Site icon Butterkicap

Makanan Berasaskan Durian Peminat Durian Harus Cuba

Makanan berasaskan durian?!  Semua peminat durian pasti sudah tercungap-cungap nak tahu jenis makanan yang boleh disediakan menggunakan  buah kegemaran penduduk di rantau Asia ini. Sabar dulu. Sebelum itu, mari tutup mata bersama dan cuba bayangkan isi durian yang kuning ranum dan berlemak untuk naikkan selera durian anda dahulu.

Pasti semua orang boleh membayangkan buah berduri berwarna hijau kecoklatan dan isi buah yang kuning keemasan. Apabila dimakan isi buah tersebut, rasa lemak berkrim isi yang manis membuatkan sesiapa sahaja naik sawan kerana tiada siapa yang dapat menyangka buah yang dipanggil sebagai ‘raja’ segala buah mempunyai sisi ‘lembut’ seperti itu.

Untuk semua peminat raja buah, inilah antara makanan berasaskan durian yang pasti membuatkan anda rasa berselera untuk makan durian hari ini! Jadi, marilah kita tengok makanan apa yang boleh dijadikan lebih sedap lagi dengan durian.

Pengat Durian

Kredit: gempakboh.blogspot.my

Kalau anda mahu satu makanan yang akan betul-betul menonjolkan rasa durian yang kuat, tiada yang lebih baik daripada pengat durian. Pengat merupakan satu hidangan yang betul-betul memerlukan kemahiran untuk menyediakannya. Pengat melibatkan proses memasak buah-buahan atau sayur-sayuran berakar dalam kuah santan dan gula.

Hidangan pencuci mulut ini  sangat popular di kawasan Nusantara dan setiap negara di kawasan tersebut mempunyai gaya dan cara penyediaan pengat yang tersendiri. Di Malaysia, pengat durian yang paling enak disediakan ialah pengat Peranakan. Lihat resepi di sini untuk mencuba!

 

Tempoyak

Kredit: libanglibu.blogspot.my

Tempoyak yang juga dikenali sebagai asam durian atau pekasam ialah hidangan penambah rasa yang diperbuat daripada isi buah ini yang diperam. Hidangan ini lazimnya dimakan oleh masyarakat Melayu di Malaysian dan Indonesia.

Tempoyak biasanya dibuat dengan memerap isi durian yang dicampur dengan sedikit garam selama tiga hingga lima hari pada suhu bilik. Tempoyak selalunya dimakan sebagai penambah rasa atau bahan masakan seperti dalam penyediaan gulai tempoyak ikan pantin atau dijadikan sambal.

Nak tahu resepi gulai tempoyak yang sedap? Klik pautan ini.

 

Pulut Durian

Kredit: Pinterest.com

Sajian durian seterusnya ialahsajian yang tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama. Setiap kali musim durian, hidangan ini ialah hidangan wajib yang perlu dihidang sebagai tanda menyambut kedatangan musim durian.

Menyediakan hidangan berpulut ini tidaklah sesukar yang disangka. Hidangan ini sering kali dijadikan sebagai  hidangan pencuci mulut atau minum petang. Namun begitu, dalam banyak-banyak versi hidangan pulut durian yang ada.

 

Seri Muka Durian

Kredit: hanizahomerecipes.blogspot.my

Siapa yang tak sukakan pencuci mulut? Di Malaysia, lagi manis makanan itu, lebih bagus.

Bagi mereka yang sukakan kuih tradisional untuk dinikmati dengan secangkir teh panas pada waktu petang, tiada yang lebih memuaskan perut dan selera anda berbanding kuih seri muka.

Keunikan kuih seri muka ialah kuih ini begitu ‘versatil’ sehingga boleh dimasak menggunakan pelbagai perisa yang lain selain daripada pandan dan kaya.

 

Paf Durian

Kredit: Youtube.com

Resepi ini merupakan hidangan pencuci mulut yang menggabungkan cara masakan Barat dengan menggunakan bahan-bahan masakan bercirikan Asia. Pastri paf yang lembut dan gebu menjadikan rasa durian tersebut menyerlah tanpa perlu meletakkan terlalu banyak isi. Paf sedap untuk kami cadangkan?

Cubalah di Taste Batter atau Beard’s Papa. Nak lagi sedap? Buatlah sendiri!

 

Kek Durian

Kredit: daporcomel.blogspot.my

Ada sesetengah orang yang berpendapat bahawa rasa isi durian yang terlalu kuat tidak sesuai untuk dijadikan sebagai kek sebab habis semua makanan lain akan bau seperti durian juga.

Betulkah begitu?

