Site icon Butterkicap

Hidangan yang Menandakan Ketibaan Ramadhan

Kredit: Boombastis

Dalam kesemua dua belas bulan Islam yang ada, tidak ada yang dapat menandingi debaran menanti datangnya bulan Ramadhan. Pelbagai persiapan akan dilakukan bagi memastikan Ramadhan yang bakal disambut menjadi lebih baik dari yang sebelumnya. Pada bulan inilah kita akan mengajar diri untuk tidak hanya menahan diri daripada lapar dan dahaga, tetapi juga untuk lebih bersabar dalam menghadapi hidup sehari-hari.

Bonus bagi bulan Ramadhan selain untuk melatih diri menjadi lebih baik, juga merupakan detik di mana kita akan dapat merasai beberapa jenis makanan yang istimewa dan sukar untuk kita perolehi pada hari-hari biasa. Beberapa jenis makanan ini begitu sinonim dengan bulan puasa, sehinggakan apabila ia mula dijual dengan banyaknya, itu sudah cukup untuk menandakan kedatangan bulan Ramadhan sudah semakin hampir.

 

Hidangan Ramadhan 1 – Kurma

Credit: pbs.twimg.com

Makanan yang mempunyai seribu satu khasiat ini sudah semestinya menjadi petanda utama akan hampirnya kedatangan Ramadhan. Mana tidaknya, puasa tidak akan dikatakan lengkap tanpa bersahur dan berbuka dengannya.

Kandungan vitamin dan mineral yang tinggi di dalam buah kurma menjadikannya sangat bagus dan sesuai untuk diambil oleh mereka daripada pelbagai lapisan umur malahan ia elok dimakan oleh para ibu mengandung juga.

Setiap pasaraya pasti akan berlumba-lumba untuk memperbanyakkan bekalan kurma bagi memenuhi keperluan pelanggan. Bukan itu sahaja, iklan-iklan kurma yang begitu nostalgia akan mula ditayangkan di kaca televisyen dan juga berkumandang di corong radio menambahkan lagi rasa tidak sabar untuk menempuhi bulan Ramadhan.

 

 

Hidangan Ramadhan 2 – Bubur Lambuk

Kredit: Koleksi resepi emak

Bayangkan keenakan bubur lambuk yang bakal dinikmati seusai mengerjakan solat tarawih ketika bulan puasa..pasti membuatkan ramai sudah menelan air liur. Tapi, bila mulanya hidangan bubur lambuk ini diamalkan dan di mana? Persoalan anda terjawab di sini.

Selain rasanya yang lazat, apa yang membuatkan bubur lambuk begitu digilai ialah kerana ia hanya mudah untuk didapati ketika menjelang bulan puasa ataupun ketika bulan puasa itu sendiri sahaja. Bubur lambuk sebenarnya mempunyai pelbagai variasi mengikut negeri masing-masing di Malaysia, sebagai contoh, terdapat bubur lambuk yang mencampurkan ikan dan daging sekaligus dalam satu masakan, ada yang mempunyai rasa yang sedikit manis, ada yang mencampurkan santan, ada yang meletakkan kerisik di dalam bubur lambuk mereka dan sebagainya.

Bubur lambuk dan Ramadhan ibarat isi dengan kuku, tidak dapat dipisahkan. Ia merupakan makanan tradisi yang wajib ada di setiap bulan Ramadhan, dan tanpanya, Ramadhan pasti terasa kurang kemeriahannya, bukan?

 


Hidangan Ramadhan 3 – Lemang

Kredit: BK Photography

Lemang juga merupakan petanda bulan Ramadhan sudah bermula. Meskipun hidangan ini lebih sinonim untuk dikaitkan dengan hari lebaran, menariknya, aroma lemang dibakar di gerai-gerai di pinggir jalan akan mula memenuhi ruang udara seawal bulan puasa lagi.

Tidak dapat dipastikan mengapa tradisi menjual lemang sudah mula dijalankan ketika masuknya awal bulan puasa lagi, namun apa yang pasti, lemang tetap menyelerakan untuk dijamu pada bila-bila masa pun. Selalunya lemang akan dihidangkan bersama rendang, serunding malahan juga manisan daripada gula Melaka atau tebu.

 

 

Hidangan Ramadhan 4 – Ayam Golek, Ayam Percik dan Ikan Bakar

Kredit: amiyo

Petanda lain melalui makanan apabila hampirnya bulan Ramadhan sudah semestinya ayam golek. Jika pada hari biasa anda mungkin sukar untuk menjumpai mereka menjual ayam golek di tepi-tepi jalan dan juga pasar malam dan sebagainya, tetapi apabila bulan puasa, gerai ayam golek di tepi jalan merupakan pemandangan biasa.

Selain ayam golek, ayam percik dan juga pelbagai jenis ikan bakar juga turut menjadi popular di ambang bulan Ramadhan. Mungkin kerana aromanya ketika dipanggang yang boleh dihidu dari jauh lagi, membuatkan ayam golek dan ikan bakar menjadi salah satu menu yang laris untuk dijual ketika bulan puasa.

 

 

Hidangan Ramadhan 5 – Sirap Selasih dan Sirap Bandung Cincau

Kredit: Angelolli

Bagi minuman pula, tiada yang lebih dicari di bulan puasa yang panas terik selain daripada minuman sirap selasih yang sejuk. Ini menjadikan sirap ataupun bandung minuman yang paling biasa untuk dijual pada bulan puasa.

Air yang banyak dijual yang disebut sebagai air balang sebenarnya boleh dicari sepanjang tahun, tetapi jika menjelang bulan puasa dan sepanjang bulan puasa, sirap selasih selalunya yang paling laris dan menjadi rebutan.

Walaupun hanya minuman yang ringkas, sirap selasih ternyata sejenis minuman yang mempunyai keistimewaannya yang tersendiri kerana ia mampu menyejukkan badan dengan tambahan biji selasih yang terdapat di dalamnya.

Selain sirap selasih, air sirap bandung juga tidak kurang hebat sambutannya ketika bulan puasa dan selalunya ia akan ditambah dengan cincau dan juga biji sagu.

Jadi, sempena bulan Ramadhan yang bakal menjelma nanti, adakan satu misi untuk mendapatkan semua makanan wajib Ramadhan seperti yang telah kami senaraikan di atas! Jangan sampai kempunan dan anda perlu menunggu sehingga Ramadhan tahun depan untuk mendapatkannnya.

print