Site icon Butterkicap

Panduan Lengkap Durian untuk Pencinta Raja Buah

Kredit: dailymotion.com

Musim durian sudah tiba! Pastinya semua peminat durian berasa tidak sabar untuk makan raja buah ini dengan banyaknya. Walaupun harga sebiji durian melambung tinggi, tetapi itu tidak menjadi penghalang bagi rakyat Malaysia yang betul-betul cintakan buah ini untuk menikmati rasanya yang lemak berkrim.

Meskipun kebanyakan rakyat Malaysia merupakan peminat tegar raja buah ini, tetapi tidak ramai yang mengetahui khasiat, tip-tip pemilihan buah yang berkesan, jenis-jenis durian yang boleh didapati di pasaran, ciri-ciri setiap jenis durian dan resepi buah ini yang cukup popular serta diminati ramai. Jangan khuatir kerana dalam artikel ini, anda akan dapatkan kesemuanya!

Panduan lengkap durian Butterkicap dimulakan dahulu dengan sedikit pengenalan tentang Raja Buah ini.

 

Si Raja Buah

Buah durian merupakan salah satu durian yang paling mudah untuk diketahui, carilah buah yang mempunyai duri dan itulah buah durian.

Durian atau dalam bahasa sainstifiknya, Durio merupakan salah satu buah yang terdapat di Malaysia dan diklasifikasikan sebagai buah tempatan. Selain daripada buah, isi durian juga dibuatkan sebagai makanan seperti tempoyak dan juga durian goreng.

Terdapat pelbagai khasiat durian; antara khasiat tersebut ialah ianya boleh mencegah kemurungan sesorang kerana mengandungi kandungan Vitamin B6 yang tinggi serta mengubati anemia daripada elemen folat, tembaga dan zat besi yang terdapat dalam buah durian.

Namun begitu, durian ini bersifat ‘panas’. Walaupun terdapat banyak khasiatnya, jangan jadikan perkara ini alasan untuk makan durian dengan banyak!

 

Tip Memilih Durian

Anda sudahpun ketahui khasiat dan juga sifat buah durian. Namun begitu, adakah anda tahu cara untuk memilih buah durian yang berkualiti dan enak? Di bahagian kedua panduan lengkap durian ini, kami memberikan beberapa petua untuk anda ikuti.

Bagi bukan peminat tegar atau penjual durian, anda pasti tidak mengetahui bahawa terdapat beberapa cara yang berkesan untuk anda ikuti dalam membeli durian. Kami pasti, dengan 10 tip yang kami beri ini, anda tidak akan lagi berasa kecewa berhabis wang yang banyak membeli durian yang busuk, kelat, tidak sedap dan mengecewakan hati anda.

 

1. Warna tidak penting

Ramai yang sangka buah durian yang enak mestilah berwarna hijau yang cantik. Namun begitu, warna durian, sebenarnya, tidak mempengaruhi rasa isi buah durian.

 

2. Pilih durian yang bulat

Kalau nak tahu durian yang mempunyai isi yang lemak berkrim dan manis, lihat bentuk buah durian itu. Jika buah tersebut bulat dan cantik, pilihlah buah tersebut. Hal ini demikian kerana buah yang bulat mempunyai isi yang lebih banyak berbanding yang lonjong.

 

3. Tangkai durian

Satu lagi cara untuk menentukan sama ada buah durian yang dipilih itu berkualiti ataupun tidak, lihatlah pada tangkai buah durian yang anda pegang. Jika tangkai durian tebal dan pendek, maka isi buah tersebut banyak dan tebal. Sementara itu, durian yang bertangkai ramping dan panjang pula menunjukkan tidak banyak buah yang ada dan isinya sedikit.

 

4. Aroma

Tip seterusnya ialah menerusi aroma atau bau. Rata-rata pembeli durian akan menggunakan kaedah ini untuk menentukan sama ada buah durian yang ingin diberli adalah berkualiti dan mempunyai isi yang sedap. Durian yang berkualiti mempunyai aroma yang kuat dan boleh dibau meskipun belum dibelah atau disayat kulitnya.