Bagi peminat durian, lagi kuat bau, lagi kaw rasa durian tersebut. Lagipun, kek durian yang sedap pasti akan habis dimakan dengan begitu cepat sehingga tak sempat nak disimpan dalam peti ais atau di bawah tudung saji.

 

Tat Durian

Pada musim perayaan, khususnya bagi kaum Cina dan Melayu, kuih wajib yang perlu disediakan ialah kuih tat nenas. Namun begitu, dengan peredaran masa, kuih tat ini bukan sahaja terhad pada perisa nenas. Sebaliknya, terdapat perisa keju, beri biru dan juga strawberi.

Untuk musim perayaan akan datang, apa kata anda sediakan tat durian pula. Pasti ramai yang akan berasa terkejut dan gembira untuk merasai perisa lemak manis durian di tengah-tengah pastri tat yang gebu.

 

Gula-Gula Durian

Kredit: world.openfoodfacts.org

Bagi peminat durian, pasti impian terbesar dalam hidup anda adalah untuk makan durian setiap hari. Tapi, siapalah yang mampu berhabisan ratusan ringgit setiap hari demi durian? Mahu kering kocek anda! Jadi, anda perlulah mencari alternatif lain supaya anda dapatlan merasa perisa durian setiap hari.

Salah satu cara paling murah dan berkesan adalah dengan mendapatkan gula-gula berperisa durian. Bagi yang tidak pernah tahu tentang kewujudan perisa gula-gula ini, hal ini adalah satu berita baik untuk anda.

Antara jenama yang menawarkan perisa durian dan boleh didapati di Malaysia ialah Chocolaty, Loke Kee dan Big Big. Anda boleh mulakan misi memburu gula-gula ini sekarang.

 

Aiskrim Durian

Malaysia mengalami lebih banyak hari bercuaca panas berbanding cuaca yang berangin dan hujan. Jadi, ada hari yang anda tidak boleh makan banyak sangat durian kerana durian bersifat panas. Cara penyelesaiannya mudah sahaja. Gantikan buah durian dengan aiskrim berperisa durian.

Di Malaysia, terdapat banyak jenama aiskrim berperisa durian yang murah dan sedap anda boleh pilih. Antaranya ialah jenama King’s, Nestle dan juga Ais Potong. Walaupun hari panas, anda tetap berasa sejuk dan nyaman.

 

Snek Durian

Kredit: forum.lowyat.com

Rakyat Malaysia suka makan snek ketika masa senggang, khususnya semasa menonton rancangan televisyen kegemaran mereka. Bagi peminat durian yang tak mahu terlepas sesaat pun daripada menikmati durian, anda boleh menggantikan snek-snek biasa seperti keropok, muruku dan juga kerepek dengan snek bertih berperisa durian. Buka sahaja paket snek tersebut, satu aroma durian yang kuat akan menerpa ke dalam hidung anda. Yang pasti, satu paket pun tak mencukupi.

 

Penkek atau Lempeng Durian

Kredit: explorasa.cari.com.my

Pepatah Inggeris mengatakan, “eat breakfast like a king“. Tiada yang lebih mengenyangkan daripada sarapan pagi yang bersaiz besar dan perkara yang lebih baik daripada sarapan yang mengenyangkan ialah sarapan yang diperbuat daripada makanan kegemaran anda.

Makanan seperti lempeng atau penkek sering menjadi pilihan sarapan kerana mudah dan cepat disediakan. Namun begitu, lempeng yang kosong tidak begitu menyelerakan untuk dimakan setiap hari. Jadi, apa kata campurkan sedikit isi durian ke dalam adunan penkek anda dan kejutkan diri anda dan seluruh keluarga dengan penkek yang cukup enak dan menyelerakan.

 

Puding Durian

Kredit: Youtube.com

Durian juga boleh dijadikan sebagai puding yang cukup sesuai sebagai pencuci mulut atau hidangan jamuan untuk ahli keluarga dan sahabat handai. Namun begitu, jangan guna terlalu banyak isi durian nanti ada yang tak tahan dengan rasa durian yang terlalu kuat.

 

Pai Durian

Kredit: ridwansyah.com

Pai durian adalah satu cara untuk anda persembahkan dan tonjolkan rasa durian yang kuat. Tekstur durian yang lembut dan berkrim tidak memerlukan anda menggunakan banyak bahan untuk sediakan pai durian ini. Kalau nak yang lebih kompleks, anda boleh rujuk resipi pai durian Butterkicap ini.

 

 

Jadi, pencinta durian di luar sana, jangan lupa untuk cuba semua makanan berasaskan durian di atas untuk menjadikan musim durian kali ini lebih menarik daripada sebelum ini!

Jika ada makanan berasaskan durian lain yang anda tahu, jangan lupa untuk tangkap gambar makanan itu dan letakkan hashtag #butterkicap.

print