Site icon Butterkicap

25 Nama Makanan Pelik dan Kelakar yang Pasti Buat Anda Baca Lagi

Makanan pelik tidak asing lagi di Malaysia. Mana tidaknya kalau penduduk di Malaysia pun gila-gila orangnya.

Kredit: bananaleaf-vancouver.com

 

1. Tahi Itik

Kredit: rainstormz

Kuih Pantai Timur ini bukanlah diperbuat daripada tahi itik.  Kuih ini diperbuat daripada putih telur yang disira panas dalam air gula. Kuih ini jarang sekali dijumpai kerana hanya dibuat apabila kuih jala emas dibuat. Kuih ini diberi nama peliknya kerana tekstur dan warna kuih yang putih dan bertepek-tepek seperti tahi itik. Kalau betullah kuih ini diperbuat tahi itik, takkanlah rasa dia manis?

 

2. Lompat Tikam

Kredit: Masam Manis

Makanan kedua ini juga merupakan sejenis lagi kuih yang popular di Pantai Timur seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan. Kuih ini mendapat namanya yang agak pelik kerana lemak santan (bahagian warna putih) dan tepung beras (bahagian warna hijau) disusun berselang seli. Kalau betul kuih ini boleh lompat dan tikam orang, tak mungkinlah orang nak makan…

 

3. Badak Berendam

Kredit: deliah’s deli

Di negeri-negeri Pantai Timur, penduduknya memang sangat kreatif, bukan? Kuih seterusnya yang mempunyai nama pelik ialah kuih Badak Berendam. Kuih ini melibatkan gumpalan tepung beras yang digentel bulat-bulat berisi inti kelapa digaul bersama nisan dan diletakkan dalam rendaman kuah santan. Kegemukan kuih yang terapung dalam kuah tersebut yang seakan-akan badak memberi nama kuih ini. Trivia tambahan: Kalau makan kuih ini banyak-banyak pun boleh jadi macam badak jugak.

 

4. Puteri Mandi

Kredit: ikomitnm5

Kuih Puteri Mandi ini juga kuih ciptaan penduduk di Pantai Timur. Makanan pelik ini diberi nama menarik dan penuh kontroversi ini kerana warna kuih yang berwarna-warni dan terendam dalam kuah santan (Orang pantai timur memang sukakan kuah santan, ya) Puteri kan cantik, jadi sebab itulah nama kuih cantik ini seindah puteri.

 

5. Roti Jantan

Kredit: azzyati liah

Kalau anda nak rasa terlebih maskulin dan gagah perkasa, makanlah roti jantan ini. Roti ini diperbuat dengan dua biji telur dan bukannya satu seperti roti-roti yang lain. Jadi, apabila ada dua telur itu, maka lebih jantanlah anda kerana roti ini memberi bayangan pada telur lain yang ada pada diri anda. (Tak nak lucah tetapi terpaksa…)

 

6. Nasi Lemak Tetek

Kredit: timeout.com

Nama pelik seterusnya sama seperti roti jantan yang menggunakan sifat-sifat fizikal lelaki dan wanita untuk menerangkan sesuatu hidangan itu. Di kawasan kampung, nasi lemak dikenali sebagai nasi lemak tetek kerana bentuk nasi lemak yang dilipat segi tiga atau bulat dengan daun pisang kelihatan seperti….faham-fahamlah.

 

7. Buah Kote Mamak

Kredit: JR

Pernah tak anda lalu di bawah sebatang pokok dan melihat benda panjang-panjang yang kelihatan seperti petai berwarna hitam bersepah di bawah pokok? Kalau siapa yang dapat meneka, pasti dah mula gelak berdekah-dekah (Sila mendewasa). Bagi yang tak tahu. Buah yang macam petai tapi hitam, tebal dan panjang itu adalah sejenis kekacang yang memberi banyak manfaat kesihatan seperti mengubati darah tinggi dan diabetes. Malangnya, nama yang diberi langsung tidak melambangkan kelebihan buah tersebut.

 

8. Nasi Tumpang

Kredit: Pinterest

Nasi pun boleh tumpang? Boleh… Nasi tumpang ini ialah nasi yang menyusun kuah dan lauk yang dimakan secara bertingkat-tingkat. Nasi ini ialah hidangan nasi yang lazim ditemui di Kelantan. Memang sedap dan mungkin punca inspirasi bagi perkhidmatan Grab dan Uber…Mana nak tahu! Tauke dia datang makan, terus dapat idea.

