Site icon Butterkicap

Azam Tahun Baru Nak Kurus Badan? Cuba Makanan ini

Jangan risau, jangan gelabah. Kami tahu ramai di luar sana yang semakin rasa tidak puas hati dengan tubuh badan sendiri selepas memanjat penimbang. Apatah lagi dalam musim perayaan yang bakal menjelma, bertambah risaulah jika ada suara-suara sumbang yang akan memberikan komen tentang diri anda.

Seperti biasa, setiap tahun anda akan memasang azam baru untuk pergi ke gimnasium dan bersenam. Seperti biasa juga, setahun berlalu dan anda sedar diri anda semakin ‘mengembang’. Tak perlu susah-susah untuk memasang angan-angan ke gimnasium tahun hadapan. Dengan memastikan diet anda dijaga dan mengandungi makanan kurus badan di bawah, azam anda akan akhirnya tercapai jua.

 

Limau Gedang

Limau Gedang atau Limau Bali merupakan salah satu makanan kurus badan yang berkesan. Tanpa menukar diet anda, anda masih lagi dapat menguruskan badan! Tidak percaya? Cuba amalkan makan separuh biji limau gedang setiap kali sebelum makan. Dalam seminggu sahaja anda dapat menurunkan berat badan 0.5kg seminggu.

Bagaimana boleh jadi begitu?

Kandungan nutrien dalam buah ini mampu merendahkan kandungan insulin, sejenis hormon yang menyimpan lemak dan seterusnya menyebabkan berat badan anda menurun. Selain itu, limau gedang juga merupakan sumber protein yang baik. Hal ini demikian kerana buah ini terdiri daripada 90% air, dan ini boleh membuatkan anda kenyang dan tidak lapar selalu.

Nenas

Nenas adalah salah satu makanan kurus badan yang baik kerana mengandungi bromelain iaitu sejenis enzim pembakar lemak. Enzim bromelain ini membantu dalam proses penyingkiran lemak dengan memecahkan tisu sel lemak tersebut.

Selain itu, nenas juga baik untuk menghadam protein binatang seperti yang diperoleh daripada daging ayam, lembu dan kambing.  Oleh itu, masukkan banyak-banyak nenas dalam masakan anda yang berasaskan daging nanti.

Kalau anda mahu mengurangkan kadar pengambilan daging anda, anda boleh tambahkan nenas dalam salad, dijadikan sebagai jus atau makan nenas mentah. Jangan risau kalau anda makan terlalu banyak. Kalori nenas per 100g cuma 33 kalori sahaja. Apa yang pasti, anda perlu siap sedia untuk ke tandas dengan kerap jika makan terlalu banyak.

 

Kacang Dal

Kalau anda suka pergi ke restoran masakan India demi membanjiri pinggan nasi anda dengan kuah dal yang pekat dan menyelerakan, jangan berhenti! Hal ini demikian kerana kacang dal merupakan satu makanan kurus badan yang berkesan.

Kacang dal ini mempunyai kandungan protein dan serat yang tinggi. Dengan hanya separuh cawan kacang dal, anda akan memperoleh 3.4 gram kanji penahan, karbohidrat sihat dan kadar metabolisma yang tinggi.

Memang tak sia-sia anda kerap makan di restoran makanan India kegemaran anda setiap hari.

 

Teh Hijau

Teh hijau sememangnya diketahui umum dapat mengurangkan berat badan. Hal ini demikian kerana air teh hijau boleh membuatkan anda berasa kenyang dan secara perlahan-lahan , mengurangkan berat badan anda. Selain itu, antioksidan dalam teh hijau dapat meningkatkan kadar pembakaran lemak dan kalori anda.

Menurut satu kajian yang dilakukan, 5 cawan teh hijau dipercayai dapat menurunkan berat badan anda dua kali ganda lebih daripada biasa, khususnya di sekitar bahagian pinggang.

 

Avokado

Semasa berdiet, anda tidak perlu takut untuk makan makanan berlemak. Syaratnya, anda perlu pastikan lemak dalam makanan uanda itu ialah lemak yang sihat dan bagus.

Dalam buah avokado, terdapat sejenis asid yang dipanggil sebagai asid oleik. Asid ini ialah asid yang baik kerana dapat mengawal rasa lapar. Anda hanya perlukan suku ataupun separuh biji avokado sahaja untuk berasa kenyang sepanjang hari.

 

Ubi Kentang

Ubi boleh kuruskan badan? Ya, betul! Persepsi bahawa ubi kentang merupakan karbohidrat yang menggemukkan adalah salah sama sekali. Hal ini demikian kerana ubi kentang dapat membuatkan anda berasa  3 kali ganda lebih kenyang berbanding sekeping roti ataupun semangkuk nasi.

Tambahan pula, karbohidrat dan kanji yang ditakuti oleh golongan yang ingin menguruskan badan adalah sebenarnya, kanji penahan yang dapat membantu anda membakar lemak badan. Kalaulah ubi kentang ialah makanan yang menggemukkan, tidaklah ia disenaraikan sebagai salah satu makanan kurus badan terbaik dengan makanan lain seperti buah oren?

 

Barli

Pernahkah anda terfikir bahawa barli bukan sahaja sesuai dijadikan sebagai minuman yang menyejukkan semasa waktu hari panas malah sebagai makanan kurus badan juga? Barli merupakan satu sumber tenaga yang hebat dan dipercayai sebagai satu bahan kesihatan purba yang berkesan kerana mengandungi kadar serat, vitamin, mineral dan antioksidan yang tinggi.

Hidangan yang berkanji ini boleh melengkapkan diet rendah kalori anda bagi melangsingkan badan. Dalam separuh cawan barli, anda dapat memperoleh 2 gram kanji penahan dalam satu hidangan.

 

Pisang

Kredit: healthyfoodhouse.com

Makanan kurus badan yang terakhir ialah pisang. Sepertimana ubi kentang, pisang juga sentiasa disalah anggap sebagai makanan  yang menggemukkan. Sebenarnya, pisang dikenali sebagai superfood yang bagus untuk melangsingkan badan anda.

Superfood adalah sumber nutrisi yang boleh membantu membina tulang kita, menghindari penyakit kronik, mengelokkan penglihatan dan juga membantu otak anda sentiasa cergas.

Jangan pula ambil pisang yang masak ranum kalau mahu kurus. Pilihlah pisang yang sedikit hijau dan bersaiz sederhana kerana pisang itulah yang akan mengenyangkan anda dan meningkatkan kadar metabolisme anda kerana kandungan kanji penahan sebanyak 12.4 gram dalam sebiji pisang.

Jadi, belilah pisang banyak-banyak sekarang!

 

 

Dalam usaha menjadi kurus, adalah sangat penting kita mengetahui tentang jenis makanan yang sesuai untuk menguruskan badan. Oleh itu, pastikan anda membuat penyelidikan dan perancangan dengan baik untuk memastikan diet anda dapat membantu anda dalam mencapai misi kurus badan anda pada tahun hadapan.

Akhir kata, kalau anda berjaya menguruskan badan anda dengan mengamalkan makanan ini dalam diet anda, jangan lupa untuk berkongsi resipi dan gambar makanan anda bersama kami menerusi hashtag #butterkicap. Selamat maju jaya dan semoga tahun hadapan lebih baik daripada tahun ini untuk anda.

print