Sang har mee, atau sang har mein, merupakan hidangan kegemaran dalam kalangan pencinta makanan laut. Bayangkanlah susunan udang besar di atas mee goreng yang rangup dan dilimpah sos bertelur. Memang menyelerakan dan mewah bukan? Hidangan ini, sejujurnya, bukanlah satu hidangan yang murah. Hal ini demikian kerana udang air tawar (sang har) yang digunakan tidak mudah didapati di kebanyakan pasar raya atau pasar basah.
Jadi, kenapakah kami mahu berkongsi resepi yang menggunakan bahan-bahan yang sukar untuk didapati? Terdapat beberapa sebab. Pertama, anda boleh dapatkan udang-udang ini di Sabah atau Perak. Anda perlu mengembara sedikit tetapi memang berbaloi. Sebab yang kedua adalah walaupun sang har mee lazimnya disediakan di restoran makanan laut, tapi hidangan tersebut tidak semestinya halal.
Dengan cara ini anda boleh menikmati sang har mee tanpa sebarang keraguan. Akhir sekali, kami tahu betapa mahalnya harga yang dikenakan di restoran-restoran bagi hidangan ini. Oleh itu, perkongsian resepi ini pasti dapat menjimatkan duit dalam poket anda kerana selain daripada udang air tawar, bahan-bahan lain dapati ditemui dengan mudah pada harga yang berpatutan. Anda mungkin sudah ada bahan-bahan tersebut dalam pantri anda.
Kebanyakan hidangan sang har mee dihidangkan dengan mee yang dilimpahi kuah bertelur yang sangat pekat dan menyelerakan. Namun begitu, terdapat juga beberapa restoran yang menyediakan versi hidangan ini yang lebih kering. Resepi yang kami akan berkongsi dengan anda mempunyai sos yang cukup sedap tetapi tidak terlalu banyak sehingga mee anda menjadi kembang.
Lim Soo Keat sediakan resepi ini di rumahnya dan cukup berbesar hati untuk berkongsi resepi dan sediakannya untuk kami! Kami tidak dapat percaya betapa mudahnya hidangan ini dapat disediakan. Anda juga pasti akan terkejut.
Bahan-bahan
- 800g sang har (udang air tawar atau udang galah, kira-kira 8 ekor udang besar)
- 400g yee mein (mee goreng)
- 14g bawang putih, dibuang kulit
- 16g minyak bijan
- 14g kiub stok ayam bebas msg
- 2.25 liter air panas
- 3g tepung jagung
- 100ml air
- 2 biji telur
- 1g serbuk lada hitam
Untuk hiasan
- 2-3 daun selada
Saiz hidangan: 6 orang
Persediaan
- Larutkan kiub stok ayam dalam air panas.
- Bilas udang selama beberapa saat di bawah air paip.
- Potong bahagian hujung kepala udang di belakang mata. Buang juga kaki dan sepit serta sengat. Jangan buang seluruh kepala udang atau membuang kulit udang sepenuhnya.
- Tiarapkan udang dan gunakan pisau yang tajam untuk memotong dari bahagian atas kulit di kepala hingga ke ekor. Sementara itu, potong bahagian isi di tengah untuk mengeluarkan usus.
- Cincang bawang putih.
- Cuci daun selada dan potong dadu. Jika anda mahu lebih banyak sayuran hijau, anda boleh gunakan satu daun selada untuk setiap pinggan tetapi buang bahagian yang melengkung ke tangkai agar dapat diletakkan rata.
Memasak sang har mee
- Sediakan dua kuali atau periuk besar. Periuk atau kuali yang digunakan untuk memasak udang memerlukan penutup.
- Panaskan satu kuali pada suhu rendah. Masukkan minyak bijan dan bawang putih cincang. Anda tidak perlu tunggu hingga kuali panas.
- Apabila minyak dan bawang putih mula berdesir, tumis selama 20 hingga 30 saat hingga wangi.
- Sebelum bawang putih memerang, masukkan udang di dalam kuali. Tidak perlu disusun cantik tetapi pastikan udang diletakkan secara sekata.
- Selepas 1 minit dan kulit udang bertukar menjadi merah jambu, terbalikkan udang untuk masak bahagian satu lagi.
- Selepas seminit lagi, masukkan 100ml stok ayam yang telah dilarutkan. Tutup kuali dan biar mendidih selama 1 minit.
