Masuknya 1 haribulan Januari 2019 bukan sekadar menandakan tibanya tahun baru malah menandakan bermulanya penguatkuasaan larangan merokok di kebanyakan kawasan awam. Tindakan penguatkuasaan ini adalah satu inisiatif kerajaan yang disambut baik oleh masyarakat Malaysia, khususnya keluarga yang mempunyai anak kecil.
Namun begitu, tidak ramai yang berasa gembira dengan keputusan ini dan golongan ini semestinya ialah perokok! Sebenarnya, memang tidak salah untuk merokok kerana itu pilihan masing-masing. Ada pelbagai sebab anda merokok. Ada yang nak hadam makanan, ada yang nak hilangkan tekanan dan sebagainya. Tetapi, bersikap bertimbang rasalah. Jangan sampai tidak menghiraukan anak kecil, ibu mengandung dan orang disekeliling hanya kerana anda nak merokok.
Kerana Nila Setitik
Malangnya, hanya segelintir perokok sahaja yang mementingkan diri sendiri. Kebanyakan perokok lain cuba untuk mengelakkan orang disekeliling mereka tidak berasa selesa dengan asap rokok mereka.
Walau bagaimanapun, sudah terlambat untuk kita cari alasan dan cuba tegakkan benang yang basah. Perintah larangan sudah dikeluarkan. Nak tak nak, anda perlu bertahan dan cuba untuk mengikut perintah yang dikeluarkan supaya anda tidak dikenakan saman dan tidak sangap sepanjang hari menunggu untuk mengambil sedutan panjang rokok yang memuaskan.
Berhenti Merokok Dengan Makanan
Ada pelbagai cara untuk anda berhenti atau kurangkan perasaan nak merokok anda. Ada yang cadangkan anda bersenam, dapatkan hobi dan macam-macam lagi.
Namun begitu, cara yang paling berkesan semestinya adalah dengan makanan. Di bawah, terdapat 7 jenis makanan yang saya yakin dapat membantu anda, sama ada untuk kurangkan kekerapan anda merokok ataupun berhenti terus.
1. Bertih Jagung
Tahukah anda, bertih jagung merupakan antara makanan yang sesuai untuk anda ambil jika anda nak kurangkan keinginan merokok?
Ha, jangan ingat, kalau nak berhenti merokok anda kena makan sayur dan salad sahaja!
Anda mesti tertanya-tanya kenapa bertih jagung? Jawapannya memang mudah dan menghairankan. Apabila anda nak berhenti merokok, akan timbul perasaan untuk makan. Bukannya anda lapar atau mengidam makanan tertentu. Anda cuma nak kunyah.
Oleh itu, bertih jagung merupakan snek paling sesuai untuk anda jadikan sebagai makanan kudapan anda. Kerangupan bertih jagung cukup untuk membuatkan anda tidak mencapai rokok. Meskipun begitu, pastikan bertih jagung yang anda makan tidak disalut dengan karamel mahupun mentega. Jika tidak, memang naiklah berat anda nanti!
2. Epal
Makanan seterusnya yang sesuai untuk anda ambil jika anda nak kurangkan kekerapan merokok anda ialah buah-buahan. Dalam artikel ini, kami syorkan anda untuk makan epal.
Epal, baik yang merah mahupun hijau, mempunyai tekstur yang rangup seperti bertih jagung. Kerangupan ini sesuai untuk memenuhi keinginan anda untuk mengunyah sesuatu.
Namun begitu, takkanlah anda nak makan bertih jagung setiap hari, betul tak? Membosankan betul!
Selain itu, buah-buahan juga didapati membuatkan rasa dan bau rokok lebih kuat dan pahit. Pasti membuatkan anda tak teringin nak pegang walau sebatang rokok pun.
3. Yogurt
Menurut jurnal Kajian Tembakau & Nikotin yan diterbit pada tahun 2013, perokok lazimnya, kurang makan berbanding golongan bukan merokok. Hal ini demikian kerana, nikotin mengurangkan selera makan anda.
Oleh itu, apabila anda berhenti merokok, anda akan cepat berasa lapar. Pastikan makanan yang anda ambil adalah sihat dan rendah kalori seperti yogurt. Namun begitu, jangan makan yogurt kosong. Tambahkan dengan buah-buahan dan kekacang untuk membuatkan anda lebih kenyang dan dapat bertahan lama.
Jika anda asyik makan makanan rendah kalori, anda akan merokok dengan lebih banyak iaitu 8 peratus lebih tinggi berbanding golongan yang makan makanan berhenti merokok berkalori tinggi. Hal ini dinyatakan dalam satu kajian yang diterbit pada tahun 2005 dalam jurnal Psychopharmacology.
