Bila bercakap tentang masakan daging ala barat, mesti kita teringat akan daging steak yang dimasak rare ataupun daging barbecue yang dipanggang lebih 6 jam. Bagaimana pula jika kita mengidamkan hidangan masakan daging ala barat ini di rumah?
Kebanyakan resipi daging barat mempunyai banyak bahan-bahan yang tidak halal. Jadi, apakah yang sesuai disediakan di rumah?
Ubah Selera Hari Raya Haji
Sempena Hari Raya Haji yang bakal menjelang, apa kata anda berikan kelainan kepada tetamu yang bertandang dengan 5 resepi masakan daging ala barat yang kami senaraikan khas untuk anda.
Jangan risau, kesemua resepi ini cukup mudah untuk disediakan dan yang paling penting, halal!
1. Beef Stroganoff
Beef stroganoff- namanya begitu mewah sekali. Hidangan ini merupakan sejenis stew yang berasal dari Rusia. Walaupun nampak gaya macam rumit, tetapi hidangan ini tidak mengambil masa yang lama untuk disediakan. Bahan-bahan yang diperlukan juga agak sedikit dan mudah untuk didapati di mana-mana pasar raya. Penambahan krim masam memberikan kelainan kepada hidangan ini. Agak pelik pada mulanya tetapi anda pasti akan jatuh cinta. Rasanya penuh dengan rasa savori dan herba ditambah pula dengan rasa berlemak dari krim masam, rugi jika anda tidak cuba!
Bahan-Bahan
- 2 sudu besar minyak zaitun
- 2 sudu besar mentega
- 500g daging batang pinang, dipotong
- 1 bawang kuning, dipotong dadu
- 200g cendawan butang, dihiris
- 1/4 cawan stok daging
- 1 cawan krim masam
- 3 tangkai daun taim
- Garam secukup rasa
- Lada hitam secukup rasa
- 2 jambak daun pasli, dihiris nipis
Cara-Cara
Daging
- Di dalam panci, panaskan satu sudu besar minyak zaitun. Setelah minyak sudah cukup panas, masukkan satu sudu besar mentega.
- Apabila kuali sudah mencukupi panas, masukkan daging. Biarkan masak sehingga isi daging sudah tidak berwarna merah jambu. Elakkan dari memenuhkan kuali dengan daging kerana daging tidak akan bertukar menjadi warna keperangan. Elakkan juga dari meletakkan garam pada daging kerana akan mengeluarkan air daging dan menghalang daging menjadi perang.
- Setelah daging sudah masak, pindahkan ke dalam pinggan dan biarkan daging anda rehat.
Kuah Stroganoff
- Menggunakan panci yang sama, panaskan satu sudu besar minyak zaitun dan satu sudu besar mentega.
- Apabila kuali sudah mencukupi panas, masukkan bawang kuning dan cendawan butang.
- Tambahkan garam untuk mengeluarkan air dari cendawan.
- Selepas itu, masukkan daun taim.
- Masakkan sehingga cendawan menjadi layu dan bawang sudah menjadi lutsinar dan mengeluarkan aroma.
- Setelah cendawan sudah dimasak, masukkan stok daging. Berikan sedikit gaul dan biarkan mereneh selama 30 saat.
- Seterusnya, masukkan kembali daging ke dalam panci dan gaul sehingga mesra.
- Apabila semua bahan-bahan sudah mesra, tutupkan api.
- Masukkan krim masam setelah api ditutup untuk mengelakkan krim masam tersebut mendadih.
- Gaulkan krim masam ke dalam masakan anda sehingga anda mendapat kuah yang berlemak dan berkrim.
- Rasakan masakan anda dan tambahkan garam dan lada hitam mengikut citarasa anda.
- Pindahkan stroganoff daging anda ke dalam bekas hidangan dan taburkan daun pasli untuk hiasan.
Tips tambahan
- Jika terdesak, daging batang pinang boleh digantikan dengan daging cincang. Cara masakan yang sama tetapi kurangkan masa memasak. Daging cincang tidak memerlukan masa memasak yang lama.
