Hidangan rendang tidak akan menjadi lengkap sekiranya tidak diselitkan bersama sajian ketupat. Ia seolah menjadi pelengkap dan pengganti kepada nasi semasa dihidangkan kepada tetamu atau dimakan bersama seisi keluarga.
Dalam hikayat dahulu kala seperti Hikayat Indaputra ada mencatatkan mengenai hidangan ketupat dalam masyarakat terdahulu pada sekitar abad ke-17. Ianya juga telah lama tersebar meluas dalam bentuk lisan sebelum ia dibukukan dalam hikayat-hikayat lama.
Menyediakan Ketupat
Penyediaan ketupat yang asasnya adalah dengan membungkuskan beras dalam daun dan direbus dalam air panas sehingga kembang atau masak sepenuhnya. Bagi penyediaan menggunakan beras pulut pula, daun palas adalah yang paling sesuai untuk proses pembungkusannya, manakala bagi beras nasi pula guna daun kelapa sebagai pembungkus.
Di sini Butterkicap ingin berkongsi beberapa jenis ketupat yang jarang diketahui umum tentang sejarah dan perbezaan antara kesemua jenis ketupat ini. Mari sama-sama teroka semua jenis ketupat yang sering dihidangkan dan disediakan oleh masyarakat Malaysia sejak dahulu.
Jenis #1: Ketupat bawang
Ketupat ini diberi nama sebagai ketupat bawang kerana bentuk kelongsongnya sama seperti bentuk bawang. Ini adalah salah satu ketupat yang biasa dibuat oleh masyarakat terdahulu apabila tiba musim perayaan terutamanya ketika sambutan hari raya Aidilfitri. Bentuknya yang unik dan menarik menjadikan ia suatu warisan yang masih kekal dijaga dan dibuat oleh masyarakat tidak mengira masa.
Penyediaan ketupat bawang biasanya menggunakan beras biasa dan kelongsong ketupat menggunakan daun kelapa. Langkah pembuatannya akan menjadi rumit jika kita baru belajar membuatnya dan ia akan menjadi sangat mudah jika kita biasa melakukannya.
Jenis #2: Ketupat palas
Ketupat palas dinamakan sedemikian kerana bekasnya diperbuat dari daun pokok Palas.
Ketupat palas juga ada yang kosong, ada yang berinti serunding dan ada juga berinti kacang. Ia sekali gus menambahkan keenakan ketupat palas itu sendiri. Cara memasaknya terbahagi kepada dua; rebus atau kukus. Ketupat palas dianyam berbentuk segi tiga dan ini berbeza dengan ketupat nasi yang dianyam berbentuk bawang atau hati. Jenis daun juga berbeza kerana ketupat nasi mengunakan daun kelapa.
Ketupat palas atau ketupat pulut berbeza dengan ketupat daun atau ketupat nasi dari segi bentuk, saiz, penggunaan daun untuk membalut dan beras. Ketupat daun atau ketupat nasi, dianyam berbentuk empat segi ataupun berbentuk bawang yang menggunakan daun kelapa. Bentuk ketupat palas pula berbentuk tiga segi.
Penggunaan beras sebagai isi atau inti ketupat juga berbeza. Beras yang digunakan untuk ketupat palas ini ialah beras pulut, manakala isi ketupat daun menggunakan beras nasi, iaitu beras yang digunakan sebagai makanan harian.
Di utara Semenanjung Malaysia, ikatan dan balutan ketupat palas dibezakan mengikut kekemasan ikatan simpul ketupat. Ketupat palas jantan mempunyai isi atau pulut lebih dibahagian akhir balutan, serta ikatan dan balutannya yang kemas.
Ketupat palas betina bersaiz kecil dan tidak mempunyai isi atau pulut lebih dibahagian ikatan atau balutan, serta tidak mempunyai ikatan dan balutan yang kemas.
Jenis #3: Ketupat nasi
Ketupat nasi dinamakan sedemikian kerana ia diperbuat daripada nasi.Nama yang lebih popular untuk jenis ketupat ini ialah nasi impit. Nama ini diberi kerana nasi dimampatkan dalam losong diperbuat daripada daun kelapa dan dikukus.
Ketupat nasi biasanya dihidangkan bersama sate dan menjadi hidagan istimewa pada hari-hari perayaan seperti hari raya, dan semasa jamuan.
Jenis #4: Ketupat sotong
Ketupat sotong atau juga dikenali sebagai sotong sumbat adalah sotong yang disumbat dengan pulut yang dimasak dalam santan pekat. Beras pulut ini akan dimasak bersama santan sebelum disumbat ke dalam sotong sebelum dihidang dengan kuah santan. Pulut beras merah juga digunakan bagi membuat ketupat sotong.
Hidangan ini merupakan satu sajian tradisional di perkampungan nelayan di negeri-negeri pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu. Hal ini demikian kerana pada musim mencandat sotong akan berlaku lambakan tangkapan sotong sehingga tidak habis dijual. Jenis ketupat ini satu-satunya yang tidak dibalut menggunakan daun palas atau daun kelapa.
Kalau teringin nak cuba membuat ketupat sotong pada Hari Raya Aidilfitri kali ini, cubalah resepi dalam artikel khas Butterkicap tentang ketupat ini.
Jenis #5: Ketupat sate
Ketupat sate dinamakan sedemikian kerana ia biasanya dihidangkan bersama sate. Ia diperbuat daripada nasi.
‘Ketupat sate merupakan sejenis hidangan daripada nasi yang dibungkus dengan daun kelapa dan direbus dalam periuk yang terkenal di Malaysia, Indonesia serta beberapa negara Asia Tenggara lain. Ketupat sate sering dihidangkan dengan sate di gerai dan restoran yang menjual sate, seperti di Kajang.
Sejak 1990, ketupat tidak lagi dibuat sepenuhnya daripada daun kelapa, sebaliknya dibungkus dalam plastik dan dikukus dalam periuk elektrik. Ketupat sebegini dinamakan nasi himpit. Walaupun ada pelanggan yang merungut bau tidak seenak dahulu, itu tidak jadi masalah.
Jenis #6: Ketupat borneo (burasak)
Rata-rata orang Semenanjung Malaysia mungkin tidak tahu bahawa terdapat satu lagi juadah yang mirip dengan ketupat iaitu burasak. Burasak yang terkenal dalam kalangan etnik Bugis amat terkenal di Sabah,
Ia diperbuat daripada beras biasa, santan dan daun pisang. Cara-cara membuatnya adalah dengan memasak beras dan santan sehingga kering. Setelah itu ia digoreng tanpa minyak. Kemudiannya barulah beras itu dikepal ke dalam daun pisang dan diikat kemas. Burasak direbus minimum selama tiga jam.
Lazimnya, burasak dimakan dengan gulai asam pedas pekat ikan parang tetapi ia juga boleh dimakan bersama rendang atau serunding.
Pilihlah Mana Yang Mahu
Adakah anda tahu kesemua jenis ketupat ini? Tidak? Sediakan ketupat ini pada hari lebaran ini. Bolehlah tunjuk sedikit pengetahuan ketupat anda kepada ahli keluarga dan sanak saudara yang datang menziarah.
Sebenarnya, ada terlalu banyak ketupat yang ada di Malaysia tetapi perbezaannya terlalu halus untuk dimasukkan ke dalam senarai ini. Jika anda tahu jenis-jenis ketupat yang lain dan unik, bolehlah kongsi dengan kami di Butterkicap! Kami sentiasa mengalu-alukan komen daripada anda. Kalau anda nak resepi dan cara membuat ketupat seperti Burasak, jangan segan komen. Komen jangan tak komen!