Kopi, oh kopi, apalah kami nak buat tanpa kau, kopi? Kala nak terjaga pada awal pagi, engkaulah yang kami cari.
Malangnya, itu sajalah yang kita tahu gunakan biji ajaib ini. Kalau betullah anda pencinta kopi yang sebenar, anda perlu ketahui kesemua kegunaan kopi yang anda takkan sangka dengan tip dan petua kopi luar kotak Butterkicap yang dikongsi di sini.
Tetapi, sebelum itu….
Ringkasan Sejarah Kopi
Kopi diketahui mula diminum sejak pertengahan abad ke-15 di tempat keramat fahaman Sufi di Yaman. Biji kopi pertama kali dituai dan dipanggang serta dibancuh menurut cara bancuhan yang diamalkan sehingga sekarang di Tanah Arab. Kenapa di Tanah Arab?
Hal ini demikian kerana biji kopi pertama kali dieksport dari Afrika Timur ke Yaman sebelum pedagang Arab memulakan usaha penanaman pokok kopi di Arab. Oleh itu, menjelang abad ke-16, biji kopi mula didagangkan ke Parsi, Turki dan Afrika Utara. Setelah itu, dagangan kopi mula tersebar hingga ke Eropah.
Begitulah cerita serba-sedikit tentang sejarah kopi. Kopi bukanlah minuman negara Barat yang diglobalisasikan menerusi kafe-kafe Setarbuku mahupun Kopibiji. Jangan ketawa, ada yang berfikiran sebegitu.
Harap-harapnya perkongsian ringkas ini membuka minda anda untuk ke agenda utama artikel ini iaitu berkongsi tip dan petua kopi luar kotak untuk jadikan minuman kegemaran Malaysia ini lebih menarik dalam masakan, penjagaan diri dan pengurusan dapur anda. Ayuh, kita mulakan!
1. Bahan Perapan
Anda pasti pernah ke Seoul Garden, bukan? Di sana, anda pasti pernah cuba ayam atau daging berkopi mereka. Rasanya agak unik dan bukan semua yang menyukainya. Jika anda tergolong daripada golongan yang sukakan rasa kopi ini bolehlah perapkan daging ayam atau daging dengan serbuk kopi. Kami tidak begitu pasti jika daging, ikan dan kopi serasi. Tetapi, jika anda nak mencuba, apa salahnya? Jangan lupa beritahu kami apa hasilnya, ya.
Bagi yang tidak sukakan rasa kopi dalam masakan anda, tidak apa-apa. Anda masih boleh gunakan kopi dalam penyediaan masakan anda tapi untuk itu, anda perlu tunggu dan baca lagi.
2. Dalam Minuman
Di Malaysia, tak kiralah musim hujan atau panas, kita pasti mahu minuman berais yang bukan saja menyejukkan jiwa anda malah membuatkan diri anda tenang dan positif. Kami tak tahu dengan anda, tapi kebanyakan pencinta kopi di Butterkicap yang bencikan nikmat kopi kaw mereka terbantut dek ais yang mencair dan membuatkan kopi mereka terasa kurang kaw.
Jika anda seperti pencinta-pencinta kopi Butterkicap ini, cubalah penyelesaian ini. Bancuh kopi pekat dan masukkan dalam bekas ais. Biarkan sejuk membeku untuk anda nikmati kopi kaw yang bukan saja buat anda tidak letih malah mampu bersengkang mata berhari-hari nanti.
Tak percaya? Tak mengapa. Cuba resepi di bawah dan lepas dua hari beritahu kami, ya.
Bahan-bahan:
- 3 sudu besar serbuk kopi / 1 paket kopi segera
- 1 cawan air
- 1/4 cawan susu pekat
Cara-cara:
- Campur serbuk kopi, susu pekat dan air untuk membancuh air kopi.
- Cuci bekas ais.
- Penuhkan bekas ais dengan bancuhan air kopi.
- Masukkan ke dalam peti sejuk.
