Site icon Butterkicap

Nasib Si Nasi Lemak: Pelik, Aneh atau Inovatif?

Apabila berbicara tentang nasi lemak, ramai pasti membayangkan nasi bersantan yang dilimpahi kuah sambal merah menyengat, kacang goreng rangup, hirisan timun yang menyejukkan, telur rebus dan ikan bilis goreng yang dibalut menggunakan daun pisang yang wangi. Memang tertutup mata apabila baca penerangan penuh perasaan kami ini.

Namun begitu, nasi lemak di Malaysia sudah berevolusi menurut peredaran masa dan tuntutan ramai. Walaupun  nasi lemak sentiasa menjadi pilihan ramai, tetapi terdapat kepentingan ataupun keperluan untuk hidangan klasik ini kekal relevan dan terus diminati generasi akan datang.

Oleh itu, marilah kita sama-sama lihat apakah nasib si nasi lemak dari dulu sehingga kini. Adakah perubahan yang dibawa pelik, aneh atau inovatif? Itu kita tentukan di penghujung nukilan ini, ya.

 

Nasib Si Nasi Lemak: Dahulu

Kredit: Pinterest.com

Pada zaman dahulu, kehidupan masyarakat di Tanah Melayu (nama lama Malaysia) adalah secara sederhana. Semuanya ringkas sahaja kerana pada ketika itu kesenangan bukanlah matlamat utama masyarakat. Sebaliknya, matlamat yang ingin dicapai ialah keselesaan hidup. Keinginan ini telah diterjemah dalam hidangan atau masakan yang disediakan. Ringkas, enak dan janji mengenyangkan perut.

Nasi lemak tradisional wujud sebagai pilihan sarapan petani atau nelayan yang membanting tulang di bendang dan laut dari pagi ke petang. Oleh itu, nasi yang dijadikan sebagai bekal dihidang ringkas dengan lauk sambal, timun, telur rebus dan ikan bilis yang dibalut daun pisang. Jika terlalu banyak lauknya, bukan bekerja pula si petani, tidur kekenyangan pula.

Setelah masyarakat menjadi sedikit maju dan mempunyai tahap kewangan yang sedikit stabil, nasi lemak kukus pula menjadi kegilaan. Hidangan yang disediakan masih ringkas tetapi teknik masakan nasi yang lebih sihat menjadi pilihan ramai.

 

Nasib Si Nasi Lemak: Sekarang

Kredit: tavern.com.my

Kini, Malaysia semakin moden. Masyarakat di Malaysia kebanyakannya penduduk-penduduk bandar yang sofistikated dan sentiasa menantikan pembaharuan. Ditambah pula dengan dunia alam maya yang semakin berselirat dengan realiti seperti penggunaan media sosial Facebook, Twitter dan Instagram, kehidupan rakyat Malaysia bukan sekadar mencari keselesaan lagi. Sebaliknya, kita mendambakan perhatian.

Oleh itu, wujudlah pelbagai gimik dan gaya persembahan baru bagi kebanyakan hidangan klasik di Malaysia termasuklah nasi lemak. Nasib si nasi lemak pada zaman sekarang dijadikan sebagai bahan publisiti untuk menarik perhatian masyarakat daripada fokus pada rasa dan kualiti makanan itu sendiri.

Tapi, kami tidaklah mengatakan semua makanan publisiti ini tidak sedap. Ada saja yang enak… jika kena pada lidah andalah. Antara versi nasi lemak baru yang boleh ditemui sekarang adalah seperti berikut:

 

1. Kek Nasi Lemak

Kredit: Youtube.com

Istimewanya: Jika anda sukakan kek dan juga nasi, tak perlu cari jauh sebab di Tiana Kitchen anda akan dapatkan gabungan kedua-dua makanan kegemaran anda. Nasi lemak tersebut disusun dalam bentuk kek. Span kek diganti dengan nasi, aising digantikan dengan timun, hiasan atas diganti dengan sambal dan taburan manis diganti dengan kacang dan juga ikan bilis.

 

2. Nasi Lemak KitKat

Kredit: Youtube.com

Istimewanya: Kalau anda sukakan coklat tapi berani mencuba kelainan, inilah hidangan untuk anda. Di KitKat Chocolatery , anda boleh mendapatkan coklat KitKat berperisa nasi lemak untuk masa terhad. Kami tak boleh bayangkan gabungan coklat dan rasa nasi lemak, mungkin rasanya mengejutkan deria dan perut anda nanti.

 

3. Nasi Lemak Aiskrim

Istimewanya: Nasi Lemak Aiskrim mungkin kedengaran agak janggal dan pelik tetapi itulah variasi terbaru nasi lemak yang makin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia. Syarikat Skream Softserve yang beroperasi di Alor Setar. Kenapa aiskrim tersebut digelar sebagai aiskrim nasi lemak? Berbeza dengan aiskrim lain di luar sana, aiskrim ini ditabur dengan kacang, ikan bilis goreng dan diletakkan sambal serta telur puyuh rebus.

 

4. Nasi Lemak Burger

Kredit: Youtube.com
Kredit: Youtube.com

Istimewanya: Setelah MacDonald’s di Singapura menimbulkan sensasi dengan nasi lemak burger mereka. Kini, di Burger King Malaysia, nasi lemak burger mula dijual di sini untuk rakyat Malaysia yang kempunan untuk mencuba nasi lemak burger di Singapura. Jadi, lekas ke cawangan Burger King terdekat untuk cuba!

 

5. Nasi Lemak Pancake

Istimewanya: Bagi sesiapa yang lebih berani, cubalah nasi lemak pancake atau lempeng nasi lemak yang sedang ditawarkan di Pancake House. Pancake gandum digantikan dengan nasi yang dileperkan dalam bentuk nasi dan dituang dengan sambal, kacang, ikan bilis dan juga timun. Agak menarik, bukan?

 

Nasib Si Nasi Lemak: Akan Datang

Sekarang, sudah tiba masanya untuk kita ketahui apakah nasib si lemak pada masa akan datang. Berdasarkan corak evolusi nasi lemak yang kita sudah saksikan dari tahun ke tahun, rasanya, inilah antara nasib si nasib lemak yang diramal oleh pasukan Butterkicap. Benar atau tidak, kita hanya perlu tunggu dan lihat saja…

 

“Hmm, mungkin nasi lemak piza. Sebab kita sudah ada burger, sekarang piza pulalah. Nasi lemak piza, letak cheese? Mungkin menarik!” -Yusof Helmy

“Nasi lemak fries. Senang, mudah dan tak begitu pelik. Kalau saya, saya rasa itulah yang saya boleh dan berani nak cuba.” -Regina Wiriadinata

“Apa lagi yang orang tak buat lagi? Hmm…mungkin masa depan nasi lemak ialah nasi lemak versi biskut? Sekali makan, nak lagi!” -Azrene Jasmine

Anda setuju dengan pandangan kami? Jika ya, komenlah di bawah. Jika tidak, kongsi bersama kami pendapat anda tentang nasib si nasi lemak. Cukuplah bersembang pasal nasi lemak, laparlah pula!

print