4. Coklat Hitam
Kalau anda peminat coklat hitam, melihat bahan ini dalam senarai artikel ini pasti menggembirakan hati anda. Bagi yang tidak tahu, coklat hitam sebenarnya kaya dengan pelbagai nutrien yang baik untuk badan anda seperti antioksida dan flavoid.
Antioksida dikenali sebagai ejen yang membantu melawan radikal bebas dalam badan yang boleh menjadi barah. Flavoid pula merupakan metabolit tumbuhan yang menghasilkan antioksida.
Pasti anda terfikir, bagaimana kedua-dua bahan ini dapat membantu anda berhenti atau mengurangkan kekerapan merokok anda? Apabila anda merokok, kadar nikotin dalam badan yang tinggi akan membuatkan dopamin merembes keluar. Dopamin merupakan komponen kimia yang membuatkan anda berasa gembira.
Coklat hitam merupakan ejen rembesan dopamin semula jadi dan memberikan kesan yang sama seperti anda merokok. Daripada merokok, lebih baik anda makan coklat, betul tak?
5. Asam
Buah kering seperti asam merupakan makanan kelima dalam artikel ini yang dikatakan sesuai untuk membantu anda mengurangkan kekerapan anda merokok. Seperti yang saya asyik nyatakan dari tadi, apabila anda berhenti merokok, anda akan cepat berasa lapar.
Oleh itu, anda mahukan sesuatu yang sihat dan mengenyangkan untuk anda jadikan sebagai kudapan. Daripada makan makanan yang tidak sihat dan berlemak, buah-buahan kering ialah pilihan yang lebihtepat kerana kaya dengan vitamin, mineral dan protein penting untuk badan anda.
Makan segenggam buah-buahan kering dua atau tiga kali sehari dan perut anda kekal kenyang sambil pastikan mulut anda kekal sibuk.
6. Oat
Jika anda nak sesuatu yang lebih mengenyangkan dan masih berazam untuk berhenti merokok atau mengurangkan kekerapan anda merokok, oat merupakan pilihan terbaik untuk anda.
Oat terbukti sebagai makanan penahan keinginan merokok berdasarkan kajian yang dijalankan oleh ahli sains dari Scotland. Mereka membahagikan perokok kepada dua kelompok dan salah satu daripada kelompok tersebut diarahkan untuk jadikan oat sebagai snek mereka.
Selepas sebulan, kelompok yang makan oat didapati merokok satu per tiga daripada jumlah rokok yang dihisap oleh kelompok kedua. Perkara yang lebih menarik adalah walaupun anda berhenti makan oat, anda akan masih dapat menahan diri daripada mencapai rokok. Hal ini dibuktikan apabila beberapa orang perokok dalam kajian tersebut terus berhenti merokok meskipun sudah dua bulan mereka tidak masukkan oat dalam diet mereka.
Memang sesuatu yang cukup menaikkan semangat, bukan?
7. Keju
Bahan makanan terakhir dalam artikel ini untuk membantu anda berhenti merokok ialah keju. Bagi peminat keju dalam kalangan perokok, semestinya melihat bahan ini menerbitkan perasaan gembira dalam hati anda.
Baguslah begitu kerana anda perlukan motivasi untuk berhenti, bukan?
Keju merupakan bahan makanan yang baik untuk anda kerana dua perkara. Perkara pertama ialah keju menjadikan rasa dan bau rokok busuk. Hal ini akan membuatkan anda tidak ‘berselera’ untuk merokok. Perkara kedua ialah keju membantu untuk menghapuskan sisa nikotin dalam badan anda yang membuatkan anda gian untuk merokok. Dalam erti kata lain, anda boleh melihat keju sebagai pembersih nikotin semula jadi.
Kuatkan Semangat dan Berusaha
Adakah anda sudah bersedia untuk sahut cabaran ini? Memang sukar untuk buang tabiat yang sudah sebati dengan diri anda. Tetapi, apabila difikirkan balik, berhenti atau mengurangkan kekerapan anda merokok merupakan sesuatu yang baik, bukan sahaja untuk diri anda malah untuk orang disekeliling anda juga.
Lagipun, semua makanan yang saya senaraikan di atas bukanlah makanan yang membosankan malah pada pendapat saya, cukup menarik untuk dijadikan sebagai eksperimen dan melihat keberkesanan setiap bahan makanan tersebut dalam membuatkan anda mengawal rasa gian merokok anda.
Apapun selamat maju jaya dan jangan merokok sembarangan!