 

5. Bentuk duri

Duri durian membantu anda untuk kenal pasti sama ada durian yang dipilih itu sudah matang dan mempunyai isi buah yang sedap untuk dimakan. Apa yang anda perlu cari? Duri yang pendek dan jarang. Lazimnya, buah yang mempunyai bentuk duri sebegitu mempunyai ulas yang banyak dan rasa yang manis.

 

6. Ringan lebih baik

Kebanyakan orang berpendapat buah yang berat mempunyai isi yang lebih banyak. Sebenarnya, buah yang ringanlah mempunyai isi yang paling banyak. Hal ini demikian kerana berat buah itu adalah disebabkan kulit yang tebal dan mempunyai biji yang besar.

 

7. Ketuk dulu

Ciri-ciri durian matang dapat diketahui daripada bunyi yang dikeluarkan apabila diketuk. Korek telinga dahulu ya, sebelum nak cuba tips ini. JIka anda mendengar bunyi yang nyaring dan kosong, maksudnya, buah itu tidak matang lagi. Tapi, jika bunyinya lebih dalam, maka durian itu sebenarnya sudah matang. Selamat mengetuk durian ya dan lihat betul atau tidak tip ini.

 

8. Kata “tidak” pada yang terbuka

Jangan membeli durian yang sudah terbuka! Durian yang sudah terbuka akan hilang rasa manis isi di dalamnya kerana isi durian tersebut sudah terdedah. Terdapat kemungkinan rasa manis isi durian tersebut bergantung pada bau dan aromanya. Jika terdedah, pasti bau itu akan hilang. Jadi, tidak bergunalah kalau isi durian itu kuning cantik tapi tidak lemak.

 

9. Ikut Musim

Musim durian, lazimnya, berlangsung antara bulan September hingga Februari. Namun begitu, itu tidak bererti cuaca sentiasa cerah dan ceria sepanjang tempoh itu. Bulan September hingga Disember lazimnya diketahui sebagai musim monsun. Oleh itu, hujan kerap turun. Sayangnya, durian yang gugur pada musim hujan tidak mempunyai isi yang manis. Sebenarnya, durian yang manis dijual pada musim kering atau kurang hujan. Malangnya, ketika itu, tidak ramai pula yang menjual durian. Nasib, nasib!

 

10. Selalu cuba!

Sebelum membeli apa-apa, anda perlu mencubanya dahulu supaya anda tidak tertipu. Hal ini demikian kerana permintaan durian yang tinggi membuatkan ramai penjual berasa rambang mata dan akan cuba pelbagai cara untuk melariskan buah mereka walaupun tidak enak. Jadi, sebelum percaya bulat-bulat pujukan penjual, mintalah seulas untuk dirasa.

 

Jenis-Jenis Durian

Kredit: utaranews.com

Sekarang, anda sudah tahu 10 tip mencari durian yang enak dan pasti memuaskan hati anda. Kini, kita beralih ke bahagian panduan lengkap durian yang memperkenalkan kepada anda 10 jenis durian yang boleh didapati di pasaran.

Untuk menjadi seorang peminat sebenar durian, anda perlulah mempunyai pengalaman merasai semua jenis durian supaya anda dapat membezakan satu durian dengan durian yang lain. Jadi, apa kata kita lihat senarai di bawah dan ciri-ciri setiap satu durian tersebut.

 

1. Musang King a.k.a Mao Shan Wang

Musang King ialah jenis durian yang paling digemari ramai dan dikatakan sebagai durian paling berkualiti. Harganya cukup mahal dan boleh mencecah harga setinggi RM 100 sekilogram. Walaupun mahal, itu tidak menghalang peminat durian menikmatinya. Isi durian Musang King berwarna kuning terang dan mempunyai rasa manis pahit serta memiliki tekstur berkrim.