 

9. Roti Telur Goyang

Kredit: Food For My Belly

Saya memang tak berniat untuk menjadi lucah tetapi hakikatnya, rakyat Malaysia suka lawak makna banyak ini. Roti telur goyang tidak membawa erti yang sama seperti roti jantan. Sebaliknya, telur dua biji yang diletak atas roti bakar dan bergoyang-goyang apabila digerak mengaktifkan imaginasi rakyat Malaysia yang suci untuk membayangkan telur lain pula yang bergoyang.

 

10. Otak-Otak

Kredit; Mary Memasak

Adakah otak-otak bermakna kita makan otak? (Telan muntah balik) Otak-otak merupakan sejenis hidangan yang melibatkan isi ikan yang dilenyek-lenyekkan dan digaul dengan kelapa parut lalu dipanggang atas api. Warna hidangan yang merah keputihan ini membuatkan seseorang yang sedang makan akan terbayangkan otak, tak kisahlah otak manusia, otak kambing mahupun otak udang sekalipun. Tapi, manusia normal mana yang akan terbayangkan otak semasa makan?

 

11. Sup Torpedo

Kredit: Qahina

Sekali dengar, macam makanan yang diinspirasi daripada filem omputih, Twister tentang puting beliung, bukan? Anda salah! Sup torpedo ini sebenarnya, diperbuat daripada….sila sediakan baldi di tepi ya, alat sulit lembu jantan. Ya, ALAT SULIT lembu JANTAN. Sedap memang sedap, tapi masih lalu lagikah mahu makan?

 

12. Chee Cheong Fun

Kredit: TheHive.Asia

Chee Cheong Fun atau dalam bahasa Melayunya, usus khinzir membuatkan semua orang Islam naik bulu roma kerana wujudnya perkataan ‘khinzir’ dalam makanan tersebut. Makanan ini tidak menggunakan usus khinzir yang betul. Sebaliknya, kulit putih di atas itu diperbuat daripada tepung beras. Jadi, tiada isu halal atau haram di sini dari segi rasa dan makanan (beli daripada kedai Cina Muslim) kecuali pada namanya yang mungkin menimbulkan keraguan.

 

13. Gerodok Telur

Kredit: citarasawan

Gerodok telur. Kalau anda tengok kuih tersebut di gambar di atas, golongan yang mempunyai fobia dengan lubang-lubang kecil (Trypophobia) akan mula berasa mual dan pening. Kuih ini mungkin sehodoh Beast dan Beauty and the Beast, tapi rasanya, cukup sedap dan berlemak. Ingat, kecantikan bukannya berasal daripada luaran ya.

 

14. Roti Tsunami

Kredit: Wan/This is Kuala Lumpur

Tiada rahsia lagi atau penerangan yang lebih perlu diberi. Roti tsunami ialah roti canai yang dibanjiri kuah dan entah kenapa, diletakkan dua biji telur di atasnya. Tsunami muncul apabila kuning telur separa masak keluar dan merecik ke arah roti yang dibanjiri kuah. Ini mungkin satu-satunya tsunami yang orang ramai tak kisah kalau dapat.

 

15. Tahi Minyak

Kredit; citarasawan

Tahi minyak. Nama makanan yang bukan sekadar pelik malah agak menjelikkan kerana kalau kita bayangkan tahi minyak, pastinya batu-batu berlendir berwarna hitam. Tapi, dalam masakan, tahi minyak merujuk pada sisa pati santan yang terhasil dari proses pembuatan minyak kelapa dari santan. Jadi, jangan risau kalau anda dihidangkan dengan kuih tahi minyak. Tiada batu yang menanti untuk retakkan gigi anda.

 

16. Teh Dangdut

Kredit: intai dapur

Makanan pelik seterusnya pasti membuatkan anda mula goyang gerudi ala Inul Daratista. Mana tidaknya, sekali anda hirup teh dangdut ini, dengan kepala anda sekali turut bergoyang sebab sedap sangat. Teh ini mendapat nama kontroversinya kerana teh ini terdiri daripada tiga lapisan teh yang berbeza iaitu lapisan susu pekat, susu cair dan teh yang akan tergedik-gedik apabila digoncang.