- Alihkan udang sekali lagi untuk pastikan udang masak dengan sekata. Tutup dan biar udang masak selama 1 minit lagi.
- Buka penutup dan masukkan 950ml stok ayam. Biar sehingga menggelegak. Alihkan udang apabila kuah menggelegak.
- Padamkan api.
- Letakkan kuali atau periuk kedua di atas api besar dan dengan hati-hati, pindahkan separuh kuah yang digunakan untuk memasak udang ke dalam periuk. Untuk lebih selamat, gunakan senduk!
- Tutupkan periuk berisi udang dan baki kuah.
- Masukkan yee mein dan baki stok ayam ke dalam periuk kedua. Kacau mee perlahan-lahan sehingga lembut.
- Padamkan api dan letakkan daun selada di atas pinggan hidangan. Bahagikan mee dengan sama rata dan letakkan di atas pinggan.
Menyediakan kuah
- Pindahkan udang ke atas pinggan atau mangkuk.
- Campur tepung jagung dengan 100ml air.
- Masukkan telur ke dalam mangkuk dan pukul perlahan-lahan.
- Hidupkan semula api untuk kuali pertama (dengan baki kuah yang sedia ada) di atas api tinggi dan biar mendidih.
- Masukkan tepung jagung dan kacau rata.
- Padamkan api dan masukkan telur yang dipukul. Gunakan garfu untuk “hancurkan” telur ke dalam sos sehingga pekat dan mendapat jaluran telur selama 30 saat.
- Tuang kuah ke atas mee menggunakan senduk. Letakkan satu udang yang sudah dimasak dan tabur sedikit lada hitam di atas kuah.
- Hidang sementara masih panas. Namun begitu, sebelum makan, asingkan kepala udang dan gunakan sudu kecil untuk keluarkan hepatopankreas (isi berwarna jingga di dalam kepala udang yang juga dikenali sebagai tomalley dalam udang lobster) dan campur dengan kuah. Kacau mee untuk sebatikan kuah dan juga hepatopankreas. Selepas itu, silalah menjamu selera!
Tip tambahan
- Hidangan ini dihidangkan secara berindividu, jadi sediakan pinggan anda.
- Anggarkan sekurang-kurangnya seekor udang untuk setiap seorang tetapi udang lebih sentiasa dialu-alukan.
- Sang har terbaik ialah udang air tawar liar dari Sungai Danum di Sabah. Kepala udang tersebut mengandungi banyak hepatopankreas yang menjadikan hidangan tersebut lebih menyelerakan. Secara alternatif, anda dapat menjumpai variasi udang yang sama di pasar makanan laut di Ipoh. Jika anda mengalami kesukaran untuk mengenal pasti sang har, cari udang air tawar berkepala besar yang berisi dengan hepatopankreas.
- Hepatopankreas bukan telur udang. Inilah satu kesilapan kebanyakan restoran dan resepi masakan Asia yang selalu mengatakan bahawa isi dalaman di kepala udang (yang cukup, cukup menyelerakan!) ialah telur udang. Sebaliknya, hepatopankreas adalah hampir sama dengan tomalley dalam udang galah (lobster). Kedua-dua udang betina dan jantan mempunyai hepatopankreas dan isi dalaman itu semestinya tidak akan berubah menjadi anak udang.
- Anda juga boleh menggunakan stok ayam anda sendiri atau yang dikotakkan. Walau bagaimanapun, perisa tersebut mungkin berbeza. Jika stok anda tidak mempunyai garam, tambahkah 12g kicap pada langkah 23 untuk berikan rasa masin yang mencukupi. Walau bagaimanapun, tambah sedikit demi sedikit untuk pastikan sos anda tidak terlalu masin.
- Untuk panduan mengupas udang, lihatlah tip kami dalam artikel Jom Belajar Menjadi Pakar Mengupas Udang!
- Sang har mee adalah sajian satu hidangan. Anda tidak perlu hidangkan dengan sajian lain!
Bagaimana dengan sang har mee anda? Sedap? Jika anda sukakan resepi ini, ikuti akaun instagram Keat di @zhukong dan ucapkan terima kasih kepadanya!
Artikel lain:
Udang Telur Putih Kukus Gaya Butterkicap
Daging Cincang – Resepi Versatil dan Sesuai untuk Kanak-Kanak