 

2. Golden Phoenix a.k.a Jin Feng

Jenis durian seterusnya ialah durian Golden Phoenix. Durian ini diberi namanya kerana isi durian yang berwarna kuning pucat dan keputihan seperti bulu burung lagenda, Garuda atau Phoenix. Durian ini banyak ditanam di negeri Pahang dan Johor. Durian ini diminati oleh golongan yang tidak menyukai durian yang terlalu manis. Isi durian Golden Phoenix adalah pahit dengan tekstur agak berair dan bau yang tajam.

 

3. XO

Durian XO merupakan antara durian yang terbesar antara kesepuluh-sepuluh durian yang disenaraikan. Lazimnya, durian XO ini mencapai berat sebanyak 3.3 kilogram sebiji dan dijual pada harga RM40. Durian XO ini boleh didapati di Johor, Genting dan Cameron Highlands. Durian XO menjadi kegemaran ramai walaupun rasanya agak pahit dan lembut kerana isinya yang tebal.

 

4. D24 a.k.a Sultan

Durian ini merupakan Sultan bagi segala durian. Warna isinya ialah kuning pucat dan mempunyai rasa lemak tetapi pahit. Meskipun begitu. Ramai masih menyukai durian ini kerana isinya yang lebih tebal berbanding durian-durian yang lain.

 

5. D13

Durian D13 mempunyai warna isi yang unik iaitu berwarna oren. Kebanyakan orang yang baru mula mencuba durian menyukai durian jenis ini kerana tidak mempunyai rasa dan aroma yang berbau. Namun begitu, peminat tegar durian kurang meminati durian D13 ini kerana isinya kurang dan mempunyai biji yang besar. Kurang nikmatlah, maksudnya.

 

6. D101

Durian D101 merupakan durian yang mempunyai kualiti sedikit rendah berbanding Musang King. Walaupun rasa dan tekstur durian ini hampir sama dengan Musang King tetapi warna isinya kurang menarik kerana berwarna kuning kusam. Meskipun begitu, isi durian ini lebih manis berbanding jenis-jenis durian yang lain.

 

7. Udang Merah a.k.a Hong Xia atau Ang Hay

Durian Udang Merah mempunyai warna isi yang cukup menarik. Durian yang ditanam di negeri Pahang dan Johor ini mempunyai isi berwarna jingga kemerahan. Selain itu, ia mempunyai tekstur yang sedikit melekit. Walaupun begitu, isinya tetap rasa manis dan sedap dimakan bersama pulut.

 

8. Green Bamboo a.k.a Qing Zhu

Durian Green Bamboo diberi nama atas warna isinya yang kuning kusam dan ada kalanya, kehijauan sedikit. Seperti buluh juga, isinya berserat-serat dan berasa manis. Hati-hati apabila makan durian ini. Nanti terselit celah gigi serat isinya nanti.

 

9. Black Pearl a.k.a Hei Zhen Zhu

Jenis durian kesembilan ialah durian Black Pearl. Walaupun kulitnya hijau gelap kehitaman, ini tidak bermakna buahnya sudah busuk. Isi buah ini adalah berwarna kuning pucat. Kulit luarannya menggambarkan rasa buah yang sedikit pahit dan berlemak. Selain itu, durian Black Pearl juga mempunyai biji yang kecil.

 

10. D1

Durian D1 mempunyai isi berwarna kuning pucat. Isinya rasa berlemak seperti susu dan isinya mudah terpisah daripada biji serta mempunyai tekstur rangup di permukaan isi buah.

 

 

Sekarang, anda sudah tahu tip memilih dari panduan lengkap durian kami dan juga jenis-jenis durian untuk dicuba. Apa yang anda nak buat selepas itu? Marilah jadi kreatif dalam masakan anda!

Butterkicap telah pun menulis beberapa artikel tentang cara untuk anda ubah suai dan olah isi durian menurut cara yang suka, baik dalam makanan savouri mahupun manis. Jadi, bukalah dua pautan di bawah untuk mendapat idea kreatif untuk masak durian anda:

5 Resepi Bertemakan Durian yang Disukai Pencinta Durian
How to Make Mini Durian Tarts That Will Impress Your In-Laws

print