3. Penambah Rasa
Tip dan petua kopi luar kotak seterusnya tidak begitu menghairankan bagi golongan yang suka membuat roti, kek, biskut dan sewaktu dengannya. Kopi merupakan penambah rasa yang cukup ideal dalam penyediaan pencuci mulut kerana aromanya yang kuat dapat membangkitkan selera untuk sesiapa sahaja menjamah walau sesuap makanan. Daripada membazir kopi di dalam teko, baik anda gunakannya dalam membuat biskut atau kek untuk anda nikmati semasa minum petang nanti.
Tak perlu risau cukup rasa atau tak sebab dengan kopi, manisan, roti dan kek anda pasti sangat kaw!
4. Bahan Kecantikan
Sudah tak mampu nak makan atau minum kopi lagi? Jangan paksa diri! Kopi bukanlah untuk menyedapkan perut dan tekak anda saja. Kopi juga boleh dijadikan sebagai bahan kecantikan juga. Jika anda berasa sayang untuk membuang serbuk kopi yang sudah digunakan, anda boleh simpan serbuk kopi tersebut untuk penggunaan di bawah:
Skrub
Serbuk kopi sesuai untuk dijadikan scrub untuk membuang kulit mati di muka dan juga badan anda. Tambahkan sedikit minyak atau air suam untuk basahkan serbuk kopi dan mulalah rutin kecantikan anda sebelum tidur. Nak hasil terbaik? Gunalah minyak kelapa! Pasti kulit selembut bayi nanti.
Pencuci Muka
Selain daripada dijadikan skrub, serbuk kopi juga boleh dijadikan pencuci muka. Campurkan dua sudu besar serbuk kopu dan serbuk koko.Tambahkan tiga sudu besar susu atau krim serta satu sudu besar madu yang akan melembapkan dan menegangkan kulit. Tak perlu beli pencuci kimia lagi kerana rahsia awet muda anda ada di sini.
Pelebat Rambut
Mahu rambut lebat berkilau tanpa berbelanja ratusan ringgit di salon mewah? Gunakan serbuk kopi saja! Sebelum mencucui rambut, ambil segenggam serbuk kopi dan urut pada rambut anda. Tekstur kopi yang kasar akan menghilangkan sisa produk yang digunakan dan tidak akan merosakkan rambut anda. Jika tak nak bilik air anda penuh dengan serbuk kopi, masukkan serbuk kopi dalam bekas syampu anda terus.
5. Bahan Pencuci Dapur
Baik, sekarang anda dah kenyang minum kopi dan makan makanan berasaskan kopi. Kulit anda juga bersih dan tegang. Rambut anda pun cantik lebat bak model iklan syampu. Apa lagi anda nak buat dengan serbuk kopi yang ada? Gunakan pula untuk membersihkan dapur anda.
Kopi mempunyai sifat yang hampir sama seperti serbuk penaik yang mampu meresap segala macam bau, baik yang menyenangkan mahupun yang tidak menyenangkan. Oleh itu, anda boleh memastikan kawasan dapur anda, khususnya di dalam peti sejuk supaya tiada bau yang pelik-pelik yang keluar daripada peti sejuk setiap kali anda membuka pintu peti.
Kopi juga boleh menghilangkan bau bawang yang tidak menyenangkan pada tangan dengan menggosok serbuk kopi pada tangan. Nescaya, bagi yang sudah bersuami, pasangan anda tidak akan bising lagi mengatakan anda bau seperti bawang. Semuanya kerana serbuk kopi!
Selain itu, jika anda dapati terdapat kesan atau kerak degil yang tidak mahu keluar daripada perkakas memasak mahupun di atas dapur, Gosok sedikit serbuk kopi di tempat bermasalah dan lihatlah betapa mudahnya nak menanggalkan kesan tersebut. Tangan anda pun tak sakit nak menyental. Bagus betul, serbuk kopi!
Sekarang, petua dan tip kami sudah cukup lengkap untuk pastikan bukan saja masakan anda malah diri dan juga dapur anda terjaga. Itulah kuasa serbuk kopi yang disangka hanya cukup bagus untuk dibuat bancuhan kopi sahaja.
Jika anda ada petua dan tip kopi kreatif yang lain, jangan lupa kongsi-kongsi dengan kami, ya?