Hidangan ini sesuai dimakan bersama pasta yang lebar seperti fettucine, linguine ataupun tagliatelle mengikut citarasa anda. Tetapi jika anda mahu lagi sedap, nikmatilah hidangan ini dengan nasi bersama kuah stroganoff daging ekstra kerana kemana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?
2. Beef Bourguignon
Hidangan klasik Perancis ini selalunya tidak halal kerana mengandungi wain dan bakon. Namun begitu, kami sudah mengubah resipi ini untuk kesesuaian anda semua. Jika anda teringin mencuba resipi ini, inilah peluang anda!
Namanya beef bourguignon bermakna daging burgundy yang merujuk kepada wain merah yang digunakan di dalam hidangan ini. Walau bagaimanapun, di dalam resipi ini, wain merah digantikan dengan cuka balsamik yang mempunyai komponen rasa yang sama seperti wain, tetapi tanpa alkohol. Asid cuka bergabung dengan masa masakan yang lama membuatkan daging menjadi sangat lembut!
Bahan-Bahan
- 3 sudu besar minyak zaitun
- 1kg daging tanpa lemak, dipotong dadu
- 1 bawang kuning saiz besar, dihiris
- 2 sudu besar tepung
- 1/4 cawan cuka balsamik
- 3 cawan stok daging
- 1 sudu besar pes tomato
- 2 ulas bawang putih, dipotong
- 1/2 sudu teh daun taim kering
- 1 daun bay
- 6 biji bawang merah (pearl onions)
- 5 lobak merah besar
- 1 sudu besar puri tomato
- 3 ½ sudu besar mentega
- 1 jambak herba (beberapa tangkai pasli, satu daun bay, beberapa tangkai daun taim segar diikat dalam kain keju)
- 250g cendawan kecil, dipotong empat
- Garam dan lada hitam secukup rasa
Cara-Cara
- Bersih dan potongkan daging. Letakkan daging, bawang putih, daun bay, garam, lada hitam, cuka balsamik dan daun thyme kering ke dalam mangkuk untuk diperap selama sekurang-kurangnya 6 jam semalaman. Anda boleh menyediakan langkah ini malam sebelumnya.
- Selesai diperap, keluarkan daging dari perapan dan lapkan daging sehingga kering menggunakan tuala dapur. Simpankan campuran perapan untuk dimasak.
- Di dalam panci, panaskan minyak zaitun. Masakkan daging sehingga menjadi perang. Taburkan garam di atas daging yang sedang dimasak. Setelah dimasak, pindahkan daging dan biarkan rehat.
- Tumiskan bawang kuning dan bawang putih di dalam periuk besar sehingga lutsinar, lebih kurang 2 minit. Tambahkan juga garam untuk menambah rasa. Tambah juga minyak jika perlu. Masukkan juga lobak untuk dimasak dan diberikan sedikit warna.
- Kikiskan dasar periuk menggunakan senduk kayu leper untuk mendapatkan ketulan daging yang perang.
- Gaulkan daging yang dimasak ke dalam tepung dan masukkan kembali ke dalam periuk.
- Masukkan campuran perapan, stok daging, pearl onions, puri tomato, pes tomato, garam, lada hitam dan jambak herba. Gaul sehingga mesra.
- Tutupkan periuk dengan penutup dan biarkan mereneh selama 60-90 minit sehingga daging menjadi lembut sepenuhnya, dan cecair sudah tersejat. Keluarkan jambak herba dan angkatkan pearl onions.
- Kautkan lebihan lemak di atas kuah. Masukkan kembali pearl onions dan cendawan. Renehkan kuah selama 5-10 minit dan kautkan lebihan lemak. Anda sepatutnya mendapat 2 ½ cawan kuah yang cukup pekat untuk menyalut belakang sudu anda. Jika masih cair, didihkan pada api yang besar. Jika terlalu pekat, tambahkan beberapa sudu besar stok daging. Rasakan kuah anda untuk menambah garam atau lada hitam dengan secukupnya.
- Akhir sekali, tambahkan mentega ke dalam sos dan gaul sehingga cair. Mentega akan membuatkan kuah anda tampak berkilat dan rasa yang kaya.
Sesuai untuk disediakan jika anda mempunyai jadual yang penuh kerana hidangan ini boleh disediakan beberapa hari sebelum dan boleh bertahan di dalam peti sejuk selama 3 hari! Apa anda tunggu lagi? Selamat mencuba resipi daging bourguignon halal!
3. Chilli Corn Carne
Siapa sahaja yang tidak suka chili con carne? Enak dimakan begitu sahaja ataupun bersama nasi. Hidangan yang menpunyai pengaruh Mexico dan Texas, Amerika Syarikat ini memang makanan selesa yang terbaik. Cara masakannya pula sangat senang, seperti memasak kuah spageti cuma menambah beberapa jenis kekacang yang membuatkan hidangan ini mengenyangkan dan juga menyihatkan!
Bahan-Bahan
- 1 sudu besar minyak masak
- 1 bawang kuning saiz besar, dipotong dadu
- 1 lada benggala merah, dipotong dadu
- 2 ulas bawang putih, dipotong
- 1 sudu besar serbuk cili
- 1 sudu teh serbuk paprika
- 1 sudu teh serbuk jintan putih
- 500g daging cincang (seeloknya tanpa lemak)
- 1 cawan stok daging
- 400g ketulan tomato dalam tin
- 1/2 sudu teh daun marjoram kering
- 1 sudu teh gula
- 2 sudu besar puri tomato
- 410g kacang ginjal dalam tin
- Nasi untuk dihidang
- 2 sudu besar krim masam
- 1/4 cawan keju Cheddar parut
Cara-Cara
- Di dalam periuk, panaskan minyak masak pada api yang sederhana.
- Setelah panas, masukkan bawang kuning dan masak, kacau untuk mengelakkan bawang menjadi hangit. Masakkan selama 5 minit atau sehingga bawang bertukar menjadi lutsinar.
- Tumiskan bawang putih, lada benggala merah, serbuk cili, paprika dan cumin. Kacaukan masakan dan biarkan masak selama 5 minit, hanya gaul sekali sekala.
- Masukkan daging cincang dan besarkan api sedikit. Pecahkan ketulan daging cincang menggunakan senduk anda. Gaul sehingga saiz daging cincang sudah menjadi sama dan tiada ketulan besar dan hilang warna merah jambu daging mentah. Pastikan api anda cukup panas untuk daging dimasak dan bukan untuk membuat stew sahaja.
- Tambahkan 1 cawan stok sayur dan ½ cawan air. Masukkan ketulan tomato dalam tin,
- Seterusnya, taburkan marjoran kering dan gula. Masukkan juga garam dan lada hitam.
- Tambahkan puri tomato dan kacau sehingga sebati.
- Perlahankan api dan tutupkan periuk anda. Biarkan masakan anda mereneh selama 20 minit. Kacau sekali sekala untuk memastikan chili con carne anda tidak kekeringan kuah. Jika kering, tambahkan beberapa sudu besar air.
- Masukkan kacang ginjal (kidney beans) ke dalam periuk. Didihkan lagi masakan anda tanpa penutup periuk selama 10 minit. Tambahkan air jika kering.
- Rasakan chili con carne anda dan tambahkan garam dan lada hitam secukup rasa.
- Akhir sekali, tutupkan api dan letakkan penutup periuk. Biarkan chili anda berehat untuk 10 minit supaya bahan-bahan menjadi mesra.
- Hidangkan bersama krim masam dan nasi. Taburkan juga keju cheddar dan daun ketumbar sebagai hiasan!
Jika anda mahu menjadikan hidangan ini sedikit istimewa, hidangkan bersama guacamole! Rasa guacamole yang berlemak dan menyegarkan amat sesuai sekali dengan hidangan ini! Anda juga boleh mengubah resipi mengikut citarasa anda. Jika anda lebih menggemari ayam berbanding dengan daging, jemput mencuba! Tidak suka akan kacang gincal? Tukarkan dengan jagung! Selamat mencuba!
3. Beef Wellington
Daging Wellington merupakan makanan yang mewah di negara barat seperti England kerana bahan-bahan yang digunakan memang mahal seperti pâté de foie gras dan filet daging. Walau bagaimanapun, resipi ini sudah diubahsuaikan supaya sesuai untuk semua yang ingin mencubanya. Kebanyakan resipi daging Wellington juga tidak halal kerana terdapat daging ham. Jangan risau untuk mencuba resipi daging ini kerana semuanya dijamin halal dan mudah!
Bahan-Bahan
- 2 daging batang pinang
- 1 doh pastri paf, suhu bilik
- 200g cendawan chestnut
- 2 sudu besar kicap pekat
- 1 ½ sudu besar mentega
- 3 tangkai daun taim, batang dibuang dan daun dipotong
- Minyak zaitun
- Garam dan lada hitam secukup rasa
Cara-Cara
Memasak daging
- Lapkan daging sehingga kering dan taburkan garam dan lada hitam pada kedua-dua belah daging.
- Panaskan kuali tidak melekat pada api yang sederhana dan masukkan minyak zaitun.
- Masukkan daging ke dalam kuali yang panas dan masak sehingga bertukar menjadi warna perang selama 2-3 minit untuk setiap belah.
- Setelah masak, angkat daging dan pindahkan ke dalam pinggan untuk dibiarkan rehat.
- Menggunakan kuali yang sama, masukkan minyak zaitun ke dalam kuali yang dipanaskan pada api yang sederhana.
- Masukkan cendawan dan biarkan masak selama 4-6 minit , hanya menggaul sekali sekala supaya menjadi perang.
- Tambahkan lada hitam dan garam secukupnya.
Menyediakan pastri puff
- Dengan menggunakan belakang pisau, lukiskan garisan diagonal pada pastri puff yang berbentuk petak, ½” luas. Lukiskan lagi garisan mengikut arah bertentangan untuk membentukkan bentung silang yang menetas.
- Separuhkan pastri puff dan masukkan ke dalam peti sejuk sekali lagi.
Memanggang daging
- Letakkan daging ke atas dulang pembakar. Letakkan ¾ jumlah cendawan yang dimasak ke atas daging. Tinggalkan lebihan cendawan untuk sos.
- Balutkan daging dan cendawan dengan pastri puff. Jangan takut untuk menarik pastri puff untuk membalut bahagian bawah daging sepenuhnya.
- Letakkan daging dan pastri puff ke dalam ketuhar di rak atas dan panggang sehingga pastri puff menjadi perang keemasan dan daging tampak berwarna coklat. Proses ini selalunya mengambil masa selama 10-12 minit. Keluarkan dari ketuhar dan biarkan rehat selamat 2 minit. Apabila daging sedang berehat, siapkan sos.
Menyediakan sos
- Di dalam kuali, masukkan baki cendawan yang telah dimasak.
- Tambahkan kicap pekat dan sedikit air. Masak pada api yang besar dan didihkan sehingga sos menjadi pekat. Apabila sos menjadi, jumlahnya akan berkurang kepada separuh.
- Tutupkan api dan masukkan mentega dan tambahkan baki daun kering thyme.
Hidangan ini kebiasaannya disediakan pada sambutan hari Natal. Anda pula boleh menyediakan hidangan ini sewaktu upacara istimewa kerana tetamu anda pasti akan memuji kemahiran memasak anda walaupun anda tidak bersusah payah di dapur!
5. Chicken Fried Steak
Mahukan daging tanpa menggunakan ketuhar? Anda patut mencuba resipi ini! Walaupun namanya chicken fried steak, resipi ini tidak menggunakan ayam, tetapi daging! Menarik, bukan? Hidangan ini berasal dari Amerika Syarikat yang dibawa oleh imigran dari German dan Austria. Jika anda suka akan schnitzel, anda pasti akan suka hidangan ini! Seakan sama seperti chicken chop tetapi lebih menarik kerana resipi ini penuh dengan rempah ratus yang akan membuatkan anda mahu lebih dari satu. Dihidang pula dengan kuah yang pekat dan berkrim. Bersiap sedia untuk jatuh cinta!
