Pada zaman moden ini, memang terdapat banyak makanan baru yang inovatif dan menarik dihasilkan.
Mana tidaknya, dengan kewujudan laman media sosial seperti Instagram dan Facebook yang mana perkongsian makanan yang cantik, unik atau luar biasa menjadi buruan ramai.
Malangnya, kita terlupa dalam kesibukan kita mengejar makanan-makanan viral ini, kita terlupa tentang sajian-sajian klasik tradisional yang semakin pupus ini.
Klasik itu Abadi
Sempena sambutan raya bersama Mudah.my di Bijan Restaurant baru-baru ini, kami telah disedarkan tentang realiti ini.
Sajian tradisional Malaysia, khususnya kuih-muih klasik semakin jarang ditemui kerana kemahiran untuk menyediakannya tidak lagi dipelajari oleh generasi baru.
Oleh itu, kami nak kongsi bersama anda 10 kuih tradisional yang hampir pupus yang anda tidak tahu wujud sebelum ini.
1. Tepung Puli
Tepung puli ini merupakan kuih yang cukup popular di negeri Melaka pada suatu ketika dahulu. Jangan terkeliru kuih lemak manis ini dengan gulungan laksam Kelantan pula. Nanti ada yang sakit perut!
Kuih ini lazimnya dinikmati pada pagi Hari Raya Aidilfitri. Malangnya, kuih ini jarang sekali ditemui kerana kemahiran membuatnya tidak diturunkan dan dipelajari. Memang merugikan!
2. Tepung Gomak
Kuih seterusnya yang semakin jarang ditemui sekarang ialah tepung gomak. Ha, kami yakin ada antara anda yang mengangguk kenal kuih ini dan ada yang pasti sedikit bingung apabila melihat nama kuih ini.
Kuih ini cukup popular di negeri-negeri sebelah pantai timur khususnya di negeri Kelantan dan Terengganu. Lazimnya, kuih tepung gomak dijadikan sebagai hidangan minum petang. Kuih ini cukup popular dalam kalangan anak-anak kecil kerana kekenyalan kuih apabila digigit yang disertai letusan manisan kelapa parut yang digaul gula melaka. Memang terbaik!
3. Tepung Pelita
Siapa yang tak kenal kuih tepung pelita? Bagi yang tak tahu, inilah kuih yang menjadi buruan ramai setiap kali menjelangnya bulan Ramadan.
Kuih ini mempunyai lapisan santan dan tepung beras yang dimasak dalam bekas yang diperbuat daripada daun pisang. Rasanya yang lemak manis membuatkan sesiapa saja tak cukup hanya sekadar merasa sekali.
4. Nona Manis
Sebelum anda memandai-mandai fikir ini ialah kuih lompang, baca dulu penjelasan kami. Kuih ini namanya ialah kuih nona manis. Kenapa namanya begitu? Itu kami tak tahu. Apa yang pasti kuih ini antara kuih tradisional yang makin sukar untuk ditemui.
Cara pembuatan kuih ini senang sahaja tapi memerlukan kesabaran dan tenaga untuk memukul adunan. Jika tak buat betul-betul, berpasirlah tekstur kuih ini.
Semasa kami menyertai acara mudah.my, kami diberi peluang untuk mempelajari cara menyediakan kuih ini daripada Pn. Saba, vendor nona manis di mudah.my. Kalau nak cuba kuih ini, bolehlah ke mudah.my dan tempah dari Pn. Saba.
5. Serabai
Bagi yang tinggal di sebelah utara, anda pasti kenal kuih ini. Kuih serabai merupakan salah satu pilihan sarapan kegemaran ramai di negeri-negeri di Utara.
Tekstur kuih itu memang lembut dan ringan tetapi malangnya tidak berperisa. Memang tak seronok makan begitu saja. Perkara yang membuatkan kuih ini istimewa ialah kuah santan pekat yang lemak manis. Memang tak cukup sepinggan kalau ada kuahnya!
6. Kuih Celorot
Kuih ini memang ‘rare’. Kami pun tak tahu pasal kewujudan kuih ini hinggalah kami membuat penyelidikan sedikit.
Bagi yang tinggal di negeri Sarawak, rasanya anda cukup arif tentang kuih celorot ini. Kuih ini diberi nama sebegitu kerana dibungkus dalam daun pisang kelapa muda dalam bentuk corong.
Memang malang kita tak dapat jumpa kuih ini di Semenanjung. Kalau nak cuba juga, nampaknya kena pesan kepada rakan di Sarawak atau pergi sendiri.
7. Ketupat Palas
Kuih yang terakhir bukanlah kuih mahupun suatu yang susah untuk ditemui tetapi ada sebab kenapa kami sertakannya dalam senarai ini.
Ketupat palas merupakan sejenis ketupat yang cukup popular di negeri-negeri di sebelah Utara khususnya semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.
Perkara yang membuatkan makanan ini cukup jarang untuk ditemui ialah kemahiran menyediakan losong ketupat itu yang semakin dilupakan. Memang secara teorinya nampak mudah tetapi percayalah, kami sudah cuba membuat sendiri dan sememangnya kemahiran ini tak dapat dipelajari dalam sehari.
Ada Kuih ‘Rare’ Lain Anda Tahu?
Itu saja kuih-kuih tradisional (tak termasuk ketupat palas di atas. Itu bonus untuk anda) yang kami ketahui semakin susah untuk ditemui.
Terima kasih mudah.my kerana menjemput kami untuk mempelajari tentang dua sajian tradisional yang semakin dilupakan. Perkara penting yang perlu kita sedari ialah bukannya resepi yang dilupakan sebaliknya kemahiran untuk menyediakan sajian-sajian ini yang tidak diperturunkan.
Alangkah ruginya kita kalau satu hari nanti, anak cucu kita tak berpeluang untuk meneruskan warisan dan tradisi masakan kita. Masih belum terlambat kerana anda masih berpeluang untuk mencari ‘tok guru’ sajian-sajian ini dan belajar daripada mereka.