Semakin hari kehidupan semakin mencabar dan menyebabkan tekanan yang dihadapi sehari-hari juga semakin tinggi. Kemurungan merupakan penyakit berkaitan otak yang disebabkan oleh perubahan yang terjadi terhadap bahan kimia otak. Banyak faktor yang menyumbang kepada terjadinya kemurungan dalam kehidupan seseorang. Apa yang kita selalu dengar adalah ia disebabkan faktor dalaman dan luaran seperti genetik, keadaan kesihatan, stress, kesedihan melampau atau keadaan persekitaran hidup yang sukar.
Tetapi, tahukah anda bahawa kemurungan turut boleh terjadi disebabkan kekurangan nutrien tertentu di dalam badan?
Nutrien 1: Omega 3
Asid lemak omega 3 dikatakan penting untuk manusia kerana ia memainkan peranan yang khusus di dalam fungsi otak, dan juga bagi pertumbuhan yang normal. Omega 3 paling diperlukan oleh otak bagi fungsi kognitif, iaitu pencapaian dan memori otak. Sebaliknya, kekurangan asid omega 3 dalam gizi seharian anda boleh mendorong kepada kelesuan, kulit yang kering, masalah memori, perubahan mood yang ketara dan seterusnya, kemurungan.
Persatuan Jantung Amerika, AHA (American Heart Association) mencadangkan untuk memakan ikan (trutamanya ikan yang berlemak seperti mackerel, tuna, sardin, trout) sekurang-kurangnya dua kali seminggu.
Nutrien 2: Iodin
Elemen yang larut air ini sebenarnya mempunyai fungsi yang penting untuk tubuh badan anda lebih daripada yang anda sangkakan. Paling utama, iodin bertindak sebagai bahan utama yang digunakan oleh kelenjar tiroid untuk menghasilkan bahan yang dipanggil hormon tiroid. Bagaimana pentingnya hormon tiroid bagi tubuh manusia? Ia sebenarnya mempengaruhi banyak segi: tenaga, metabolisma, fungsi imun, suhu badan, tumbesaran, dan juga aktiviti otak (dari segi konsentrasi, memori dan banyak lagi).
Maka, apabila kurangnya iodin di dalam tubuh, inilah yang menyebabkan terjadinya kemurungan, bersama beberapa lagi masalah berkaitan kesihatan yang lain. Selain itu juga, tanda jelas yang boleh dilihat apabila seseorang itu kurang iodin di dalam badannya ialah goiter, keadaan di mana kalenjar tiroid (akan kelihatan di bahagian leher dan larinks) membengkak secara abnormal.
Bagi mengelakkan terjadinya kekurangan iodin bagi tubuh anda, anda boleh mengambil bekalan iodin dari bahan-bahan yang mengandunginya seperti garam yang telah diperkayakan dengan iodin, rumpai laut kering, udang, ataupun ikan kod. Namun begitu, ia harus diambil dalam kadar yang diperlukan oleh tubuh sahaja, iaitu anggaran sekitar 150 mikrogram sehari bagi seorang dewasa.
Nutrien 3: Zink
Sumber zink yang utama ialah di dalam kesemua jenis daging seperti daging lembu, ayam dan itik, dan tiram. Zink juga terdapat di dalam tanah, yang bermaksud ia akan turut terkandung di dalam tanaman kekacang dan bijirin bergantung kepada jumlah zink yang terdapat di dalam tanah tersebut.
Lebih 300 enzim di dalam badan manusia menggunakan zinc sebagai pembantu untuk menjalani tugasannya yang tertentu seperti membuat DNA, sintesis protein, pembahagian sel dan pelbagai lagi fungsi yang penting. Justeru dengan pengambilan zink dalam diet seharian mampu mecegah terjadinya simptom kemurungan, kekejangan, masalah dalam belajar dan juga memori. Disebabkan tubuh badan manusia tidak mempunyai sistem yang khas untuk menyimpan zink, maka adalah perlu untuk mengambil makanan yang mengandungi zink setiap hari.
Nutrien 4: Magnesium
Menurut kajian yang dijalankan, kekurangan magnesium akan menunjukkan dua simptom, secara fisikal dan juga mental. Simptom fisikal termasuklah sawan, keresahan, rentak jantung yang tidak sekata dan kejang otot. Manakala simptom bagi mental dan emosi pula ialah sakit kepala atau migrain, insomnia, kelesuan melampau dan juga kemurungan.
Bagi mengelakkan kekurangan magnesium di dalam tubuh, anda boleh mengambil makanan yang tinggi kandungan magnesium seperti sayuran hijau, contohnya bayam, kekacang dan bijirin, ikan mackerel, beras perang dan avokado.
Nutrien 5: Vitamin D
Vitamin D boleh dikatakan terkandung di dalam kesemua makanan harian yang kita ambil seperti ikan, telur, susu yang diperkaya dan juga minyak ikan kod.
Meskipun tidak memainkan peranan yang besar kepada terjadinya kemurungan, kekurangan vitamin D tidak dinafikan boleh menjadi faktor penyumbang. Kajian yang dijalankan ke atas sekumpulan wanita mengenai kaitan vitamin D dan kemurungan mendapati semakin rendah kandungan vitamin D di dalam tubuh mereka, lebih cenderung untuk mereka mengalami kemurungan dalam tempoh 5 minggu kajian.
Nutrien 6: Selenium
Seperti iodin, selenium juga penting kepada penghasilan hormon tiroid. Kajian yang dijalankan mendapati mereka yang rendah kandungan selenium menunjukkan mood yang rendah dan tanda-tanda depresi.
Makanan yang boleh diamalkan bagi mengekalkan jumlah selenium di dalam tubuh ialah kekacang, roti, ikan, daging ayam dan juga telur dan kacang Brazil dinyatakan antara yang mempunyai kandungan selenium tertinggi.
Nutrien 7: Zat besi
Simptom psikologi akan terjadi sekiranya tubuh tidak mendapatkan bekalan zat besi yang cukup seperti kegelisahan, gangguan mental dan seterusnya kemurungan. Meskipun kekurangan zat besi bukanlah penyumbang utama kepada depresi, tetapi sedikit sebanyak ia akan menunjukkan simptom yang sama seakan-akan depresi seperti kurang selera, kelesuan melampau, sakit kepala dan perubahan mood.
Makanan yang boleh anda ambil bagi memastikan bekalan zat besi sentiasa cukup di dalam tubuh ialah daging merah dan pelbagai jenis daging lain, sayuran berdaun hijau gelap, buah-buahan kering seperti kismis dan apricot, kekacang dan juga bijirin yang telah diperkayakan dengan zat besi.
Nutrien 8: Vitamin B kompleks
Makanan yang kaya dengan vitamin B kompleks termasuklah legum, brokoli, biji bunga matahari, kekacang hijau, bayam, pisang, bijirin penuh, keju dan bijirin penuh.
Nutrien 9: Vitamin C
Selain dirawat menggunakan Prozac, vitamin C yang diambil bersama mampu meningkatkan lagi keberkesanan ubat tersebut yang diambil bagi merawat depresi.
Kandungan vitamin C paling tinggi di dalam buah-buahan dan sayur-sayuran seperti oren, limau, jambu batu, betik, sayuran berdaun hiijau gelap seperti bayam, brokoli, bunga kubis dan juga tomato.
Depresi atau kemurungan merupakan suatu penyakit serius yang harus dicegah sebelum parah. Selain mengamalkan gaya hidup yang betul, makanan juga memainkan peranan penting dalam memastikan minda yang sihat.