas, tomato dan belimbing terlerai, cepatkan proses anda dengan mengisar ketiga-tiga bahan sebelum dimasukkan ke dalam periuk. Jangan kisar tertalu halus. Biarkan kisaran sedikit berketul. Anda juga boleh lecekkan semasa ia dimasak dalam periuk.
- Kemanisan nenas boleh mempengaruhi perisa akhir hidangan ini. Lebih manis nenas, lebih manis kuah ikan asam anda!
Jadi, apakah hasil ikan asam anda? Adakah anda menyediakan hidangan yang besar untuk keluarga anda atau masak sedikit sahaja? Beritahulah pendapat anda tentang resepi ini dengan meletakkan hashtag #butterkicap!
Artikel Lain: