Site icon Butterkicap

Resepi Ekspres untuk Tetamu yang Tidak Diduga di Aidilfitri

Resepi ekspres Butterkicap menghilangkan pening kepala anda untuk menyediakan makanan enak dan ringkas bagi tetamu-tetamu yang muncul secara tiba-tiba di depan pintu anda!

Setelah bertungkus-lumus menjalankan ibadah puasa, kita akan bertemu dengan bulan Syawal iaitu bulan yang menyambut kemenangan umat Islam dalam kejayaan menempuhi bulan Ramadhan iaitu bulan yang memerlukan kita untuk menahan lapar, dahaga dan nafsu selama sebulan. Sepanjang bulan Syawal, umat Islam akan menyambut perayaan yang istimewa iaitu perayaan Hari Raya Aidilfitri. Hari Raya Aidilfitri ialah hari yang sinonim dengan hari semua persengketaan dilupan dan hubungan silaturahim dieratkan semula tanpa mengira umur, bangsa dan agama. Hari Raya Aidilfitri yang pertama dinanti-nantikan seluruh umat Islam di Malaysia kerana pada pagi raya tersebut sesi bersalaman dan meminta maaf berlangsung dan acapkali dipenuhi dengan tangisan kegembiraan.

Selain itu, aktiviti ziarah-menziarah adalah suatu kemestian pada bulan lebaran ini. Lazimnya, pada minggu pertama hari Raya ramai sanak saudara dan rakan taulan yang jarang sekali anda berjumpa akan muncul di pintu rumah anda. Jadi, anda perlulah bersiap sedia untuk menerima tetamu pada waktu yang tidak dijangka, Iyalah, sudah semangat untuk berjumpa adik-beradik sehingga terlupa masa-masa yang sesuai untuk berziarah. Untuk mengelakkan anda termangu-mangu mencari idea memasak untuk tetamu-tetamu tidak diduga ini, Butterkicap sediakan lima resepi ekspres yang boleh disajikan kepada tetamu yang tidak diduga ini!

1. Cucur

Kredit: thetastef.com

Resepi ekspres ini sesuai bagi tetamu yang datang pada waktu malam atau petang kerana sajian ringan ini boleh dihidangkan bersama minuman panas seperti teh atau kopi panas. Cucur  oleh dihidangkan menggunakan pelbagai jenis bahan seperti ikan bilis, udang, bawang dan jagung. Bagi sesiapa yang mahu memudahkan dan mempercepatkan lagi proses memasak cucur tepung ini, anda boleh membeli cucur tepung segera yang datang dalam pelbagai jenis pilihan perisa oleh jenama terkemuka Adabi dan harganya juga sangat berpatutan. Hidangan yang boleh dimasak hanya menggunakan tepung dan telur ini boleh dikategorikan sebagai hidangan ringan atau snek yang boleh dimakan bersama tetamu sambil beramah mesra (bergosip) di petang raya.

 

2. Pisang Goreng

Kredit: singaporebestfoods.com

Sajian yang menggunakan pisang sebagai bahan utama ini juga merupakan salah satu hidangan yang mudah dan cepat untuk disediakan bagi para tetamu yang datang secara tiba-tiba. Pisang goreng sangat sedap jika dijamah panas-panas dan sesuai juga di hidangkan sebagai pemanis mulut selepas anda menjamah makanan berat (hanya perlu tambah aiskrim vanila sahaja). Pisang goreng pada masa kini banyak yang sudah dimodenkan untuk menarik selera anak muda yang rata-rata suka akan rasa keju yang banyak. Anda boleh memilih untuk menyediakan pisang goreng klasik yang dimasak mengikut resepi tradisional atau pisang goreng keju yang kian popular dan mempunyai rasa yang sememangnya berbeza jika dibandingkan dengan pisang goreng klasik. Pisang goreng yang rangup boleh dimakan dengan hidangan sampingan seperti sambal kicap atau sos cili. Apa kata untuk lebaran kali ini, anda hidangkan pisang goreng versi Butterkicap yang pasti membuatkan anda dipuji-puji oleh tetamu anda.

 

3. Mi Goreng

Kredit: angahhometart.blogspot.my

Mi terdiri daripada pelbagai jenis seperti mi kuning, bihun dan kuey teow. Anda boleh memilih salah satu jenis mi untuk dimasak dengan cara menggoreng. Hidangan ini sesuai dimakan ketika tengahari, petang mahupun pada waktu malam. Dengan menggunakan mi dan beberapa bahan asas lain seperti sos tiram, garam, bawang putih, bawang merah dan bahan tambahan lain seperti ayam atau apa-apa jenis daging, hidangan ini adalah salah satu hidangan yang mudah disediakan. Mi goreng boleh divariasikan dengan menggunakan bihun dan kuey teow. Sajian ini selalunya dihidangkan untuk tetamu yang datang secara beramai-ramai.

 

4. Mi Sup

Kredit: pinterest

Selain mi goreng, mi sup juga salah satu hidangan yang mudah dan cepat untuk disediakan. Mi sup juga boleh dimasak dalam pelbagai jenis sebagai contoh bihun sup dan kuey teaw sup. Hidangan bersup juga amat sihat jika dihidang kepada tetamu kerana tidak menggunakan cara memasak bergoreng yang memerlukan minyak. Mi sup juga lebih mengenyangkan kerana selain bahan utamanya mi dan bahan tambahan seperti bebola ikan dan sayur sayuran, Hidangan ini menggunakan air yang sememangnya akan memenuhkan perut anda dan membuat anda berasa kenyang.

 

5. Mac and Cheese

Kredit: busybrunettebakerista.com

Jika anda inginkan sesuatu yang berlainan untuk dihidang kepada tetamu anda dan memerlukan hidangan yang mudah dan cepat, anda bolehlah mencuba membuat mac and cheese. Hidangan yang menggunakan makaroni dan keju sebagai bahan utama ini tidaklah sesusah seperti yang dijangka, jika anda mahu menyiapkan hidangan ini secara ringkas dan cepat, anda tidak perlulah meletakkan bahan yang memerlukan masa yang banyak untuk dimasak. Tambahan lagi, mac and cheese lebih cepat dimasak di atas dapur berbanding menggunakan ketuhar. Hidangan ini amat digemari oleh mereka yang suka akan rasa lemak dan berkeju. Selain itu, hidangan ini juga mengenyangkan perut anda.

Itulah cadangan 5 resepi ekspres yang boleh dicuba! Bagi mempermudahkan lagi pembuatan masakan, anda perlulah sentiasa bersedia dengan bahan-bahan asas yang diperlukan supaya mudah untuk disediakan jika tetamu datang secara tidak diduga. Anda juga boleh siap memotong bahan-bahan asas seperti bawang putih,bawang merah dan cili yang boleh juga dikisar untuk persiapan awal kemudian diletakkan dalam peti sejuk. Apa yang penting ialah anda dapat melayan tetamu anda pada Hari Raya Aidilfitri yang mulia ini sambil menjamah hidangan menyelerakan yang semestinya memeriahkan lagi suasana beramah mesra pada hari Lebaran nanti!

 

Artikel Lain: 

Aisbox Peneman Perut Lapar Tika Sibuk

Idea Makanan Sihat yang Boleh Disediakan dalam  20 Minit

10 Resepi Masak Dalam Ketuhar Mudah dan Pantas di Kala Sibuk

print