 

17. Ayam Pongteh

Kredit: Pinterest

Makanan pelik ini tak begitu pelik tetapi membuatkan anda tertanya-tanya dari mana asalnya nama hidangan ini. Ayam Pongteh merupakan hidangan Baba Nyonya. Keistimewaan hidangan ini ialah ia dimasak dalam periuk tanah liat.

 

18. Umai 

Kredit: The Kambatik Park, Bintulu

Umai atau Umei ialah hidangan tradisional kaum Melanau di Sarawak yang melibatkan hirisan ikan mentah yang diawet dengan campuran bawang, cili, garam dan perahan air limau. Kenapa nama umai diberi? Itu adalah satu misteri yang hanya kaum Melanau sahaja boleh merungkai…

 

19. Hinava

Kredit: A Pepper’s Love

Kalau di Sarawak kita ada Umai, di Sabah pula kita ada Hinava pula!  Seperti Umai, Hinava merupakan hidangan tradisional masyarakat di Sabah terutamanya bagi kaum Kadazan-Dusun. Nama glamor betul!

 

20. Nasi Royale

Kredit: Bangsar Babe

Dengar nama nasi ini, pasti anda ingat hanya golongan bangsawan, kerabat diraja dan raja-raja serta sultan-sultan yang makan hidangan ini. Sebenarnya tidak! Kalau datang ke utara Semenanjung, akan akan berjumpa nasi kandar/ nasi lemak yang diberi nama Royale kerana kuah tersebut pekat dan cukup kaya dengan rempah. Memang rasa kelas sangat makan di sini.

 

21. Batang Buruk

Kredit: cubejunction.com

Nama kuih ini mempunyai konotasi yang agak negatif dalam kalangan kaum Adam (pergilah tanya kenapa). Memang kuih ini buruk dan kelihatan cukup tak menyelerakan tetapi janganlah sesuka hati menghukum kuih tak berdosa ini atas rupanya yang buruk. Tutup mata dan makan baru tahu betapa nikmatnya, rasa dia.

 

22. Cucur Kodok (atau Cokodok)

Kredit: Nyonya Cooking

Bagi golongan yang tinggal di bahagian Utara Semenanjung, anda pasti mengenali kuih jemput-jemput pisang sebagai cokodok ataupun cucur kodok. Kenapa? Sebab kulit jemput-jemput pisang yang berbonjol-bonjol kelihatan sama seperti bonjol-bonjol pada kulit kodok. Memang jijik tapi sedaaappp.

 

23. Sarang Semut

Kredit: pasarkuih.com

Kuih sarang semut diberi nama kerana rupanya yang kelihatan seperti busut semut. Mungkin sebab itulah kalau tak disimpan dengan baik, semut pun hurung sebab ingat rumah dia.

 

24. Cek Mek Molek

Kredit: Sally Samsaiman

Cek mek molek atau lebih dikenali sebagai cek mek adalah sejenis kuih tradisional yang amat popular di Pantai Timur. Makanan pelik ini mendapat namanya kerana bentuknya yang bujur dan licin. Dan kecantikan kuih ini cukup moleklah. Kalau menyanyi lagu Datuk M. Daud Kilau, “Senyumlah Cek Mek Molek”, bolehlah makan kuih ini.

 

25. Serabai

Kredit: Resepi Dapur Malaysia

Bagi penduduk Pulau Pinang, khususnya yang tinggal di Taman Tun Sardon (Orang kampung, kata hi!) pasti akan kenal kuih ini. Setiap hujung minggu, astaka Taman Tun Sardon akan sesak sebab kuih ini juga. Kuih ini dipanggil sebagai serabai kerana persembahan kuih ini memang sangat, serabai (bersepah, tak cantik). Tak percaya, turunlah Pulau Pinang.

 

Itulah 25 senarai makanan pelik lagi kelakar lagi entah apa-apa yang menunjukkan kreativiti rakyat Malaysia yang sukakan humor dan lawak hambar yang pasti membuat anda tersenyum kecil di kala waktu petang yang panas ini. Kongsilah nama-nama makanan pelik lagi ganjil yang anda tahu dengan Butterkicap!

 


Artikel Lain:

8 Makanan yang Pasti Cairkan Pensyarah Anda

10 Pickup-Line “Tangkap Cintan”- Bila Kaki Makan Jatuh Cinta

Tip Perkenal Bakal Menantu Ibu Bapa Anda Raya Ini

print