Bahan-Bahan
- 4 ketul daging batang pinang (dalam 2lbs)
- ¾ tepung jagung
- 1 telur
- 1 cawan susu buttermilk, dibahagikan
- 2 cawan tepung serbaguna
- 2 sudu teh garam
- 2 sudu teh paprika
- 2 sudu teh lada hitam
- 1 ½ sudu teh serbuk bawang besar
- 1 ½ sudu teh serbuk bawang putih
- 1 sudu teh serbuk penaik
- ½ sudu teh serbuk cili cayenne
- Minyak kanola atau sayuran, untuk menggoreng
Untuk kuah
- ¼ cawan minyak sayuran, kanola untuk menggoreng
- ¼ cawan tepung serbaguna
- 2 ½ cawan susu penuh krim
- 1 sudu besar lada hitam
Cara-Cara
Menyediakan daging
- Lapkan daging menggunakan tuala dapur sehingga kering.
- Letakkan satu daging steak ke dalam plastic kedap udara. Dengan menggunakan tukul, pin rolling atau kuali panci kecil, pukul daging steak sehingga rata dengan ketebalan 1/8 hingga ¼ inci. Ulangkan langkah ini dengan 3 daging steak yang lain.
- Di dalam mangkuk yang cetek, masukkan tepung jagung.
- Di dalam bekas yang lain, pukulkan 2 telur dan campurkan dengan 2/3 jumlah susu buttermilk.
- Di dalam mangkuk cetek yang ketiga, masukkan tepung, garam, lada hitam, serbuk paprika, serbuk bawang besar, serbuk bawang putih, serbuk cili cayenne dan tepung penaik.
- Dalam mangkuk tepung yang ketiga (campuran tepung dengan seasoning), masukkan baki susu buttermilk dan gaul sehingga tekstur menjadi pasir basah.
- Seterusnya, salutkan satu daging steak dengan tepung jagung.
- Masukkan pula daging steak ke dalam campuran telur dan buttermilk.
- Salutkan daging steak dengan campuran buttermilk dan tepung. Pastikan daging disalut dengan rapi dengan menekan daging kepada tepung. Goyang untuk membuang lebihan tepung pada daging. Letakkan daging di atas rak dan biarkan rehat selama 10 minit.
- Letakkan minyak ke dalam kuali dan panaskan pada api besar.
- Setelah minyak sudah panas, masukkan daging steak dan biarkan masak. Hanya membalikkan daging steak sekali sahaja apabila salah satu belah sudah perang keemasan dan rangup. Proses ini akan mengambila 2-4 minit sahaja.
- Apabila sudah perang keemasan dan rangup, angkat dan pindahkan ke atas bekas yang dilapik dengan tuala dapur dan taburkan garam mengikut rasa. Ulangkan proses yang sama dengan steak daging yang lain.
Menyediakan kuah
- Pindahkan ¼ cawan minyak panas yang telah digunakan untuk menggoreng daging steak ke dalam kuali yang dipanaskan pada api yang sederhana.
- Tambahkan tepung dan gaul sehingga campuran bertukar menjadi coklat muda, dalam 1 minit.
- Dengan perlahan, masukkan susu sambil menggaul.
- Tambahkan lada hitam dan tinggikan api. Biarkan mendidih.
- Seterusnya, perlahankan api dan biarkan mereneh sambil menggaul sekali sekali sehingga sudah menjadi sedikit pekat dalam 4 minit.
- Angkat dari api dan masukkan garam dan lada hitam secukup rasa.
Resipi ini walaupun agak melecehkan, rasanya yang sedap membuatkan kepenatan anda menjadi sangat berbaloi! Walaupun resipi lain nampak sedikit mewah, menu ini pula bersesuaian untuk semua peringkat umur, terutamanya kanak-kanak! Tetapi, siapa sahaja yang tidak menyukai masakan bergoreng? Chicken fried steak ini sesuai sekali dihidangkan bersama kentang lecek dan kacang buncis seperti di Amerika Syarikat. Anda juga boleh menghidangkannya bersama hidangan sampingan seperti kentang goreng. Selamat mencuba!
Kagumkan Tetamu Anda
Cubalah 5 resipi daging ala barat ini jika anda mahukan sedikit kelainan dari daging masak korma atau kari daging! Sememangnya semua itu sedap dan lazat, tetapi ramai yang tidak tahu, makanan barat juga boleh menjadi mudah dan sedap jika kita berani mencuba. Oleh itu, apa anda tunggu lagi? Segera ke dapur dan mulakan eksperimen anda. Anda pasti tidak akan menyesal!